Oleh NORAZLINDA MISRAN

KEM Tulisan Jawi 2018 merupakan Program Pembudayaan Tulisan Jawi Peringkat Kebangsaan yang julung-julung kali diadakan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Sejarah Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, dan Majlis Dakwah Negara. Kem yang diadakan pada 2 dan 3 Julai 2018 di Wisma Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur, bertujuan untuk menyemarakkan pembudayaan tulisan jawi melalui elemen pengajaran dan pembelajaran khusus untuk masyarakat Malaysia.

Dr. Hj. Azhar Haji Ahmad, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Dr. Hj. Azhar Haji Ahmad, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Melalui kem ini, guru peserta dilengkapi kemahiran bagi perkara asas pengajaran tulisan jawi bagi memastikan tiada lagi pelajar yang tercicir dalam penguasaan pembelajaran Jawi. Peserta diberi pendedahan tentang kaedah dan teknik berkesan dalam pengajaran tulisan jawi berasaskan inovasi yang turut mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan serta DBP.

Antara peserta yang hadir dalam Kem Tulisan Jawi 2018.

Antara peserta yang hadir dalam Kem Tulisan Jawi 2018.

Penganjuran kem ini membolehkan para penggerak, pengajar dan pembimbing tulisan jawi mendapat panduan yang tepat dan berkesan bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran yang dipraktikkan lebih ceria, segar dan menyeronokkan. Inovasi yang diperkenalkan menerusi kem ini juga dilihat menjadi salah satu tonggak dan elemen penting bagi melahirkan masyarakat Malaysia khususnya kanak-kanak yang mahir dan celik jawi. Modul Kem Tulisan Jawi 2018 menggunakan teknik pengajaran dan pembelajaran awal jawi Kem Cemerlang Jawi (KCJ) yang dibangunkan oleh KPM. KCJ ini menekankan kaedah padanan huruf, sambungan huruf, wajah huruf, membaca dan menulis suku kata terbuka dan tertutup a,i,o,u dan pelbagai lagi.

Ucapan perasmian penutup Kem Tulisan Jawi 2018 yang disempurnakan oleh YBhg. Dato' Nafisah Ahmad, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia.

Ucapan perasmian penutup Kem Tulisan Jawi 2018 yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Nafisah Ahmad, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia.

Ketika berucap dalam majlis penutupan, Ketua Pengarah PNM, Dato’ Nafisah Ahmad, menyatakan bahawa PNM telah dilantik sebagai urus setia Program Pembudayaan Tulisan Jawi Peringkat Kebangsaan, Kesenian dan Warisan (KeKKwa). PNM ditugaskan untuk meneruskan langkah pembudayaan tulisan jawi sebagai salah satu warisan tamadun dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi secara lebih berkesan. Hal ini dipandang serius apabila KPM menyedari kemerosotan penggunaan dan pembacaan tulisan jawi dalam kalangan rakyat Malaysia setelah akhbar utama bertulisan jawi, Utusan Melayu Mingguan, terpaksa dihentikan cetakannya kerana kurang mendapat tempat di hati masyarakat.

Menurutnya lagi, PNM merupakan institusi terbesar di dunia yang menyimpan manuskrip Melayu asal dalam bentuk tulisan jawi yang kini berjumlah 4884 naskhah, merangkumi pelbagai bidang, seperti undang-undang, ketatanegaraan, ilmu tradisional Melayu, serta sains dan teknologi.

Seramai lapan orang penceramah, fasilitator dan Jurulatih Utama Kebangsaan yang juga Munsyi Dewan (Jawi) membimbing 177 orang peserta yang terdiri daripada guru yang terlibat dalam pengajaran tulisan jawi. Kem ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik, seperti pameran inovasi tulisan jawi, pameran seni khat, promosi perkhidmatan u-Pustaka dan jualan buku jawi.

Para peserta Kem Tulisan Jawi 2018 bergambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat.

Para peserta Kem Tulisan Jawi 2018 bergambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1054124
    Visit Today : 1069
    This Month : 2377
    Total Visit : 1054124
    Hits Today : 3511
    Total Hits : 4327029
    Who's Online : 8
  • Kategori