Oleh NIK HASSAN SHUHAIMI NIK ABD. RAHMAN

Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman

 

SIAPA itu Melayu?  Daripada perspektif sejarah, perkataan Melayu amnya muncul buat pertama kali dalam tahun 644 Masihi.  Ia tercatat dalam sumber China bertarikh 644 Masihi merujuk sebuah kerajaan di pantai timur Sumatera (Wolters, 1967).  Ejaan yang ditransliterasi daripada tulisan China ke tulisan Melayu ialah Mo-lo-yu.  Sekali lagi, dalam tahun 671 Masihi negeri Melayu muncul dalam sumber China.  Sumber tersebut ialah catatan tempat yang disinggahi oleh I-Ching, seorang rahib China, dalam perjalanannya dari Guangzhou (Canton) ke India untuk mendalami ilmu agama Buddha.  Dalam perjalanan tersebut I-Ching singgah di Srivijaya (Palembang) dan tinggal di sana untuk mempelajari bahasa Sanskrit dan agama Buddha sebelum ke India.  Setelah tinggal enam bulan di Srivijaya,  beliau bertolak ke India dengan kapal Srivijaya dan singgah di kerajaan Mo-lo-yu (Malayu) dan seterusnya ke Chieh-cha (Kedah) dan lalu ke India (Nalimda).  Menurut catatan itu:

“I-Ching belayar tanpa halangan selama 20 hari (dari Canton) dan tiba ke ‘Fo-shih’, (Srivijaya).  Dia singgah di situ dalam perjalanan (ke India) selama enam bulan dan mula mempelajari ‘Sabdawidya’ (nahu Sanskrit).

Pemerintah (Fo-shih) menghulurkan bantuan dan mengirimnya ke (Malayu) yang kini diubah kepada ‘Shih-li-fo-shih’, (Srivijaya).  Sekali lagi I-Ching singgah dalam perjalanan (di Malayu) selama dua bulan dan kemudian lalu kembali ke kapalnya dan meneruskan pelayarannya ke arah Chieh-ch’a, (Kedah).  Tidak sampai bulan kedua belas (6 Januari – 4 Februari 672) layar kapal dinaikkan dan dia kembali ke kapal raja dan kemudian beransur-ansur meneruskan perjalanan ke syurga Timur (India).”

“Mengikut angin timur, angin musim timur laut, dia belayar dengan Ching Hung dan sampai ke ‘Shih-fo-shih’, … Kemudian mereka menaiki kapal raja dan belayar selama 15 hari ke Malayu ‘chou’.  Lagi 15 hari mereka tiba di ‘Chieh-ch’a’, Kedah.  Pada akhir musim sejuk mereka kembali ke kapal lalu belayar menuju ke arah barat.”

Lokasi kerajaan Mo-lo-yu dipercayai terletak di Jambi hari ini dan kerajaan Chieh-cha ialah di Lembah Bujang, Kedah.   Kerajaan Mo-lo-yu terletak di bawah Srivijaya berdasarkan catatan I-Ching,  Namun, pada awal abad ke-11 Masihi kerajaan Mo-lo-yu dan kerajaan lain di Semenanjung Tanah Melayu telah mendapat kembali kuasa mereka apabila Srivijaya menjadi lemah selepas diserang bala tentera kerajaan Cola dalam tahun 1025 Masihi.  Mulai abad ke-11, kerajaan Mo-lo-yu disebut sebagai kerajaan Jambi oleh pencatat China dan hilanglah sebutan Mo-lo-yu.

Berdasarkan fakta sejarah tersebut, pusat kekuasaan politik Melayu pada kurun-kurun awal Masihi terletak di Selat Melaka, dan tradisi tersebut berterusan apabila muncul kerajaan Melaka dan perpindahan pusat politik Melayu ke Johor-Riau-Lingga dalam abad ke-16 Masihi dengan kekalahan Melaka kepada Portugis pada 1511.

Melayu yang saya maksudkan di sini ialah etnik Melayu yang berada dalam kawasan lingkungan berpusat di pusat peradaban Melayu sahaja, seperti Srivijaya-Palembang 7-11 Masihi, Melayu (Jambi) 11-13 Masihi, Melaka 14-15 Masihi, dan Johor-Riau-Lingga 16-19 Masihi.  Di pusat tersebut bahasa Melayu baku dan kebudayaan Melayu tulen ialah amalan masyarakat Melayu.  Hal ini perlu dinyatakan kerana selain Melayu yang terdapat dalam lingkungan pusat peradaban, terdapat juga Melayu yang berada di luar pusat tetapi dalam kawasan yang bergelar alam Melayu.

Kerajaan Srivijaya ialah sebuah daripada kerajaan Melayu di kawasan pusat dunia Melayu pada abad ke-7  Masihi iaitu di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera selain Mo-lo-yu dan Chieh-cha.  Pendapat itu boleh dibuktikan dengan kewujudan batu bersurat dalam kawasan yang diperintah oleh Srivijaya.  Antara inskripsi atau batu bersurat itu ialah:

1. Inskripsi Kedukan Bukit, Palembang 683 Masihi

Inskripsi ini ialah jumpaan terpenting setakat ini di Palembang khususnya dan Sumatera umumnya, kerana ia mempunyai tarikh.  Inskripsi lain yang dijumpai di Palembang ialah Inskripsi Telaga Batu (Sebukingking),  Talang Tuwo dan beberapa inskripsi formula agama Buddha yang dijumpai dekat dengan Rumah Sarang Wati.  Inskripsi Sriwijaya yang tidak termasuk dalam ketiga-tiga inskripsi tersebut dan Inskripsi Pasernah (Lampung).  Kota Kapur dan Karang Berahi adalah ringkas.

Inskripsi di atas batu yang berjumlah 30 daripada kawasan Sabungking (Palembang) juga ringkas, dan mengandungi perkataan sidhayatra, sama ada satu perkataan atau didahului dengan perkataan jaya dan jaya saravasatrvah, atau jaya sarvassatva.   Inskripsi yang dicetak pada tanah liat dari Rumah Sarang Wati mengandungi perkataan suci Buddha iaitu ye dharma atau ye dhamma.

Kepentingan inskripsi dari Palembang daripada konteks data sejarah dan arkeologi pernah dibincangkan oleh beberapa orang sarjana.  Ini termasuk juga inskripsi Srivijaya yang lain.  Mengikut Coedes, perkataan Sidhayatra mempunyai pengertian yang sama seperti perkataan siddhiyatra, dan ertinya ialah “satu perjalanan atau satu pilgrimage dan seseorang yang kembali daripada perjalanan itu akan mendapat kurnia kuasa ghaib”.  J.G. de Casparis pula berpendapat perkataan itu boleh digunakan kepada peniaga atau burung yang berpindah-randah dari satu tempat yang jauh untuk mendapat kuasa ghaib.    Inskripsi Telaga Batu yang tiada tarikh dijumpai dekat dengan sebuah perigi, juga tidak diketahui umurnya, di bahagian bucu sebelah barat pada pulau berbentuk empat segi bernama Sabungking.

2. Inskripsi Telaga Batu, Palembang

Pulau itu terletak lebih kurang 300 meter dari Geding Suro iaitu satu lagi tapak sejarah di Palembang.  Inskripsi tersebut memberi gambaran tentang bagaimana Kerajaan atau Empayar atau Kedatuan Srivijaya diperintah dan juga keadaan organisai pemerintah serta cara keamanan dan persepaduan dikekalkan.  Wolters pernah menyatakan bahawa kemungkinan besar kedudukannya di tempat itu melambangkan ia sebagai tapak utama dalam kerajaan Srivijaya, iaitu sebagai satu pusat kerajaan yang penting.   Inskripsi tersebut mengandungi formula sumpah yang begitu terperinci dalam bahasa Melayu Kuno, ditulis dengan skrip Pallava dan formula sumpah yang pendek ditulis dalam bahasa yang dikenali sebagai bahasa “B”.  Sarjana bercanggah pendapat tentang bahasa yang sebenarnya.  Mengikut pendapat Obdeijn bahasa Minangkabau, Damais melihat keselarian dengan bahasa Charm, Malagasi dan Jawa, tetapi Van Naersseri menganggapnya sebagai bahasa Orang Laut.

Inskripsi Telaga Batu mengandungi teks sumpah yang hampir sama dengan teks dalam Inskripsi Kota Kapur.  Boechari pula melihat seruan kepada semua dewa, sumpahan tersebut.   Tiga bahagian itu ialah seruan kepada semua dewa, sumpahan terhadap mereka yang melakukan kejahatan, dan kerestuan dan kesejahteraan untuk dilimpahkan kurnia kepada yang berbakti dan taat setia kepada raja Srivijaya.

Bentuk batu inskripsi tersebut dan juga kehadiran naga berkepala tujuh yang dijadikan payung dan diletak di puncak inskripsi itu, dan oleh sebab itu ia dijumpai dekat dengan perigi suci, mungkin digunakan dalam upacara mengangkat sumpah.  Air mungkin dijirus ke atas batu inskripsi dan terkumpul di satu bahagian yang terletak pada kawasan terbawah pada batu air.  Air sumpah itu akan diberi minum kepada pembesar atau gabenor atau datu yang disebut dalam inskripsi tersebut.  Upacara meminum air sumpah dan persetiaan pada zaman Srivijaya itu dilambangkan dalam Sejarah Melayu sebagai persetiaan antara pemerintah dengan rakyat.

Inskripsi Kedukan Bukit juga pernah dibincangkan oleh beberapa orang sarjana,  Coedes mencadangkan bahawa inskripsi itu ialah batu peringatan ekspedisi ke seberang laut oleh bala tentera kerajaan Srivijaya untuk melanggar Kemboja di bawah pemerintahan Jayavarnam I sebelum 23 April 682.   Terdapat Minana Tatrawan yang dikatakan tercatat pada inskripsi itu ialah di satu kawasan di muara Sungai Mekong.  Perkataan-perkataan lagramidita datan maryuar vanua  menunjukkan bahawa Dapunta Hiyang datang dari satu tempat di Sumatera dan mengasaskan sebuah kerajaan bernama Srivijaya.  Maka inskripsi itu mengingati pengasasan kerajaan Srivijaya.

Kita tidak pasti daripada mana asalnya Dapunta Hiyang.  Boechari mencadangkan bahawa Dapunta Hiyang datang dari hulu Sungai Inderagiri di satu tempat bernama Batang Kuantan.  Alasan beliau ialah perkataan minana telah diterima umum sebagai memberi erti kuala, bentuk bentuk-krama ialah kuantan. Maka, tempat itu mestilah Batang Kuantan dan kawasan itu bersesuaian dengan lokasi yang dilawati oleh I-Ching.  Walaupun setakat ini amat sukar untuk mengesahkan pandangan Boechari itu, tetapi jelas daripada inskripsi itu, Srivijaya terletak di tempat yang berbeza sebelum 682 Masihi.  Huruf yang hilang selepas perkataan ma dalam inskripsi ialah layu mengikut Krom,   dan Coedes pula mula-mula membacanya sebagai mata jap.   Bacaan Malayu oleh Krom itu mungkin betul sebab Dapunta Hiyang menakluk Malayu-Jambi selepas mengasaskan Srivijaya yang mungkin terletak di Palembang. Maka gambaran sejarah ialah sebelum penaklukan itu terdapat dua kerajaan iaitu Melayu-Jambi dan Srivijaya.

Selepas mengasaskan kerajaan Srivijaya, raja telah meluaskan kuasa dengan menakluk Bhumi Jawa seperti yang tercatat dalam inskripsi Kota Kapur (Bangka).  Boechari berpendapat bahawa Bhumi Jawa itu ialah di selatan Propinsi Lampung dan bukan Jawa.  Selepas menguasai kawasan di Bhumi Jawa  maka pengembangan kuasa diteruskan dan pembinaan kerajaan dipergiat.  Inskripsi Talang Tuwo menunjukkan sebuah taman bernama Sriksetra yang dihadiahkan kepada semua makhluk telah diasaskan pada tahun 648 Masihi.

(Profesor Dato’ Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman ialah Felo Penyelidik
di Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM)

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1054001
    Visit Today : 946
    This Month : 2254
    Total Visit : 1054001
    Hits Today : 3036
    Total Hits : 4326554
    Who's Online : 9
  • Kategori