Oleh SHAMSUL IDZAM JAMIL

Faizal dan kumpulannya mengalunkan lagu puisi.

BERMULA dengan penulisan puisi di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohamad Faizal Jamil  (MOFA) memenangi beberapa pertandingan menulis puisi di Sarawak. Antara puisi ciptaannnya yang memenangi hadiah dalam pertandingan Sayembara Mencipta Puisi Kualiti DBP ialah Kualiti dan Perjuangan (tempat ketiga 2001), Pohon Gemilang  (johan 2002), Kembali bertapak (hadiah khas 2003), Sumpah Warga DBP (tempat ketiga 2005) dan Kitalah Warga Cemerlang (johan 2007). Puisi-puisi lain yang diterbitkan dalam buku antologi puisi antaranya ialah Antologi Mutiara dalam Timbunan Pasir 2002, Antologi Kota Asas Tamadun Bangsa 2002, Antologi Puisi Lok Cinta 2007 dan Antologi Puisi Harum Manis Negeri Kami 2009.

Dilahirkan pada tahun 1974, Faizal memulakan kerjayanya dalam bidang seni dan sastera sebagai penulis dan aktivis lagu puisi di Sarawak. Perjuangannya dalam bidang seni bermula dari bangku sekolah lagi. Bakatnya mula dikesan ketika belajar di SMB St. Thomas Kuching pada sekitar tahun 90-an. Pada masa itu beliau begitu aktif membuat persembahan di sekitar bandar raya Kuching dengan menyanyikan lagu-lagu puisi ciptaannya sendiri. Pada tahun 1996 ketika menuntut di ITM Kuching beliau menubuhkan sebuah kumpulan lagu puisi, iaitu Kumpulan Kelana bersama-sama, adik dan sepupunya yang juga mempunyai minat yang sama.

Bakat Faizal dalam bidang seni menarik perhatian syarikat rakaman tempatan. Hasilnya pada tahun 1997 syarikat NAR Record Kuala Lumpur menerbitkan album  yang mengandungi lagu berunsur pop etnik dan lagu puisi nyanyian Faizal dan kumpulannya. Kemudian nama kumpulan mereka ditukar kepada AKIRA (Aku Kembarakan Irama Rasa Akarku). Dalam tahun 1997-1998 AKIRA  menghasilkan tiga buah album termasuk kompilasi balada dan album kompilasi lagu raya. Sehingga kini beliau masih aktif dalam penciptaan lagu puisi dan turut menyumbang kepada perkembangan lagu puisi di Sarawak.

Kesungguhan beliau menceburi bidang penulisan semakin ketara apabila beliau mengembangkan bakatnya dalam bidang penulisan novel. Novel pertamanya berjudul  Katarsis Perjuangan memenangi hadiah ketiga Peraduan Menulis Sastera Kreatif berunsur sejarah 2007. Dari situlah minatnya dalam bidang penulisan semakin kuat sehingga beliau berjaya menghasilkan novel keduanya, Anak Ruma’ Kadang. Novel yang memaparkan kehidupan keluarga Kaum Lun Bawang ini memenangi hadiah sagu hati Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP kategori novel.

 Daripada penulisan novel,  Faizal mengembangkan bakatnya dalam penulisan kreatif cerpen. Percubaan ini turut membuahkan hasil apabila cerpen pertamanya berjudul Sebuku Roti Secawan Kopi  memenangi hadiah Pertama Peraduan Menulis Sastera Kreatif 2006 Peringkat Negeri Sarawak dan cerpen keduanya berjudul Ruma’ Kadang mendapat hadiah sagu hati dalam peraduan yang sama. Antologi cerpen Sebuku Roti Secawan Kopi pula diterbitkan pada tahun 2009.

Keseriusan beliau  menceburi bidang penulisan tidak melunturkan bakatnya dalam bidang seni suara yang telah lama diceburinya. Baru-baru ini  beliau menjadi Juara Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka Peringkat Kebangsaan bagi kategori syair pada tahun 2009. Beliau menjadi juara kategori syair peringkat kebangsaan yang julung kali diadakan pada tahun 2009 dengan membawakan Syair Sarawak atau dikenali sebagai Syair Rakis.

Beliau juga pernah berlakon dalam drama muzikal TV RTM bertajuk “Tinggal” yang diterbitkan pada tahun 1997 dan memegang watak utama. Selain itu beliau juga pernah berlakon dalam beberapa persembahan teater dan taridra di sekitar bandar raya Kuching. Beliau  yang merupakan ahli Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) banyak memainkan peranan  dalam dunia seni khususnya di Sarawak.  Mohamad Faizal  Jamil boleh dianggap serba boleh kerana merupakan seorang novelis, penyair, penyanyi, pemuzik, komposer dan juga pelukis.

Faizal mendendangkan lagu sambil bermain gitar.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1041495
    Visit Today : 810
    This Month : 24094
    Total Visit : 1041495
    Hits Today : 2376
    Total Hits : 4272919
    Who's Online : 13
  • Kategori