Oleh ALIAH ABDUL RAHIM
ORANGNYA bertubuh kecil, berperwatakan sederhana dan murah dengan senyuman. Bagi kebanyakan orang yang baru mengenalinya, tentu lebih mengenali beliau sebagai pembaca doa dalam kebanyakan majlis di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau pun pembaca doa pada setiap pagi Isnin melalui alat siar raya. Doa yang dibacanya amat disenangi kerana rangkap-rangkap yang diucapnya amat puitis dan menyentuh perasaan sehingga kadangkala menjadi ikutan pembaca doa yang lain. Secara tidak langsung itulah identiti beliau.
![azzz-03Jun2010-105951[1]](http://klikweb.dbp.my/wordpress/wp-content/uploads/2011/05/azzz-03Jun2010-1059511.gif)
Ustaz Azman (kiri) bersama-sama Serunai Faqir semasa penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2009.
Namun siapa sangka, beliau yang kadangkala kelihatan agak serius itu sebenarnya seorang yang berjiwa seni, seorang penulis dan malah novelis muda yang mula menempa nama dalam dunia penulisan.
Ustaz Azman mempunyai ilmu dan kepakaran yang meluas dalam bidang pengajaran Jawi dan merupakan salah seorang pakar Jawi di DBP. Kepakaran beliau bukan sahaja di DBP, malahan di luar beliau sering diundang menjadi penceramah, pembimbing, panel hakim, pakar rujuk dan editor dalam bidang penulisan dan pengajaran Jawi di pelbagai organisasi, antaranya beliau bernah menjadi tenaga pengajar bagi enam buah program Klinik Jawi anjuran Perpustakaan Negara Malaysia, dan pembimbing Kursus Pengkaedahan Jawi Guru-Guru J-Qaf di Pulau Pinang.
Beliau yang berasal dari Kuala Kurau, Bagan Serai, Perak meletakkan nama daerah kelahirannya pada nama penanya, Ibnu Ahmad al-Kurauwi. Ibnu Ahmad al-Kurauwi diasah bakatnya setelah mendapat bimbingan daripada penulis tersohor Zaharah Nawawi menerusi Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI 2004). Selain menulis novel dan cerpen, beliau yang baru berusia 36 tahun cenderung menulis genre karya ilmiah dan karyanya pernah tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Utusan Melayu Mingguan, dan majalah-majalah terbitan DBP. Beliau pernah memenangi tempat kedua pertandingan menulis esei sempena Kempen Budi Bahasa dan Nilia-nilai Murni 2006 anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.