Oleh ASMAH HASHIM

Dunia penerbitan semakin mengorak langkah menuju satu arus perdana yang mampu memberikan peluang kepada sesiapa sahaja untuk menjadi penulis. Hari ini, semakin banyak penulis mula mengatur langkah menerbitkan karya sendiri.  Bagaikan ikutan, semakin hari semakin banyak penulis yang mula berani menerbitkan karya mereka sendiri dengan jenama sendiri tanpa lagi memerlukan syarikat penerbitan yang besar dan hebat. Kebanyakan yang memilih untuk menerbitkan karya sendiri penulis tersohor yang sudah ada nama, pengikut dan pembaca mereka sendiri.bagi-duit

Syarikat percetakan pula ada menawarkan harga yang mampu dibayar oleh sesetengah penulis.  Untuk mengedit atau mengatur dan membetulkan ayat atau perkataan, cari sahaja editor bebas untuk perkhidmatan mereka. Begitu juga dengan kulit buku atau kandungannya. Yang perlu ada hanya DUIT. Jumlah RM4000 sudah mampu mengeluarkan 300 buah buku dengan harga jualan RM30.00 – RM35.00 sebuah.

Para pembaca yang tahu akan hasil penulisan penulis kesukaan mereka sudah pasti akan membelinya. Tiada kata kerugian dalam urusan perniagaan kerana penulis boleh membuat pesanan awal dan pembaca membayar harga buku yang telah ditetapkan.  Penulis berjaya menjual buku mereka sendiri dan berupaya menerbitkan karya mereka mengikut kehendak pembaca, mungkin setahun sebuah, mungkin juga dua buah setahun, tidak mustahil selang tiga bulan. Keuntungan bersih diperoleh oleh penulis seorang diri.  Kebaikan buat penulis.

Persoalannya, bagaimana dengan mutu karya tersebut? Bagaimana dengan tahap bahasanya? Jalan ceritanya? Adakah bersih daripada segala unsur yang dikategorikan sebagai 18sx? Gaya bahasa rojak yang mampu membunuh kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?  Bagaimana dengan ejaan pula? Penggunaan bahasa pesanan ringkas, adakah akan digunakan dalam dialog juga?  Tentang jalan cerita, adakah sesuai untuk dibaca oleh semua golongan, tidak kira kanak-kanak, remaja atau dewasa? Adakah pembaca hanya disajikan dengan cerita cinta yang penuh dengan khayalan kerana penulis yang menulis dan menerbitkannya sendiri boleh menulis apa-apa sahaja tanpa sekatan dan batasan?  Segala idea terluah tanpa ada sekatan daripada pelbagai pihak.

Penulis yang punya matlamat dan hati yang baik sudah pasti tidak akan mengeluarkan atau menerbitkan karya yang dikategorikan mampu menjahanamkan jiwa baik anak muda yang suka membaca karya cinta yang syahdu dan mengasyikkan. Dalam soal ini, tanggungjawab sebagai penulis amat perlu dititikberatkan. Penulis perlu ada rasa tanggungjawab untuk mendidik pembacanya melalui penulisan, termasuk membina jati diri bangsa, agama dan negara.

Bagi penulis yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata, semua perkara baik itu ditolak ke tepi.  Yang dalam fikiran mereka hanya keuntungan yang berganda serta hasil penulisan mereka laris dalam pasaran gelap. Kenapa gelap? Sebabnya, ada penulis yang berani menulis karya lucah semata-mata memikirkan keuntungan buat diri sendiri dan dijual kepada pembaca tertentu sahaja.  Yang berlaku kepada para pembacanya usah difikirkan.  Yang penting, ada pembaca suka malah keuntungan yang diperoleh di luar dugaan. Jumlah 1000 cetakan pertama dengan harga RM50.00 laku bagaikan pisang goreng panas. Permintaan semakin hari semakin tinggi, sedangkan sepatutnya buku seperti itu sama bahayanya dengan buku ajaran sesat yang selalu diharamkan.

Laporan sudah pun dibuat, namun tiada tindakan diambil atas alasan buku tersebut  dijual hanya kepada individu dan bukannya dijual dalam pasaran terbuka.  Kita masih tidak nampak akan bahayanya karya seperti itu kepada generasi hari ini. Biarpun dunia lepas bebas, sebagai negara Islam, kita punya hak untuk menyekat budaya buruk dalam masyarakat kita hari ini.

Berbalik kepada penerbitan sendiri tadi. Ada penulis terpaksa mengambil risiko menerbitkannya sendiri lantaran tingginya permintaan penerbitan berkala besar sekarang ini. Kerana kejatuhan penjualan novel cinta, syarikat lebih berhati-hati menerbitkan karya bertemakan cinta, begitu juga dengan kekeluargaan, kurang mendapat, katanya. Maka berlakulah penolakan demi penolakan biarpun sebelum ini penulis tersebut sudah ada pengikut dan pembacanya sendiri dan  menghairankan?

Adakah benar novel cinta dan kekeluargaan sudah tidak menarik hati pembaca?   Yang berlaku sebaliknya.  Karya cinta dan kekeluargaan masih mengungguli carta di Popular dan MPH, di mana tidak lakunya tadi?  Adakah disebabkan jalan cerita yang sama, tiada perubahan oleh para penulis, atau kurangnya promosi karya tersebut oleh penulis itu sendiri?download (1)

Ada juga syarikat yang tidak membenarkan penulis mereka menulis untuk rumah penerbitan lain. Bagaikan menutup periuk dan kreativiti penulis. Penulis yang menyayangi rumah penerbitan tempat mereka bernaung akan menunggu dengan sabarnya manuskrip atau karya mereka diterbitkan, biarpun memakan masa selama setahun; tahun kedua belum tentu karya tersebut akan diterbitkan, mereka tetap setia. Beruntunglah syarikat tersebut jika mempunyai penulis seperti itu.

Bagi penulis yang tidak sabar, manuskrip yang telah ditolak oleh syarikat penerbitan tempat mereka bernaung sebelum ini tidak akan menunggu lagi, beralih arah demi mencari dan menambah pendapatan buat keluarga mereka.  Yang penting, penat lelah menghasilkan sebuah buku dengan beratus-ratus muka surat, memerah otak, mengkaji dan menyelidik diterbitkan,  biarpun dibuang dari rumah penerbitan tempat mereka bernaung bertahun-tahun.

Mereka yang punya sumber kewangan yang mantap pula sudah pastinya akan menerbitkannya sendiri.  Usah bertangguh lagi, asalkan ada karya setiap tahun dan nama mereka tetap gah di persada penulisan dan pembukuan. Apa jadi dengan nasib penulis yang tiada modal untuk menerbitkan sendiri karya mereka? Karya yang ditolak akan dibakul sampahkah? Alangkah malang nasib penulis.

Baik atau buruk sesebuah karya itu terpulang kepada penulisnya. Jika berasakan penulisan mereka hanya ingin mengejar kesenangan dunia, tiada apa-apa yang perlu dirisaukan.  Hatta menerbitkan karya yang berunsur lucah sekalipun.

Kepada penulis yang mementingkan keuntungan akhirat, sebaik mungkin mereka akan mempertahankan mutu penulisan mereka.  Mereka akan tetap menghasilkan karya yang mampu membina salasilah bangsa dan agama.  Begitu juga dengan gaya bahasa, penulis yang mencintai bahasa ibunda mereka akan tetap menulis dengan bahasa yang indah, kemas dan cantik.

Mereka yang berkata penulisan pun kena ikut cara percakapan masa ini yang bercampur Melayu dan Inggeris tidak akan berasa sedikit pun menulis bahasa rojak dalam penulisan mereka.

Novel yang telah diadaptasi juga bukan sedikit, bertuahlah penulis yang karya mereka terpilih untuk didramakan atau difilemkan. Jika bernasib baik, karya mereka akan laku keras, malah diulang cetak berkali-kali, yang bernasib baik berbelas-belas kali.  Jika tidak bernasib baik, naskhah yang diadaptasi tidak menarik, pelakon tidak menguasai lakonan dan jalan cerita, maka lembaplah jualan. Tidak semua karya yang diadaptasi mendapat sambutan dan laku keras.  Selera pembaca sukar diduga. Apa-apa sahaja yang berlaku dalam drama sering dibandingkan dengan adegan di dalam buku. Penonton perlu tahu bahawa membaca buku tidak sama seperti menonton layar perak. Sudah tentu akan ada penambahan mengikut kehendak pengarah untuk mencantikkan lagi drama atau filem arahan mereka.

Tidak manis jika berlaku perbandingan kerana kedua-duanya berada dalam dunia yang berbeza. Tidak manis menghentam para penulis hanya kerana terdapat atau tersalah fakta dalam karya. Biarpun sepatutnya tidak berlaku, kadangkala adegan atau ayat itu tidak ada di dalam novel yang diadaptasikan. Bukan mencari salah sesiapa. Setiap perkara yang dilakukan perlu kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak yang terbabit.

Menjadi penulis dalam zaman serba maju dan canggih ini tidak susah. Sudah ada rangkaian blog, FB, Whatsapp, dan entah apa-apa sahaja nama yang wujud hari ini yang memberikan peluang kepada sesiapa sahaja untuk merangka cerita.  Ada juga yang berani memplagiat karya yang ada demi kelangsungan cita-cita ingin menjadi penulis.  Hebatnya dunia penulisan hari ini yang penuh dengan cabaran. Rumah penerbitan tumbuh bagaikan cendawan lepas hujan. Pelbagai genre dan tema boleh dilihat di kedai buku dengan pelbagai penerbitan yang kadang-kadang tidak kita tahu akan kewujudannya.

Yang kuat dan tabah bersaing akan terus kekal dan melakar karya. Yang tidak mampu melawan arus akan terus berkubur dan menyimpan kemas jari-jemari untuk urusan lain.

Penulis hari ini menghadapi saingan yang bukan sedikit. Selera pembaca juga sukar diteka.  Pelbagai rasa kadangkala membingungkan penerbit dan penulis.  Pembaca hari ini menjadi RAJA kepada penulis yang punya hak menentukan karya, seperti yang menjadi pilihan mereka. Penulis bagaikan tersekat untuk menghasilkan karya bermutu. Karya yang selalu terpilih dan laku dalam pasaran ialah karya ringan yang tidak memeningkan kepala ketika membacanya. Sekarang trend karya seram bermaharajalela, laku keras dengarnya, malah ada yang diulang cetak berkali-kali, syabas diucapkan. Dunia penulisan sudah berubah, trend sudah berubah, selera pembaca juga berubah-ubah.

Kepada para pembaca dan penerbit yang budiman, hargailah kreativiti penulis yang bersengkang mata menulis, menjanakan idea hanya ingin melihat karya mereka dibaca dan diterbitkan. Jika segalanya disekat, apa lagi yang tinggal kepada penulis? Jika ingin mengkritik, kritiklah dengan ilmu agar penulis boleh memperbaik diri. Jangan menghina dunia penulisan, jangan dihina barisan penulis yang cuba menulis karya yang baik dan bagus dengan ulasan yang mampu membunuh kreativiti mereka. Mereka tidak minta disanjung, tetapi cukuplah dengan rasa hormat dan menghargai mereka sebagai manusia yang ada hati dan perasaan.

Apa-apa sahaja yang kita lakukan, tulis, atau buat semuanya akan dihisab di akhirat nanti. Jadilah penulis yang mampu membina jati diri bangsa dan agama.

Jadilah pembaca yang baik agar kita tidak dihisab juga dengan perbuatan kita membaca buku yang mampu mengundang dosa di hati.

Pilihan di tangan kita sendiri. Biar tidak menjadi penulis BEST SELLER tetapi menjadi BEST SELLER di akhirat (memetik kata-kata seorang penulis di FB).

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044741
    Visit Today : 1162
    This Month : 27340
    Total Visit : 1044741
    Hits Today : 4276
    Total Hits : 4289249
    Who's Online : 16
  • Kategori