Oleh FATINABILA ABDULLAH

Barisan ahli panel wacana.

Barisan ahli panel wacana, dari kiri Fatini, Abd. Jalil, Dr. Zulkanain dan Dr. Ahmad Murad.

WACANA Sejarah Natrah telah berlangsung pada 17 April 2018 di Dewan Seminar Datuk Hassan Ahmad, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Wacana ini anjuran Pusat Dokumentasi Melayu dan Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Yayasan Kasih Tauhid, Penerbit Universiti Teknologi Malaysia dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Wacana ini dipengerusikan oleh Datuk Abd. Jalil Ali, Penasihat Editor, Kumpulan Media Karangkraf. Ahli panel wacana ialah Puan Sri Fatini Yaacob, Pengerusi Eksekutif, Yayasan Kasih Tauhid, Prof. Madya Dr. Zulkanain Abdul Rahman, pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dan Dato’ Dr. Ahmad Murah Merican, ahli Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia. Ketiga-tiga orang ahli panel mengupas secara terperinci rentetan episod air mata, cinta dan perjuangan yang dihadapi oleh Natrah yang melahirkan bibit perjuangan bangsa Melayu dalam usaha memelihara maruah bangsa dan agama.

Fatini Yaacob menyatakan bahawa kisah Nitrah lebh daripada sekadar kisah cinta terhalang.

Fatini menyatakan bahawa kisah Nitrah lebh daripada sekadar kisah cinta terhalang.

Wacana ini merupakan salah satu kegiatan Gerakan Membaca bersempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia. Melalui penganjurannya khalayak dapat meningkatkan profesionalisme kewartawanan dan editorial dengan merujuk kisah Natrah yang diterbitkan dalam majalah Dewan Masyarakat pada tahun 1989. Kisah ini ditulis berasaskan penyelidikan dan gaya kewartawanan yang merakamkan kisah Natrah; memberikan penghargaan terhadap pejuang yang membela agama Islam dan menentang kolonialisme; serta membangkitkan rasa cinta kepada agama, bangsa dan tanah air.

Wacana dimulakan dengan pembentangan Fatini yang menerangkan satu persatu kisah Natrah dari permulaan dia diambil sebagai anak angkat oleh Che Aminah sehinggalah dihantar ke gereja hingga menyebabkan rusuhan hasil provokasi sebuah akhbar Inggeris tempatan. Bagi Fatini, peristiwa Natrah ini telah menimbulkan banyak persoalan dan akhirnya terjawab apabila beliau menjalankan penyelidikan secara terperinci tentang Natrah.

Ujar beliau lagi, “Peristiwa rusuhan yang berlaku lantaran provokasi terhadap Islam oleh pihak Inggeris telah berjaya memecahkan spektrum pemujaan bangsa Melayu terhadap Inggeris. Pelbagai lapisan yang terjadi hasil daripada rusuhan telah merobah cara pandang watak-watak yang terlibat dalam peristiwa tersebut.” Beliau menambah, “Ramai yang faham bahawa kisah Natrah ini hanyalah tentang kisah cinta terhalang, namun sebenarnya, kisah Natrah lebih daripada kisah cinta terhalang. Cinta hanya subplot daripada rentetan derita yang dihadapi oleh Natrah.”

Ahmad Murad membangkitkan ciri kolonialisme dalam isu Natrah.

Ahmad Murad membangkitkan ciri kolonialisme dalam isu Natrah.

Fatini juga memberitahu khalayak yang hadir bahawa kisah Natrah ini akan diterbitkan dalam bentuk filem yang akan memberikan impak yang lebih dari segi penceritaan berbanding dalam buku yang beliau karang. Beliau ingin menonjolkan lapisan-lapisan cerita yang menceritakan secara terperinci tentang kisah hidup Natrah dan tentang peristiwa rusuhan yang berlaku serta impak daripada peristiwa tersebut yang akan menjentik hati penonton untuk kembali mentaakul perjuangan dan cinta akan negara, bangsa dan agama.

Dr. Zulkanain berbicara seputar liputan akhbar November-Disember 1950 berkaitan Isu Natrah. Katanya, “Akhbar dipilih kerana akhbar merupakan sumber sezaman yang boleh memberikan maklumat yang berkaitan dengan peristiwa Natrah.” Baginya, akhbar memainkan peranan yang penting ketika rusuhan itu terjadi. Akhbar memaparkan foto yang menimbulkan keresahan dan kemarahan bangsa Melayu terhadap pihak Inggeris dan akhbar juga merupakan alat komunikasi untuk meredakan kekalutan yang terjadi waktu itu.

Pusingan seterusnya diteruskan lagi dengan pembentangan Dr. Ahmad Murad, “Natrah: Naratif Gerangan Kolonialisme”. Dalam mukadimah pembentangan, beliau menyatakan kelicikan dan kecerdikan orang Eropah yang mempunyai agenda tertentu untuk mengekalkan kolonialisme. Orang Eropah tidak mahu kedudukan mereka setanding dengan kedudukan orang Melayu sehingga mereka sanggup mencabul hak manusia dan kemanusiaan.

Antara khalayak yang menghadiri wacana.

Antara khalayak yang menghadiri wacana.

Kolonialisme umpama rasisme yang menganggap bahawa bangsa selain bangsa Eropah sebagai subhuman atau not human pada ketika itu. Jadi, kisah Natrah ini merupakan salah satu agenda pihak Inggeris supaya mereka dapat terus bertapak sebagai penguasa di bumi yang mereka jajah.

Kebangkitan bangsa Melayu ketika rusuhan Natrah telah membuktikan sangkaan Inggeris bahawa orang Melayu bangsa yang “bodoh, malas dan miskin” meleset sama sekali. Kebangkitan untuk mempertahankan Natrah telah memecahkan tembok pendidikan, ideologi, politik dan darjat. Kisah ini juga merupakan penyatuan antara sesama Melayu, Cina, India dan Serani.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1056032
    Visit Today : 339
    This Month : 4285
    Total Visit : 1056032
    Hits Today : 2660
    Total Hits : 4335597
    Who's Online : 14
  • Kategori