Oleh MARIAM RASID

“ZAFFAN” bererti penari dan “al-Zapin” yang bermaksud gerak kaki merupakan tarian yang berasal dari Arab-Parsi. Tarian Zapin merupakan satu antara kesenian Melayu yang masih wujud sehingga hari ini.

Tarian Zapin merupakan tarian tradisional Johor yang menumpukan langkah tari penuh dengan kesantunan. Kebanyakan posisi badan selalu bergerak seperti ombak mengalun dan posisi tangan tidak diperlihatkan secara jelas misalnya simbol memetik bunga, tangan kanan mahupun kiri berada di bawah bahu. Tarian ini mementingkan kelembutan dan keayuan penari yang menunjukkan orang Melayu sangat mementingkan nilai sopan santun dalam kehidupan.

sds

Tarian Zapin merupakan tarian tradisional Johor yang menumpukan langkah tari penuh dengan kesantunan.

Penari Zapin Melayu yang baik akan menarikan Zapin tanpa mengubah atau menggulung bucu-bucu tikar atau permaidani yang terhampar. Hal ini dianggap sebagai penunjuk kepada kemurnian dan kehalusan tarian Zapin Melayu berbanding dengan Zapin Arab.

Persembahan tarian Zapin terbahagi kepada tiga peringkat, iaitu peringkat pertama permukaan tarian atau pembuka tarian. Peringkat kedua pula pecahan atau gerak serta lenggang tarian diikuti peringkat ketiga, iaitu penutup tarian. Sungguhpun tarian ini dipengaruhi oleh Arab-Parsi, penari-penari masih berpakaian mengikut budaya Melayu selengkapnya iaitu bagi penari lelaki akan berkain samping, memakai baju teluk belanga atau cekak musang, memakai kain sarung tenunan siak, dan bersongkok. Penari wanita pula memakai baju kurung, kain sarung, kebaya panjang, hiasan kembang goyang untuk sanggul, gelang dan dukuh.

xx

Penari-penari masih berpakaian mengikut budaya Melayu selengkapnya.

Di samping itu, alat muzik juga merupakan perkara penting dalam persembahan tarian Zapin bagi mewujudkan suasana yang lebih menyeronokkan. Alat muzik yang paling utama digunakan untuk mengiringi tarian Zapin ialah gambus, rebana, gendang dan marwas. Setiap alat muzik ini mempunyai fungsinya yang tertentu. Gambus berfungsi membawakan lagu sedangkan rentak gendang atau rebana menentukan retak dan pecahan tarian.

Kebanyakan tarian Melayu ciptaan baru juga mengambil rentak Zapin sebagai irama tarian. Selain itu, seni kata lagu untuk tarian ini juga diselitkan dengan kalimat berunsurkan keagamaan seperti “salam” dan “assalamualaikum”, kata-kata nasihat dan pujian kepada kebesaran agama dan kesempurnaan budi pekerti.

Pada hari ini, tarian Zapin dipersembahkan dalam segelintir majlis perkahwinan. Pada majlis tersebut, masyarakat kampung diberi kesempatan bukan sahaja menonton Zapin malah mengambil bahagian dalam persembahan Zapin. Hal ini demikian kerana tarian sebegini mampu melahirkan perasaan kagum dan sekali gus memperkenalkan tarian tersebut kepada masyarakat yang semakin melupakan  warisan budaya Melayu.

Di samping itu, perayaan hari-hari penting seperti Maulud Nabi, Hari Raya dan Awal Muharam yang disambut dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran atau kitab berzanji juga menampilkan persembahan Zapin. Hal ini demikian kerana Zapin di Johor telah dianggap sebagai seni yang mempunyai ikatan kuat dengan tradisi kesenian Arab dan tradisi tersebut juga diterima secara meluas sebagai seni yang berunsurkan kesenian Islam. Tradisi Zapin diterima secara terbuka sebagai seni yang bukan sahaja melambangkan ketinggian budaya Melayu malah kemantapan budaya Arab-Islam dalam seni budaya Melayu.

2

Tarian Zapin semakin kurang mendapat tempat pada hari ini.

Selain itu, kelab tarian Zapin juga telah diperkenalkan di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Kebiasaannya, persatuan sebegini akan menghantar wakil untuk menyertai pertandingan tarian Zapin yang dianjurkan. Kesannya, warisan budaya Melayu mampu merakyatkan seni budaya dan warisan ke peringkat akar umbi agar terus dikekalkan. Tidak ketinggalan juga, kelab sebegini dapat memupuk semangat cinta akan seni budaya dan warisan dalam kalangan remaja dan masyarakat.

Semoga Zapin sentiasa mendapat tempat dalam hati masyarakat kini. Setiap pihak haruslah bertindak secara kolektif bagi membangunkan dan mengembangkan lagi potensi seni ini agar seiring dengan pembangunan. Sesungguhnya usaha yang jitu akan menambahkan lagi bilangan golongan muda yang akan menyemarakkan seni tari ini dalam kehidupan seharian mereka.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049934
    Visit Today : 779
    This Month : 32533
    Total Visit : 1049934
    Hits Today : 4471
    Total Hits : 4309232
    Who's Online : 15
  • Kategori