Judul: Jarum Cik Helang Hilang

Diceritakan semula: Zaidah Md. Yusoff

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit: 2018

Pengulas: ATIQAH ABD RAHIM

CERITA rakyat menjadi bahan bacaan sastera yang menghiburkan dan mempunyai nilai murni yang boleh dicontohi. Penceritaan semula atau adaptasi daripada cerita sebenar yang berlaku dalam masyarakat dapat dijadikan teladan yang baik, khususnya kepada kanak-kanak. Penceritaan yang ringkas dan ilustrasi lukisan yang berwarna-warni dapat menarik perhatian pembaca. Buku ini adalah untuk peringkat umur dari tiga hingga 12 tahun, dan boleh dijadikan bahan bacaan untuk orang dewasa juga.

Buku ini mengisahkan sekeluarga ayam yang tinggal di hujung kampung, iaitu seekor Ibu Ayam bersama-sama tiga ekor anaknya bernama Kurnani, Balung dan Jalak di sebuah rumah ayam. Pada suatu malam, hujan turun dengan lebatnya. Balung dan Jalak tidur dengan lena tetapi Kurnani tidak dapat melelapkan mata kerana kesejukan. Kurnani menggigil kesejukan kerana selimutnya telah terkoyak.

Kurnani menarik selimut adik-beradiknya, Balung dan Jalak. Kedua-duanya terkejut lalu memarahi Kurnani. Ibu Ayam menghampiri Kurnani lalu memeluknya. Ibu Ayam berjanji dengan Kurnani untuk meminjam jarum daripada Cik Helang supaya dia dapat menjahit selimut anaknya. Ibu Ayam membawa Kurnani tidur di bawah kepaknya pada malam itu.

Pada keesokan harinya, Ibu Ayam bersama-sama anak-anaknya ke rumah Cik Helang untuk meminjam jarum. Ibu Ayam berjanji dengan Cik Helang bahawa dia akan memulangkan jarum tersebut. Cik Helang dengan nada tegas mengatakan bahawa Ibu Ayam boleh meminjam jarumnya dengan syarat jika jarumnya hilang, Cik Helang akan mengambil anak-anaknya sebagai ganti. Ibu Ayam ketakutan mendengar syarat tersebut.

Apabila pulang ke reban, Ibu Ayam segera menjahit selimut Kurnani. Ketika sedang menjahit selimut anaknya, tiba-tiba angin bertiup dengan kencangnya dan jarum Cik Helang dibawa angin. Puas Ibu Ayam mencari jarum Cik Helang di serata tempat tetapi tidak terjumpa. Ibu Ayam berasa risau untuk memberitahu Cik Helang akan kehilangan jarum itu.

Tiga hari kemudian, Cik Helang pergi ke rumah Ibu Ayam untuk mengambil jarumnya. Ibu Ayam mengatakan bahawa dia akan memulangkannya pada hari esok kerana masih menjahit selimut Kurnani. Disebabkan terlalu risau Cik Helang akan mengambil anak-anaknya, Ibu Ayam membawa anak-anaknya berpindah ke tempat yang lebih selamat daripada pengetahuan Cik Helang.

Pada keesokan harinya, Cik Helang pergi ke rumah Ibu Ayam tetapi mereka sekeluarga telah tiada. Cik Helang sangat berang. Tiba-tiba, dia terlihat jarumnya di lantai.

Cik Helang terus mencari Ibu Ayam dan anak-anaknya. Cik Helang menyesal kerana tindakannya telah menyebabkan Ibu Ayam dan anak-anaknya menghilangkan diri. Cik Helang terus mencari Ibu Ayam sekeluarga kerana mahu memberitahu bahawa dia telah menjumpai jarumnya itu.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049694
    Visit Today : 539
    This Month : 32293
    Total Visit : 1049694
    Hits Today : 3665
    Total Hits : 4308426
    Who's Online : 21
  • Kategori