Oleh HAEME HASHIM

LARAS bahasa ialah variasi bahasa menurut penggunaan yang dihubungkan dengan sesuatu keadaan atau situasi yang berbeza-beza berdasarkan tajuk pembicaraan, hubungan antara pembaca dan situasi pembicaraan. Laras bahasa undang-undang agak unik kerana biasanya mengandungi frasa sendi nama yang tidak digunakan dalam bidang teknikal lain. Selain itu, wacana undang-undang tidak menggunakan gambar atau draf untuk menjelaskan aspek undang-undang tertentu. Ciri yang penting dalam laras bahasa undang-undang termasuklah wacana yang mementingkan kepersisan, keobjektifan, kejelasan dan keterperincian.

Namun, adakah wajar laras bahasa undang-undang mendapat pengecualian hukum tatabahasa? Jika dibaca artikel, pekeliling mahupun penghakiman bertulis dalam bahasa Melayu, terlalu banyak hukum tatabahasa diabaikan asalkan apa yang cuba untuk disampaikan oleh si penulis itu jelas dan difahami. Hal ini seolah-olah menggadaikan prinsip hukum tatabahasa yang wajar diperkasakan dan dititikberatkan oleh semua pengguna bahasa Melayu.

Para peguam wajar menggunakan bahasa Melayu yang baik ketika berhujah - gambar hiasan.

Para peguam wajar menggunakan bahasa Melayu yang baik ketika berhujah – gambar hiasan.

Makna kosa kata berdasarkan interpretasi dan struktur ayat tidak diutamakan. Menggunakan istilah yang dipinjam daripada bahasa-bahasa lain seperti bahasa Inggeris dimaafkan kerana kadangkala istilah-istilah tersebut tidak mempunyai sinonim yang tepat dalam bahasa Melayu seperti petisyen, mandatori, habeas corpus, obiter dictum dan sebagainya. Walau bagaimanapun, penggunaan hukum tatabahasa yang betul tidak wajar diabaikan dalam penggunaan laras bahasa undang-undang. Terlalu banyak kesalahan tatabahasa yang dilakukan dalam penulisan laras bahasa undang-undang hingga mengelirukan orang awam.

Mengambil penghakiman bertulis bagi satu kes di peringkat Mahkamah Tinggi, Showa Factoring (Malaysia) Sdn Bhd v Focus I. D. (M) Sdn Bhd & Ors [2001] MLJU 157 sebagai rujukan, terdapat beberapa kesalahan ejaan. Contohnya, penghakiman bertulis dalam kes ini menulis ‘invois’ sebagai ‘inbois’. Lihat pula pada perenggan ini, “Akibat kegagalan Autoways membuat pembayaran, miskipun terdapat perintah Mahkamah, Plaintif telah menghantar notis meminta D1 membeli semua inbois yang gagal dibayar oleh pelanggan terpilihnya atau menjelaskan semula bayaran pendahuluan yang telah dibayar oleh Plaintif bersama-sama dengan caj-caj yang dikenakan…”. Perenggan ini secara jelas terdapat kesalahan ejaan yang nyata, iaitu ‘miskipun’ dan ‘inbois’.

Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) wajar mengaudit dan menilai penggunaan laras bahasa undang-undang terutamanya di mahkamah. Sebagai cadangan, semua pekeliling dan penghakiman bertulis dalam bahasa Melayu wajar disunting oleh DBP terlebih dahulu sebelum diedarkan kepada awam untuk dibaca.

Hal di atas merupakan inisiatif yang baik bagi memastikan bahasa Melayu kekal dijaga dan dipelihara. Dibimbangi jika laras bahasa undang-undang terus diberikan ‘keistimewaan’ daripada mengikuti hukum tatabahasa, bahasa Melayu akan terus disalahgunakan dan ‘kerosakan’ bahasa akan terus berlaku.

Para kakitangan kerajaan dalam bidang berkaitan perundangan seperti di Jabatan Kehakiman dan Jabatan Peguam Negara termasuk para hakim dan pegawai atasan wajar menyertai kursus bahasa oleh DBP. Dalam kursus ini, mereka dibimbing menggunakan laras bahasa undang-undang dengan baik tetapi memelihara hukum tatabahasa yang betul.

Para peguam juga wajar diwajibkan untuk menjalani latihan penggunaan laras bahasa undang-undang yang betul kerana para peguam juga turut menulis petisyen dan pelbagai dokumen litigasi dalam bahasa Melayu. Mereka terdedah untuk menyalahgunakan hukum tatabahasa dalam laras bahasa undang-undang. Kerjasama antara DBP dengan Majlis Peguam dapat memberikan impak yang berkesan dalam upaya mendidik peguam untuk menggunakan bahasa Melayu yang baik.

Berdasarkan kepada situasi pada hari ini, masih ramai peguam yang tidak begitu fasih berbahasa Melayu dan sering memohon kebenaran mahkamah untuk berhujah dalam bahasa Inggeris. Jika laras bahasa undang-undang dalam bahasa Melayu tidak didedahkan dengan baik kepada para peguam ini, lama-kelamaan keindahan bahasa Melayu akan hilang dan segala usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu di mahkamah di Malaysia hanya sia-sia dan bersifat sementara.

Walaupun salah satu syarat utama untuk individu diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara di negara ini perlu lulus bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), masih ramai yang gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik. Alternatifnya, jika seseorang peguam tidak mempunyai kelulusan bahasa Melayu pada peringkat SPM, dia wajib mengambil ujian bahasa Melayu yang dikendalikan oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LKPU) sebelum diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara. Namun ada yang masih gagal untuk menguasai bahasa Melayu dengan baik. Hal ini merupakan peluang keemasan bagi DBP untuk bekerjasama dengan lebih erat dengan LKPU dalam merancang sukatan pelajaran dan format peperiksaan yang lebih komprehensif dan menguji kefasihan bahasa Melayu calon peperiksaan.

Kesalahan laras bahasa undang-undang mengelirukan masyarakat awam.

Kesalahan laras bahasa undang-undang dalam penghakiman bertulis mengelirukan masyarakat awam.

Kerjasama antara DBP dengan Jabatan Kehakiman Malaysia juga merupakan inisiatif yang sangat bermakna dalam memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang perundangan ini. Laras bahasa undang-undang tidak wajar dilihat sebagai kebal daripada mengikuti hukum tatabahasa yang sebenarnya.

Inisiatif universiti awam seperti Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkenalkan mata pelajaran Bahasa Melayu Perundangan kepada para pelajar tahun akhir Sarjana Muda Undang-undang (LLB) merupakan usaha yang sangat baik. Para pelajar LLB wajib mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu Perundangan selama dua semester dan wajib lulus. Lantas, DBP juga dilihat sangat sesuai untuk masuk ke fakulti undang-undang di Malaysia dan bekerjasama dengan mereka dalam upaya memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang perundangan.

Sebaliknya, kebanyakan fakulti undang-undang universiti swasta masih kurang mendedahkan para pelajar mereka tentang kepentingan bahasa Melayu dalam bidang perundangan. Natijahnya, prestasi dan kefasihan bahasa Melayu para graduan undang-undang universiti swasta masih lemah dan tidak memuaskan. Sekali lagi, amat wajar DBP bekerjasama dengan fakulti undang-undang universiti swasta dalam upaya memberikan pendedahan kepada penggunaan laras bahasa undang-undang yang betul terutamanya daripada aspek hukum tatabahasa.

Namun, walau apa-apa pun inisiatif yang diambil, DBP perlu lebih tegas dalam memastikan penggunaan laras bahasa undang-undang tidak mendapat pengecualian daripada mengikut hukum tatabahasa yang betul. DBP juga perlu tegas agar bahasa Melayu lebih kerap digunakan di mahkamah tertinggi di negara ini. Pada masa ini, hanya mahkamah rendah seperti mahkamah majistret dan mahkamah sesyen yang gigih menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara di mahkamah, manakala mahkamah tertinggi masih berlembut dengan membenarkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara secara kerap.

Kesimpulannya, walaupun tulisan ini banyak menyarankan agar DBP lebih aktif bekerjasama dengan organisasi tertentu dalam upaya memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam bidang perundangan, inisiatif yang dicadangkan amat penting demi perkembangan bahasa Melayu. DBP perlu diberi kuasa undang-undang untuk menegur dan mengambil tindakan kepada pihak berkaitan perundangan yang melakukan kesalahan bahasa.

Akhirulkalam, walaupun laras bahasa undang-undang banyak menggunakan istilah teknikal dan kadangkala agak unik, tidak bermakna institusi undang-undang dikecualikan daripada mengikuti hukum tatabahasa yang tepat demi menjaga kesucian bahasa Melayu.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1054339
    Visit Today : 1284
    This Month : 2592
    Total Visit : 1054339
    Hits Today : 4412
    Total Hits : 4327930
    Who's Online : 9
  • Kategori