Oleh ABDUL HAKAM JAMALUDDIN

Nampaknya polemik tentang kewujudan Hang Tuah timbul lagi dan tidak berkesudahan. Para ahli akademik, sejarawan dan sasterawa sehingga hari ini masih berbahas untuk membuktikan sama ada Hang Tuah seorang tokoh pahlawan Melayu benar-benar wujud atau tidak. Boleh dikatakan sebahagian besar ahli akademik bersependapat mengakui kewujudan Hang Tuah ini berdasarkan teks-teks naskhah Melayu yang sedia ada dan manakala segelintir ahli akademik lain menafikan pula keberadaan tokoh ini dalam sejarah Melayu.

Oleh itu, tulisan ini bukan ditulis untuk membahaskan untuk membuktikan sama ada Hang Tuah ini benar-benar wujud atau tidak. Penulisan artikel ini adalah untuk mengenali siapakah Hang Tuah yang terdapat dalam naskhah Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang diselenggarakan oleh A. Samad Ahmad. Teks yang dirujuk ini adalah berdasarkan naskhah yang telah diulang cetak buat kali ke-15 pada tahun 2010 semenjak mula diterbitkan pada tahun 1979 oleh Dewan Bahasan dan Pustaka. Secara umumnya teks yang dirujuk ini merupakan naskhah yang telah dirumikan oleh A. Samad Ahmad.

Asal Usul Hang Tuah

Bagi mengetahui asal usul Hang Tuah, teks ini menyatakan bahawa Hang Tuah berasal dari Sulawesi:

‘…maka titah raja di Goa kepada juak-juaknya, “Pergilah engkau semua carikan aku, anak daeng baik, anak hulubalang baik; barang yang baik rupanya dan sikapnya engkau ambil.”.

Teks ini juga menerangkan lagi bahawa Hang Tuah merupakan seorang anak yatim yang telah kematian bapanya:

Maka segala juak-juaknya pun pergilah mencari anak orang, daripada segala kampung dan dusun dicarinya tiada dapat olehnya. Maka didengarnya ada anak raja Bajung yang terlalu baik rupanya dan sikapnya, bapanya sudah mati. Maka segala juak-juak itu pun pergilah ke Bajung. Setelah sampai, dilihatnya sungguh seperti khabar orang itu, lalu diambilnya, dibawanya kembali mengadap raja di Goa dipersembahkannya’.

Dalam teks ini memberitahu bahawa nama sebenar Hang Tuah sebelum dihantar ke Melaka ialah Daeng Mempawah anak raja Bajung:

Adapun anak raja Bajung itu Daeng Mempawah namanya: umurnya baru dua belas tahun. Diceriterakan orang empunya ceritera, sudah dua ia membunuh, mengembari orang mengamuk di negeri’.

Hang Tuah Tiba Di Melaka

Setibanyan di Melaka, Hang Tuah telah dibawa ke istana untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka:

Setelah sudah dibaca, maka Sultan Mansur Syah pun terlalu sukacita mendengar bunyi surat raja Mengkasar itu. Maka Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun naik menjunjung duli, lalu mengadap kepada tempatnya sedia itu; maka Daeng Mempawah pun dipersembahkan ke bawah duli dengan segala pesan raja Mengkasar itu semuanya dipindahkannya’.

Rupa dan sikap Hang Tuah ini telah menyebabkan Sultan Melaka suka dan berkenan kepadanya seperti mana yang digambarkan dalam teks:

Maka Sultan Mansyur Syah pun terlalu suka, serta berkenan baginda memandang rupa dan sikapnya Daeng Mempawah itu. Maka titah baginda, “Bagaimana maka raja Mengkasar berkirimkan anak raja Bajung ini? Dilanggarkah raja Bajung maka anaknya tertawan ini?”.

Dari Daeng Mempawah Ke Hang Tuah

Memandangkang Sultan Melaka sangat suka kepada Hang Tuah, baginda telah bertanyakan lebih lanjut mengenai latar belakang Hang Tuah kepada Seri Bija Pikrama. Setelah diterangkan lebih lanjut mengenai latar belakang Hang Tuah, lalu dengan gembiranya Sultan Mansur Syah telah memberikan gelaran baru kepada Daeng Mempawah dengan nama Hang Tuah:

Maka sembah Seri Bija Pikrama, “Tiada tuanku, raja Mengkasar bertanya kepada patik akan kegemaran duli tuanku, maka patik katakan gemar akan budak yang baik rupa,” Maka semua perihal ehwalnya habis dipersembahkannya ke bawah duli Sultan Mansur Syah. Maka baginda pun suka, serta Seri Bija Pikrama dipuji baginda. Maka Daeng Mempawah itu dinamai Hang Tuah, itulah asal Hang Tuah; maka dipeliharakanlah oleh baginda dengan sepertinya, terlalu kasih baginda akan Hang Tuah, maka dianugerahi akan dia sebilah keris tempa Melaka dengan selengkap perhiasannya’.

Apabila berada di Melaka, Hang Tuah telah berguru untuk menuntut ilmu hulubalang. Hal ini mungkin kerana beliau ingin memantapkan lagi ilmu dalam kepahlawanan sesuai dengan perananannya sebagai hulubalang Sultan Melaka. Teks Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) telah memberikan gambaran seperti berikut:

Adapun Hang Tuah selama ia di Melaka, tiada lain kerjanya, hanya berguru akan ilmu hulubalang. Barang siapa yang lebih tahunya dimasukinya; adalah kepada zaman itu tiadalah dua orang-orang muda sebagainya’.

Hang Tuah Menjadi ‘Hang’ Yang Kesembilan

Sebelum tibanya Hang Tuah di Melaka, ketika itu pemerintahan Sultan Mansur Syah sudah terdapat lapan orang yang bergelar ‘Hang’ yang telah dipilih oleh baginda. Mereka itu ialah Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan dan Hang Hussin. Apabila sampai ke Melaka, Hang Tuah telah menjadi ‘Hang’ yang kesembilan setelah dikurniakan Sultan Melaka dengan nama baru kepada beliau. Kehebatan Hang Tuah dikatakan mampu menewaskan kesemua lapan ‘Hang’ yang ada pada waktu itu, bukti ini telah digambarkan oleh teks seperti berikut:

Adapun “Perhangan” ke bawah duli Sultan Mansur Syah yang setelah sudah pilihan delapan orang, iaitu Hang Jebat, dan Hang Kasturi, dan Hang Lekir, dan Hang Lekiu, dan Hang Ali dan Hang Iskandar, dan Hang Hassan, dan Hang Hussin; dan tua-tuanya Tun Bija Sura, menjadi kesembilan dengan Hang Tuah. Sekaliannya berkasih-kasihan, muafakat, sama berilmu, tetapi kepada barang main tewas semuanya oleh Hang Tuah. Demikianlah diceriterakan oleh empunya ceritera’.

Membasmi Orang ‘Amuk’

Kepahlawanan Hang Tuah sebagai hulubalang Melaka tidak boleh dipertikaikan lagi. Beliau digambarkan sebagai seorang yang baik rupa, sikap, cerdik, perkasa dan berani sehingga tiada orang lain mampu menandinginya. Jika di Melaka terdapat orang yang ‘amuk’ atau mengamuk dan tidak mampu ditewaskan oleh orang lain, maka Sultan Melaka akan menitahkan Hang Tuah sendiri untuk membasmi orang yang amuk itu. Sejarah Melayu telah menyatakan bahawa Hang Tuah telah pun berlawan dan membunuh orang amuk seramai 74 orang:

Syahadan akan Hang Tuah janganlah dikatakan lagi, pertama rupa dengan sikapnya, cerdik lagi perkasa dengan hikmatnya, lagi berani, tiada dapat seorang pun menyamainya; dialah sahaja yang lebih daripada yang lain. Apakala ada orang mengamuk dalam Melaka itu, apabila tiada terkembari oleh orang yang lain, maka Hang Tuahlah dititahkan Sultan mengembari dia. Diceriterakan orang yang empunya ceritera selama Hang Tuah dalam Melaka itu, ia membunuh orang yang mengamuk tujuh puluh empat orang, barang yang tiada dapat siapa-siapa mengembari dia, maka ialah yang mengembari; demikianlah peri Hang Tuah dalam Melaka’.

Bergelar Laksamana

Apa yang menarik dalam teks ini ada menceritaka bagaimana Hang Tuah mendapat gelaran Laksamana. Penganugerahan ini diberikan oleh Sultan Melaka apabila Hang Tuah berjaya membunuh seorang Jawa yang mengamuk. Peristiwa amuk orang Jawa ini berpunca apabila dirinya ‘deman terkokol-kokol’ dan telah ditertawakan oleh orang-orang muda. Mungkin kerana tidak tahan dengan ejekan itu, orang Jawa itu telah mengamuk dan menikam mati sesiapa saja yang ada. Melihat keadaan yang tidak terkawal ini, Sultan Mansur Syah telah menitahkan Hang Tuah untuk membunuh orang Jawa yang amuk ini. Pertikaman di antara Hang Tuah dengan orang Jawa ini memperlihatkan kepada kita bagaimana kehebatan Hang Tuah dalam ilmu mempertahankan diri seperti mana yang tercatat dalam teks Sejarah Melayu:

Setelah Jawa itu melihat Hang Tuah, lalu diusirnya; maka Hang Tuah berpura-pura lari dan kerisnya dijatuhkannya. Setelah dilihat oleh Jawa itu keris Hang Tuah, maka dibuangkannya pula goloknya, lalu diambilnya keris Hang Tuah. Adapun akan Hang Tuah terlalu tahu pada melihat keris; maka oleh Hang Tuah diambilnya golok Jawa itu, lalu segera Jawa itu diusirnya. Maka oleh Jawa itu ditikamnya Hang Tuah, maka Hang Tuah melompat, tiada kena, serta ditikamnya Jawa itu dengan golok itu kena dapur-dapur susunya terus, maka Jawa itu pun mati. Dipersembahkan oranglah kepada Sultan Mansur Syah, Jawa itu sudah mati dibunuh oleh Hang Tuah. Maka baginda menyuruh memanggil Hang Tuah. Setelah ia mengadap maka dianugerahi persalinan, dilekatkan bagindalah gelar Hang Tuah itu “Laksamana”. Maka masyhurlah gelar Hang Tuah “Laksamana” disebut orang’.

Konklusinya, tulisan ini sedikit sebanyak dapat memberikan kepada pembaca tentang siapakah Hang Tuah yang disebut dalam teks Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) ini. Melalui artikel ini kita boleh mengetahui tentang nama sebenar dan asal usul Hang Tuah. Teks Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) ini turut memberikan maklumat tentang tugas dan peranan yang diberikan oleh Sultan Melaka kepada Hang Tuah untuk menjaga keamanan negeri. Sikap, rupa bentuk dan tingkah laku Hang Tuah yang sentiasa mematuhi arahan baginda Sultan juga telah menjadikan dirinya sebagai orang kesayangan Sultan Mansur Syah. Kehebatan dan kepandaian Hang Tuah juga dikatakan tidak dapat dan mampu ditandingi oleh sesiapa pun dalam kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pada zaman itu.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044312
    Visit Today : 733
    This Month : 26911
    Total Visit : 1044312
    Hits Today : 2366
    Total Hits : 4287339
    Who's Online : 8
  • Kategori