Oleh ZA’ABAIE HAJI SHUAINI

SETELAH dua minggu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017 berlalu, pada 24 Mei 2017 yang lalu, Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) mengorak langkah dan melakarkan sejarah tersendiri di kanvas kesusasteraan Melayu negara apabila buat julung kalinya ahlinya merantau jauh ke negara Tembok Besar China untuk melancarkan empat buah buku sastera kreatif Melayu karya penulis PUTERA. Buku yang dilancarkan merupakan tiga buah kumpulan puisi perseorangan, iaitu Pemburu Kata Merdu karya Abizai, Riwayat Mangga Makrifat di Pohon Keramat oleh Basri Abdillah, dan Sayembara Menari tulisan Zaibiee, dan kumpulan cerpen perseorangan, Apabila Rama-rama Dijelmakan Kepompong Epilepsi, karya Frankie Latit.

Penulis dengan buku masing-masing.

Penulis dengan buku masing-masing.

Buku ini dilancarkan di Universiti Bangsa-bangsa Guangxi (Guangxi University for Nationalities – GXUN), Nanning, China, oleh Prof. Madya Dr. QinXiuhong, Naib Presiden, Sekolah Penggajian Asia Tenggara, Fakulti Kebudayaan dan Bahasa Asia Tenggara, dan dihadiri oleh pensyarah serta pelajar dari Jabatan Bahasa dan Pengajian Melayu, Sekolah Pengajian Asia Tenggara, Fakulti Kebudayaan dan Bahasa Asia Tenggara universiti tersebut. GXUN dipilih kerana bahasa Melayu merupakan salah satu subjek yang dipelajari di situ di samping bahasa ASEAN yang lain. Buku terkini penulis PUTERA dilancarkan di universiti tersebut untuk berkongsi genre sastera kreatif Melayu dalam kalangan pelajar yang mempelajari subjek Bahasa Melayu, di samping untuk mengembangkan kesusasteraan Melayu di luar negara.

Pelancaran empat buah buku ahli PUTERA.

Pelancaran empat buah buku ahli PUTERA.

Majlis pelancaran dan diskusi buku PUTERA diselenggarakan oleh Tuah Zhao Dan, Ketua Jabatan Bahasa Malaysia, Timbalan Pengarah Pusat Penggajian Melayu Guangxi, Sekolah Penggajian Asia Tenggara, Fakulti Kebudayaan dan Bahasa Asia Tenggara, dan Basri Abdillah, pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur yang dipinjamkan sebagai pensyarah Bahasa dan Penggajian Melayu, Jabatan Bahasa Melayu, Sekolah Penggajian Asia Tenggara, selaku penyelaras.

Penulis bergambar kenangan di hadapan pintu gerbang GXUN.

Penulis bergambar kenangan di hadapan pintu gerbang GXUN.

Nanning yang terletak di selatan China merupakan ibu negeri wilayah autonomi Guangxi dengan kepadatan penduduk kira-kira 804 ribu orang. Nanning yang merupakan bandar terbesar dalam wilayah Guangxi mendapat jolokan Kota Hijau kerana dirimbuni tumbuhan tropika. Perlombongan bahan semula jadi, seperti emas, besi, aluminium, perak, batu arang, kuarza, indium, marmar, granit dan mangan, merupakan salah satu sumber ekonomi di Nanning di samping sektor perindustrian. Satu per tiga pelbagai bahan semula jadi yang terdapat di China ditemukan di Nanning.

Kejayaan PUTERA melancarkan buku sastera kreatif Melayu di luar lingkungan wilayah Nusantara merupakan sejarah buat sebuah persatuan penulis di Sarawak, khasnya, dan mungkin di Malaysia, amnya. Dengan terlaksananya pelancaran buku tersebut, PUTERA mencipta rekod sebagai persatuan penulis yang pertama di Malaysia yang berani keluar dari kepompong tempatan khasnya dan Nusantara amnya, apatah lagi di negara asing yang jauh berbeza ideologi pentadbirannya dengan Malaysia.

Majlis mengalu-alukan kedatangan penulis PUTERA.

Majlis mengalu-alukan kehadiran penulis PUTERA.

Kerjasama dan sokongan serta sambutan mesra yang dihulurkan oleh dekan, pensyarah, dan pelajar dari Jabatan Bahasa dan Pengajian Melayu di GXUN merupakan kunci kejayaan acara tersebut. Tanpa kerjasama mereka yang terlibat, mustahil acara yang jauh beribu-ribu batu dari negara tercinta boleh berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Kejayaan tersebut mendorong PUTERA untuk l ke GXUN lagi pada masa hadapan dengan tujuan yang sama bagi melancarkan buku terkini penulis PUTERA sambil berkongsi ilmu kesusasteraan Melayu. Tahniah diucapkan kepada penulis PUTERA yang terlibat dalam memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat global.

 

 

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047665
    Visit Today : 1281
    This Month : 30264
    Total Visit : 1047665
    Hits Today : 4142
    Total Hits : 4298944
    Who's Online : 10
  • Kategori