OLEH SITI IRNI YUSLINDA MOSMAN

 

Dalam menangani cabaran memartabatkan Bahasa dan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah memberikan tumpuan dalam mengembangkan, memasyarakatkan serta membudayakan bahasa Melayu. Usaha ini melibatkan penganjuran pelbagai program kebahasaan dengan kerjasama daripada pelbagai pihak dan melibatkan golongan belia sebagai kumpulan sasaran utama.

Bengkel ini merupakan inisiatif Sekretariat Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama DBP. Penganjuran bengkel pidato ini bertujuan mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu yang piawai dalam kalangan staf di institusi kewangan serta dapat melahirkan staf yang berketerampilan dalam mengemukakan idea, pandangan dan mengungkapkan buah fikiran dalam bahasa Melayu dengan baik dan berkesan.

Bengkel Pidato Sektor Kewangan ini telah diadakan pada 11 hingga 12 Mei 2017 dan 24 hingga 25 Mei 2017 di Sasana Kijang Bank Negara Malaysia. Dr. Mazlena Mohamad Hussain, selaku penceramah untuk teknik dan persembahan dalam pidato, merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan merupakan Hakim Tertinggi Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM). Manakala Puan Hasnah Mohd. Saleh pula penceramah untuk bahasa dan teks dalam pidato, merupakan mantan pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas dan merupakan Munsyi Dewan (Bahasa) DBP.

Penyertaan peserta untuk bengkel pidato sektor kewangan ini sangat menggalakkan apabila seramai 71 orang peserta daripada 17 syarikat kewangan dan insurans di Malaysia telah mengambil bahagian iaitu, Affin Islamic Bank Berhad, Alliance Bank Malaysia Berhad, AmBank Group, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, Cimb Bank Berhad, Maybank, Citibank Berhad, Hong Leong Islamic Bank, OCBO Bank Malaysia Berhad, Public Bank Berhad, RHB Bank Berhad, SME Bank Malaysia Berhad, Etiqa Takaful Berhad dan BNP Paribas Malaysia Berhad.

Dengan penglibatan daripada syarikat kewangan dan insurans ini, dilihat mampu memupuk sikap bertanggungjawab setiap individu dan staf dalam sektor kewangan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, di samping meningkatkan kemahiran sosial serta peningkatan modal insan yang berilmu, bersahsiah tinggi dan berkualiti.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035639
    Visit Today : 417
    This Month : 18238
    Total Visit : 1035639
    Hits Today : 1981
    Total Hits : 4248071
    Who's Online : 14
  • Kategori