Oleh HUMAIRA ABDUL RAHMAN

DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA  (DBP) dan Pusat Kebudayaan Han Malaysia telah menganjurkan majlis diskusi karya dan pelancaran dua buah buku, iaitu Kesejahteraan Hidup yang Abadi dan Kamus Peribahasa Melayu-Mandarin  pada 27 September 2017, di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara DBP, Kuala Lumpur.

Acara perasmian dengan pukulan gong.

Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim memukul gong sebagai simbolik acara perasmian majlis.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, merangkap Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ucapan perasmian oleh Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Kesejahteraan Hidup yang Abadi merupakan buku berbentuk karya lama yang merangkumi falsafah hidup manusia dari lahir hingga meninggal dunia yang ditulis oleh Encik Cao Guobing dari negara China. Buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan diterbitkan oleh Pusat Kebudayaan Han Malaysia.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, merangkap Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Yang turut hadir ialah Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Datuk Goh Hin San, Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia, dan Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP.

Dalam ucapan perasmian oleh Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, beliau menyatakan bahawa penulisan karya ini merupakan suatu bentuk perjuangan dan sumbangan pemikiran budaya yang tinggi dan menunjukkan persamaan bahasa, bangsa dan budaya antara dua buah negara, iaitu Malaysia dan China serta bangsa Melayu dan bangsa Cina.

“Karya ini menunjukkan mercu pemikiran Tionghoa adalah bersamaan dengan pemikiran kita untuk menuju budaya tinggi. Oleh itu, kita dapat menjalinkan hubungan masyarakat, di samping menentukan masa depan yang lebih jitu dan memberikan sumbangan kepada masa depan kedua-dua buah negara,” katanya lagi.

Jelas beliau lagi, penghasilan kedua-dua karya ini merupakan cantuman antara budaya orang Cina dengan orang Melayu yang memberikan sumbangan besar kepada pembentukan bahasa, tahap pemikiran dan budaya yang lebih tinggi serta penyatuan seluruh masyarakat.

Encik Cao Guobing, penulis asal karya tersebut turut hadir dalam majlis tersebut.

Encik Cao Guobing, penulis Kesejahteraan Hidup Yang Abadi memperkatakan buku tersebut.

Majlis pelancaran buku Kesejahteraan Hidup Yang Abadi lebih istimewa kerana penulis asal karya tersebut turut hadir. Beliau meyatakan bahawa buku Kesejahteraan Hidup yang Abadi merupakan karya sasteranya yang pertama diterbitkan dalam tiga bahasa, iaitu bahasa Cina, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dan buku ini mewarisi keunggulan tradisi budaya bangsa Cina beribu-ribu tahun lalu.

“Jalinan hubungan negara China dan Malaysia mempunyai sejarah yang panjang. Banyak persamaan kita daripada aspek kebudayaan. Diharapkan penerbitan buku ini dapat menjadi jambatan dan kunci untuk mendorong pemahaman budaya yang lebih mendalam dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap kebudayaan negara China,” jelas beliau.

Majlis diskusi ilmu oleh dua orang pembicara, iaitu Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong, Penyelaras Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, membicarakan tentang perbandingan dan persamaan budaya Melayu-Cina dan memberikan pemahaman budaya dan falsafah kehidupan antara kaum. Moderator untuk sesi ini ialah Puan Rozninah Abdul Azib, Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, DBP.

ZFK27092017(305) Majlis Diskusi dan Pelancaran Buku

Sesi diskusi ilmu bersama-sama Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid (kiri)  dan Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong (kanan).

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    979700
    Visit Today : 934
    This Month : 27171
    Total Visit : 979700
    Hits Today : 4106
    Total Hits : 3983249
    Who's Online : 10
  • Kategori