OLEH WAN NORASIKIN WAN ISMAIL

PERANAN bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan terus diberi penekanan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), bagi membina negara bangsa. Sehubungan itu, pada 31 Oktober hingga 1 November 2017, bertempat di Institut Perguruan Bahasa Melayu telah berlangsung satu persidangan bagi merangka standard bahasa Melayu. Hal ini selaras dengan matlamat memperkasakan bahasa Melayu, KSBM yang dibangunkan sebagai rujukan bagi menghasilkan satu standard untuk menentukan tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. “Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) Teras Penyetaraan BM” merupakan tema kongres yang bertepatan dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, iaitu YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Dalam ucapannya, beliau menyarankan supaya usaha memperkasa Bahasa Melayu perlu dilaksanakan oleh pelbagai pihak, bukan sahaja di sekolah, institusi pengajian tinggi dan sektor awam, malah sektor korporat juga. Menurut beliau lagi, amat penting untuk Bahasa Melayu mempunyai satu kerangka standard yang dapat dijadikan kayu pengukur bagi menilai tahap penguasaan bahasa itu. Dalam hal ini, kerajaan sentiasa beriltizam memperkasa Bahasa Melayu meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) adalah satu daripada inisiatif memartabatkan pendidikan bahasa kebangsaan itu yang diletakkan di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) di bawah Kementerian Pendidikan. Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) merupakan satu piawai bahasa untuk menentukan tahap pemerolehan dan penguasaan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Terdapat empat objektif utama KSBM antaranya menentukan standard kompetensi bahasa Melayu dalam kalangan pengguna bahasa Melayu, menentukan standard aras kompetensi bahasa Melayu dalam kalangan penutur bahasa Melayu, menjadi rujukan dalam pembinaan kurikulum pendidikan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan dan menjadi rujukan bagi membina instrumen penguasaan bahasa Melayu.

KSBM dibina berdasarkan dua dimensi, iaitu penguasaan/pemerolehan bahasa Melayu dan kemahiran bahasa Melayu. Pemerolehan dan penguasaan bahasa Melayu adalah berdasarkan tatatingkat unit bahasa, iaitu fonem, morfem, kata, frasa, klausa, ayat dan wacana. Manakala kemahiran berbahasa Melayu meliputi empat kemahiran, iaitu kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Setiap dimensi terdiri daripada enam aras dan berasaskan tiga domain, iaitu kognitif, psikomotor dan afektif.

Dalam persidangan ini sebanyak empat kertas dasar telah diutarakan dan 52 kertas kerja telah dibentangkan yang merangkumi pelbagai bidang ilmu. Perkongsian idea dan kepakaran menjadi pemangkin kecemerlangan ilmu dan teknologi yang berteraskan bahasa Melayu. Landasan yang diletakkan ini merupakan usaha membina pembangunan bangsa dan negara mengikut acuan dan tata nilai budaya sendiri. Persidangan ini menjadi pentas untuk perkongsian idea dan kepakaran.

Dengan adanya KSBM ini, matlamat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia kian tercapai. Kerangka ini akan dapat menyatukan pelbagai dialek dan jenis bahasa Melayu yang digunakan dan dituturkan di seluruh pelosok dunia dalam satu wadah. Melalui hasil kerjasama dan iltizam semua pihak, persidangan KSBM ini telah dapat menghimpunkan pendidik dan sarjana dalam bahasa Melayu dari pelbagai institusi, dalam usaha untuk terus memantapkan lagi kerangka yang bakal menjadi kebanggaan negara. Hal ini diterjemahkan melalui resolusi seminar yang telah dicapai antaranya mengangkat KSBM ke peringkat yang lebih tinggi, komitmen kerajaan, pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    979722
    Visit Today : 956
    This Month : 27193
    Total Visit : 979722
    Hits Today : 4347
    Total Hits : 3983490
    Who's Online : 5
  • Kategori