Sejak kecil, dia yang dibesarkan oleh datuk dan nenek sebagai anak pulau, diperdengarkan cerita rakyat, cerita asal usul, legenda puteri kayangan, sejarah bangsa sejak zaman kemasyhuran dan penjajahan, keruntuhan dan kemerdekaan Malaysia. Datuk dan neneklah benih pertama yang menumbuhkan kecintaan Ainna terhadap sastera.
Nama pengarang wanita ini wajar dimasukkan dalam Malaysia Book of Records kerana dalam tempoh 12 tahun berkarya, beliau telah menghasilkan sembilan buah novel dan kesemua novel tersebut memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Kategori Novel Remaja. Dua daripadanya, iaitu Bukan Legasi Lalang dan Bimasakti Menari memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia Kategori Kesusasteraan Remaja (Novel) bagi tahun 2000/2001 dan 2012.
Namanya kedengaran asing apabila diumumkan sebagai pemenang kategori puisi eceran Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010/2011 yang majlis penyampaiannya diadakan pada penghujung tahun 2012. Tidak ramai yang mengenali beliau jika dibandingkan dengan nama-nama seperti Baha Zain, Marzuki Ali, Zaen Kasturi dan Azmah Noordin yang menang pada tahun yang sama.
Orangnya bertubuh kecil, bersopan santun dan sentiasa merendah diri. Beliau peramah dan menghormati sesiapa sahaja yang berada di sampingnya. Kehadirannya sukar dikesan – mungkin kerana sosok tubuhnya yang kecil dan sifatnya yang pendiam – tetapi kerap berada di celah-celah keramaian, terutamanya dalam majlis ilmu yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ketika kanak-kanak, ibu bapanya sering meminta beliau menyampaikan cerita melalui buku yang dibaca dan bercerita tentang apa-apa yang dipelajari di sekolah setiap hari agar ibu dapat memantau perkembangan pembelajaran. Sebelum menyampaikan cerita kepada mereka, beliau akan berdiri dan bercerita di hadapan cermin seorang diri sambil menggambarkan “ma” (ibu) dan abah (Allahyarham bapa) berada di hadapannya dan mendengar cerita.