OLEH HUMAIRA ABDUL RAHMAN

PERBADANAN Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan pertandingan bercerita ala penglipur lara dan pertandingan deklamasi alunan syair pada 11 Oktober 2017 bertempat di Auditorium Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2017 peringkat negeri Selangor.

Pertandingan bercerita ala penglipur lara ini melibatkan 16 orang pelajar sekolah rendah kategori Tahap 1 dan Tahap 2, manakala pertandingan deklamasi alunan syair pula melibatkan 11 pelajar sekolah menengah kategori lelaki dan perempuan yang mewakili daerah masing-masing.

Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Puan Hajah Mastura Haji Muhamad, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Padilah Haji Ali, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Puan Rozninah Abdul Azib, Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, DBP dan pegawai-pegawai Pejabat Pendidikan Daerah.

Menurut Puan Hajah Mastura, penganjuran pertandingan seperti ini mampu meningkatkan keyakinan diri dan pembangunan diri ke suatu tahap yang lebih baik. Selain itu, pertandingan seperti ini juga perlu diteruskan untuk melahirkan lebih ramai penyair dan mencungkil bakat-bakat baru.

“Bahasa merupakan satu elemen dan identiti penting bagi sesebuah negara. Walaupun kita maju dan moden, kita mesti berbangga dengan bahasa kita. Jika kita melihat negara Jerman, ia sebuah negara yang maju dan mereka setia menggunakan bahasa ibunda dan tidak melupakan tradisi mereka,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, di dalam Al-Quran juga ada disebutkan mengenai penyair berdakwah melalui syairnya. Beliau mengharapkan penyair-penyair muda akan terus bersyair menaikkan semangat kita untuk terus melakukan kebaikan, dan berkata-kata perkara yang baik.

Johan pertandingan bercerita ala penglipur lara tahap 1 ini diungguli oleh Nurul Nuha Hafiz dari Sekolah Kebangsaan Kapar mewakili daerah Klang, manakala bagi tahap 2 diungguli oleh Iman Nur Kamilia Mohd Adha Adzarif mewakili daerah Kuala Langat. Bagi pertandingan deklamasi alunan syair kategori lelaki dimenangi oleh Ahmad Mardzuki Nordin dari SMK Rantau Panjang mewakili daerah Klang dan bagi kategori perempuan pula dimenangi oleh Sofea Arissa Roslan dari SMK Meru mewakili daerah Klang.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    979713
    Visit Today : 947
    This Month : 27184
    Total Visit : 979713
    Hits Today : 4272
    Total Hits : 3983415
    Who's Online : 7
  • Kategori