parlimen

Judul: Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia

Penulis: Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Terbitan: Dewan Bahasa Dan Pustaka

Tahun: 2014 (Edisi Kedua, Cetakan Kedua)

Harga: RM50.00

Pengulas: Hassan Alias

 

SECARA umumnya Parlimen merupakan tempat berlangsungnya perdebatan antara Ahli Parlimen yang dilantik melalui pilihan raya umum. Perdebatan itu mencakupi perkara seperti pentadbiran, sosiopolitik, keselamatan dan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat yang telah memilih wakilnya di Parlimen. Sebahagian masyarakat tidak mengetahui sejarah penubuhan Parlimen, latar belakangnya, dan insan-insan yang pernah menggerakkan penubuhan dan perjalanan Parlimen.

Parlimen merupakan lambang dan tempat bermulanya amalan demokrasi sesebuah negara. Di Malaysia, sistem Parlimen bermula pada tahun 1909, dikenali sebagai Federal Council atau Majlis Persekutuan yang berfungsi sebagai penasihat kepada Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu. Sejak tahun 1959, Parlimen kita bertukar kepada Parlimen yang mempunyai dua majlis. Selepas Perang Dunia Kedua, Majlis Perundangan Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan 1948 juga berterusan menjadi kuasa penggubal undang-undang Persekutuan Tanah Melayu sebelum menjadi Parlimen dwidewan.

Buku ini merupakan edisi kedua daripada buku yang pernah diterbitkan dalam tahun 2010. Edisi kedua ini banyak berkisar tentang penubuhan Parlimen Dwidewan dan penubuhan Dewan Negara yang sekarang mempunyai 70 orang ahli yang dilantik dari negeri-negeri dan yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Buku ini juga mengisahkan pelantikan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara mengikut Perlembagaan Persekutuan selepas Parlimen Dwidewan diwujudkan pada September 1959. Yang turut dikisahkan dalam buku ini adalah pelantikan Timbalan-timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan secara ringkas tentang pelantikan Clerk to the Council atau Setiausaha-setiausaha kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Buku ini terbahagi kepada tujuh bab, iaitu Sejarah Awal Parlimen (Bab 1), Majlis Perundangan Tanah Melayu (Bab 2), Parlimen Tanah Melayu Selepas Perlembagaan Dikuatkuasakan (Bab 3), Penubuhan Malaysia dan Parlimen Malaysia (Bab 4), Parlimen dalam Arus Politik yang Berliku (Bab 5), Penubuhan Dewan Negara (Bab 6), dan Setiausaha-setiausaha Parlimen (Bab 7).

Bab 1 mengisahkan Malaysia yang mewarisi sistem Raja Berperlambagaan dan demokrasi berparlimen daripada England. Sebagai bekas kawasan jajahan dan takluk British, negeri-negeri di Malaysia sebelum merdeka telah mengamalkan sistem yang diperkenalkan oleh pegawai dan rakyat British. Walaupun ada negeri-negeri yang tidak ditakluk oleh British secara jelas, campur tangan British turut menerapkan sistem pemerintahan mereka.

Sejarah Parlimen di England bermula apabila raja memanggil kumpulan the wiseman atau witenagemot untuk membincangkan perihal negara dan merekalah yang memulakan perkitaran yang menjadi Feudal Council di England. Ahli-ahli diberi kebebasan bercakap di hadapan raja yang akhirnya membentuk perkataan “parlimen” yang berasal daripada bahasa Perancis, parle yang bermaksud bercakap.

Sejarah turut memaparkan bahawa pada zaman Mary 1, iaitu pada tahun 1554, Speaker Sir Clement Heigham memulakan penentuan tiga hak untuk the Commons, iaitu hak berbicara dan bercakap, kebebasan daripada ditangkap dan hak menghadap raja. Zaman ini memulakan era baharu untuk memastikan orang yang dilantik sebagai Speaker mesti memiliki latar belakang undang-undang. Tradisi pelantikan peguam berterusan ke era Cromwell dan hanya berubah pada tahun 1673.

Dalam bab ini juga diterangkan konsep pengasingan kuasa yang mula didukung dan difikirkan di Parlimen England pada abad ke-13. Idea tersebut semakin mendapat perhatian pada abad ke-16 ketika kuasa eksekutif (raja) dan kuasa perundangan (legislatif) dimonopoli hampir keseluruhannya oleh raja. Pada peringkat itu, Parlimen menjadi alat kepada raja. Begitu juga hakim-hakim yang mengikut telunjuk raja dan taat setia tidak berbelah bahagi.

Dalam Bab 2, penulis berkata, penubuhan Majlis Persekutuan pada tahun 1909 merupakan kejayaan besar sejarah campur tangan British secara serius di Tanah Melayu dengan mendapat kuasa undang-undang terhadap Negeri-negeri Bersekutu. Kuasa Raja-raja Melayu dihadkan kepada perkara yang berkaitan dengan agama dan adat istiadat Melayu. Matlamat British adalah untuk memperkenalkan sistem perundangan yang seragam ala Parlimen.

Bab 3 menumpukan perihal Parlimen Tanah Melayu selepas Perlembagaan dikuatkuasakan. Dalam bab ini penulis menghuraikan hak dan keistimewaan Parlimen dalam Perlembagaan. Hak dan keistimewaan tersebut hanya diperuntukkan secara dasar oleh Perlembagaan dan tidak ada perincian yang boleh memberikan panduan kepada Speaker dan Majlis untuk mengawal selia tatacara tersebut dan sejauh mana kebebasan tersebut boleh dinikmati oleh ahli-ahli.

Penulis turut menceritakan detik-detik penubuhan Parlimen yang mempunyai dua dewan, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Perjalanan sidang pertama dirakamkan dengan agak terperinci oleh penulis.

Dalam Bab 4, dinyatakan cita-cita Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Tanah Melayu untuk menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah menjadi negara persekutuan yang lebih besar. Walau bagaimanapun British curiga atas beberapa faktor seperti kestabilan politik, ekonomi, sosial dan keselamatan. Selepas dibahaskan selama tiga hari, pada 18 Oktober 1961, Dewan Rakyat bersetuju pada dasarnya atas cadangan penggabungan itu lalu dinamai Malaysia.

Persidangan pertama Parlimen Malaysia diadakan pada 2 November 1963 di dalam bangunan Parlimen yang belum siap sepenuhnya. Dua peristiwa bermakna berlaku pada hari itu, iaitu penyerahan kerusi Speaker, hadiah daripada the Commons dan House of Commons, Parlimen England dan persidangan bersama pertama Majlis Dewan Negara dan Dewan Rakyat Malaysia selepas penubuhan Malaysia.

Parlimen turut mengharungi arus politik yang berliku. Dalam Bab 5 dinyatakan beberapa peristiwa hitam negara seperti rusuhan antara kaum 13 Mei 1969 yang menyebabkan Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan dalam keadaan tidak berpuas hati. Parlimen Malaysia turut menghadapi keadaan yang kritikal apabila Dasar Ekonomi Baru yang disangka akan menyatupadukan rakyat selepas peristiwa 13 Mei sebaliknya mengulangi pergeseran antara kaum. Perbahasan menjadi hangat; ada Ahli Parlimen yang mengeluarkan kata-kata keras dan tidak wajar.

Dalam bab ini juga penulis menyatakan bahawa Ahli-ahli Parlimen tahun-tahun 1990-an berdisiplin dan patuh kepada perintah Yang di-Pertua. Antara Yang di-Pertua yang terkenal pada era tersebut ialah Tun Dr. Mohamed Zahir. Beliau seorang yang penyabar, bersopan santun dan berkecuali. Apabila rang undang-undang meminda Perlembagaan bertujuan untuk mengurangkan kekebalan Raja dibentangkan, beliau kurang bersetuju tetapi akur dengan keputusan Dewan.

Dalam Bab 6, penulis menumpukan penubuhan Dewan Negara yang merupakan salah satu daripada tiga komponen Parlimen Negara. Ahli Dewan Negara turut memiliki keistimewaan, kekebalan dan kuasa yang dinikmati oleh ahli-ahli Dewan Rakyat. Peraturan Dewan Negara diwarisi daripada sumber yang sama dengan Dewan Rakyat, iaitu Peraturan Majlis Perundangan Persekutuan 1948 yang diwariskan kepada Majlis ke zaman merdeka pada tahun 1957, seterusnya hingga bulan September 1959.

Penulis turut merincikan sejelas mungkin akan evolusi Dewan Negara. Dalam bab ini juga penulis menyenaraikan Yang di-Pertua Dewan Negara pertama hingga yang terkini lengkap dengan biodata. Sementara itu senarai Setiausaha-setiausaha Parlimen dicatatkan dalam Bab 7.

Sebagai individu yang terlibat secara langsung di Parlimen, sewajarnyalah penulis merakamkannya sebagai rujukan masyarakat hari ini dan masa yang mendatang. Penulis menghidangkan maklumat yang dianggap “berat” itu dengan gaya yang tersendiri dan menjadikan pembacaan menyeronokkan.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1031711
    Visit Today : 670
    This Month : 14310
    Total Visit : 1031711
    Hits Today : 2046
    Total Hits : 4224318
    Who's Online : 6
  • Kategori