Oleh ALIAH ABDUL RAHIM


SUATU ketika dahulu dan mungkin ada lagi sekarang, tulisan Jawi dilihat ditulis pada batu nisan atau bangunan lama yang dibina pada zaman sebelum Merdeka. Kini, tulisan Rumi telah menggantikan tulisan tersebut walaupun pada batu nisan. Adakah disebabkan tiada orang yang boleh menulis Jawi atau bimbang orang tidak memahami tulisan tersebut?  Ada yang berpendapat memperkasakan tulisan Jawi adalah antara usaha kita mengukuhkan agama. Tanggapan ini mungkin benar kerana tulisan Jawi juga dikenali sebagai tulisan Melayu huruf Arab dan telah digunakan sejak kedatangan agama Islam di Nusantara. Program j-Qaf yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak tahun 2005, memuatkan tulisan Jawi bagi memperkasakan Pendidikan Islam walaupun program tersebut setakat di sekolah rendah sahaja.     

Tulisan Jawi ialah jati diri orang Melayu kerana bermulanya dalam Alam Melayu dan pernah melalui zaman kegemilangannya termasuk pada zaman pemerintahan raja-raja Melayu. Banyak bukti sejarah yang masih kekal sehingga hari ini. Demi melestarikan warisan bangsa yang tercinta ini, semua pihak terutamanya kerajaan perlu memainkan peranan.  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut memainkan peranan dari segi penerbitan, antaranya dengan menerbitkan Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua (2008). Seminar dan pameran tentang tulisan Jawi dapat membantu memperkasakan tulisan Jawi,  seperti suatu konvensyen yang pernah diadakan suatu ketika dahulu, iaitu Konvensyen Tulisan Jawi pada tahun 1980-an yang telah memperkenalkan Sistem Ejaan Jawi Yang Disempurnakan. 

Usaha kerajaan Negeri Kelantan menggunakan tulisan Jawi pada papan tanda dan papan iklan wajar dicontohi kerana menyemarakkan Jawi dalam Alam Melayu. Seharusnya tulisan Jawi diperluaskan dalam penerbitan yang lain seperti risalah, brosur dan sebagainya dan tidak lagi dilihat sebagai suatu khazanah klasik yang hampir lenyap ditelan zaman. Pembelajaran Jawi di peringkat sekolah rendah wajar dilanjutkan ke peringkat sekolah menengah dan seterusnya pengajian tinggi supaya tulisan Jawi dapat diangkat tarafnya sebagai aksara Melayu yang tinggi nilainya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047276
    Visit Today : 892
    This Month : 29875
    Total Visit : 1047276
    Hits Today : 2300
    Total Hits : 4297102
    Who's Online : 15
  • Kategori