gazaJudul              : Menelusuri Jati Diri Srikandi Gaza

Pengarang     : Zaharah Sulaiman

Penerbit         : Dewan Bahasa dan Pustaka (2015)

Harga              : RM 15.00

Bil. Halaman  : 76 muka surat

Pengulas        : Khairunnisa Ismail

 

Masyarakat dunia secara umumnya mengetahui cita-cita besar rejim Zionis Yahudi untuk menakluk dan merampas tanah Palestin daripada rakyat Palestin. Pendatang haram Zionis Yahudi ini sanggup berbuat apa sahaja asalkan hasrat utama mereka untuk mendirikan negara sendiri di tanah rakyat Palestin menjadi kenyataan walaupun terpaksa menumpahkan darah insan-insan yang tidak berdosa.

Satu dunia tahu kebiadaban dan kezaliman yang telah dilakukan oleh rejim Zionis ini terhadap masyarakat Islam di Gaza sejak tahun 2008. Penduduk tempatan Gaza dizalimi, dibantai dan dibunuh tanpa peri kemanusiaan oleh tentera Zionis Yahudi. Mereka mahu mengusir dan menghapuskan kesemua penduduk Islam Gaza agar cita-cita mereka dapat dilaksanakan. Walaupun penduduk Gaza hidup dalam kesengsaraan namun semangat mereka memperjuangkan dan mempertahankan tanah air tercinta mereka daripada terus diratah sangat dikagumi dan semangat juang itulah yang menjadi senjata ampuh mereka bertahan hingga saat ini. Kepercayaan mereka terhadap manisnya nikmat syahid dan saat melihat bidadari syurga merupakan lambang kekuatan yang ditakuti oleh pihak musuh.

Rakyat Palestin sememangnya hebat zahir dan batin. Mereka sangat kental dan kebal daripada segala sogokan nikmat dunia, mereka tidak hairan dengan timbunan harta dunia malah tidak memandang itu semua walau hanya dengan sebelah mata. Kekurangan harta dan tidak punya apa-apa tidaklah menjadi kudis buat mereka kerana mereka yakin dengan pegangan dan kepercayaan terhadap Yang Maha Pencipta sudah cukup buat mereka mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Buku ini boleh saya katakan sebagai sebuah catatan travelog kembara perjuangan sekumpulan sukarelawan berhati mulia dan bersemangat waja yang mahu mengenali dengan lebih mendalam dan menjalin ikatan ukhuwah dengan saudara seagama khususnya di Gaza dan di Palestin umumnya. Pemergian para sukarelawan berhati mulia dan cekal ke bumi Gaza selama 10 hari dalam misi perubatan dan kecemasan ini walaupun tempohnya tidak begitu lama namun berjaya mengorek dan menyingkap rahsia kekuatan dan kejayaan para pemuda dan wanita Gaza mengharungi pahit maung kehidupan dan penderitaan di bumi sendiri akibat kebiadaban tentera Israel yang tidak tahu erti penghormatan terhadap hak orang lain. Sememangnya tidak dapat dinafikan, kekuatan mereka lahir daripada peribadi yang indah dan kepercayaan yang mendalam terhadap janji dan takdir Allah bahawasanya mereka akan beroleh kemenangan jua apabila sampai masa yang telah ditetapkan oleh-NYA.

Kisah travelog yang mengungkap rahsia keperwiraan srikandi Gaza ini bermula apabila Dr. Zaharah Sulaiman yang bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Universiti Sains Malaysia (USM) dan juga selaku Pakar Perunding Laktasi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Baharu, Kelantan ditawarkan untuk mengetuai kumpulan sukarelawan wanita dalam misi A2G12-ER yang dikelolakan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan iaitu Aqsa Syarif. Misi A2G12-ER Aqsa Syarif ini merupakan sebahagian daripada projek dari Wanita Malaysia kepada Wanita Gaza. Program bersama wanita Gaza yang dilaksanakan ini mendapat kerjasama daripada sebuah badan pertubuhan wanita, iaitu Multaqa Ar Rahmah di Gaza. Misi pada kali ini memfokuskan kepada bantuan kecemasankali ketiga rentetan kesan kebiadaban serangan tentera Zionis Yahudi yang tanpa rasa bersalah membedil bumi Gaza dengan senjata canggih mereka.

Pemergian penulis ke bumi bertuah Gaza dengan takdir Allah mempertemukan beliau dengan ramai srikandi Gaza berjiwa pejuang yang sebenar, di situ juga ukhuwah dan silaturahim bertaut erat dan Dr. Zaharah kemudiannya mengumpul ibrah dan semangat keperwiraan srikandi Gaza untuk dibawa pulang ke Malaysia dan seterusnya menyalakan inspirasi serta mencoretkan kisah mereka untuk dikongsi bersama para wanita di Malaysia. Sepanjang keberadaan Dr. Zaharah dan rombongannya memesrai dan menyumbang bakti selama 10 hari di bumi Gaza bersama dengan para srikandi Gaza, begitu banyak kisah hidup yang membangun jiwa dapat dicungkil daripada insan-insan hebat ini. Antaranya ialah kisah keluhuran budi bahasa keluarga Palestin ini dalam melayani tetamu walaupun baru pertama kali bersua. Apabila mendapat tahu rombongan misi keselamatan dari Malaysia sudah tiba, para penduduk Gaza bergegas keluar dari rumah bagi menyambut kedatangan rombongan Malaysia. Tuan rumah bersusah-payah menyediakan juadah makanan yang terbaik buat para tetamu walaupun kehidupan mereka sendiri daif dan serba kekurangan. Sepanjang bermesra dengan mereka, kita akan dapat merasai manisnya ukhuwah dan ikatan persaudaraan ini walaupun tiada sebarang pertalian kekeluargaan.

Penulis juga turut berkongsi perasaan takjub beliau tatkala mendengar beberapa kisah hebat srikandi Gaza yang diceritakan secara langsung oleh penduduk di situ. Antaranya kisah seorang wanita muda yang dijodohkan dengan adik iparnya sendiri selepas suaminya syahid di tangan tentera Israel. Saat suaminya telah tiada, wanita tersebut sedang mengandung anak pertama mereka. Ibu mentuanya telah mencadangkan agar wanita muda tersebut bernikah dengan adik arwah suaminya dan bayi yang akan dilahirkan dapat membesar di rumah ayahnya sendiri. Kisah ini amat menarik dan yang mengujakan ialah kesediaan adik ipar wanita ini untuk menikahinya. Hal seperti ini pelik dan jarang berlaku. Jika sebelum ini mungkin kita pernah mendengar kisah balu para syahid dinikahi untuk dibela dan dilindungi hanya berlaku semasa zaman para anbia’ sahaja akan tetapi hal seperti ini tetap wujud dan berlaku dalam masyarakat yang menghayati, memahami dan mengamalkan syariat Islam yang sebenar seperti di Gaza, Palestin.

Buku ini sangat sesuai dan wajar dibaca dan dijadikan inspirasi serta teladan hidup buat para pemudi dan wanita di Malaysia supaya dapat mencontohi, menjiwai dan mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran agar dapat menghadapi segala badai dan cabaran yang mendatang. Kisah daripada travelog ini juga dapat menyedarkan masyarakat Islam yang lalai dan terleka supaya dapat kembali bangkit dan berada di jalan yang benar menuju reda Ilahi.

Semoga semangat srikandi Gaza ini dapat menerobos ruang jiwa para wanita di Malaysia supaya akan lahir dan muncul lebih ramai srikandi pejuang al-Din yang kental jiwanya dan tidak gentar berdepan segala onak duri dan pancaroba dunia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044567
    Visit Today : 988
    This Month : 27165
    Total Visit : 1044567
    Hits Today : 3373
    Total Hits : 4288346
    Who's Online : 11
  • Kategori