Oleh MOHD ZAMRI HAJI ABDUL HAMID


 

SINERGI antara Bahagian Komunikasi Korporat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Biro Kebudayaan, Badan Keluarga DBP  berjaya merealisasikan Pertandingan Teater Muzikal DBP  pada 25 Jun lalu bersempena dengan Ulang Tahun DBP yang ke-54. Setiap kumpulan dikehendaki membuat persembahan berdasarkan filem yang dilakonkan oleh Seniman Agung Negara,  Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee dan persembahan perlu menggabungkan lakonan, muzik, nyanyian dan tarian di atas pentas. Jika pada tahun 2007, kisah hidup Seniman Agung ini dipentaskan dalam teater muzikal, “P. Ramlee the Musical… Hidup, Cinta dan Inspirasi”, Biro Kebudayaan Badan Keluarga DBP pada tahun ini menghidupkan teater dan nostalgia kegemilangan beliau di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

Sebanyak tujuh buah kumpulan bersaing merebut kejuaraan dengan menampilkan idea-idea yang kreatif, di samping mengetengahkan bakat pengarahan, penulisan skrip dan pelakon baharu dalam kalangan staf DBP. Pertandingan ini boleh dianggap sebagai platform untuk merapatkan hubungan silaturahim sesama karyawan DBP. Kumpulan yang bertanding bukan sahaja terdiri daripada bahagian tertentu, bahkan gabungan beberapa bahagian yang terdapat di DBP, tanpa mengambil kira jabatan.

Jumlah keseluruhan hadiah yang dipertandingkan hampir RM6000 dengan hadiah utama, iaitu Johan Pertandingan Teater Muzikal DBP 2010  membawa pulang sebuah piala, wang tunai RM1,500, sijil penyertaan dan penginapan 2 hari 1 malam di Ancasa Allsuites resort & Spa, Port Dickson tajaan UDA Holdings Berhad. Manakala Naib Johan menerima RM1000 dan sijil penyertaan dan tempat ketiga menerima RM750 dan sijil penyertaan. Pemenang sagu hati, iaitu kumpulan yang mendapat tempat keempat hingga ketujuh menerima RM300 dan sijil penyertaan. Pertandingan diadili oleh panel hakim daripada penggiat teater dan filem,  iaitu Encik Yalal Chin, Encik Mohd Shahrul Mizad Ashari dan Puan Juhara Ayob.

Kumpulan Penglipur Lara Sri Aroma dari Bahagian Pentadbiran Am yang dinaungi oleh Encik Mohamed Suffian Abd Rahman muncul sebagai johan. Kumpulan ini  mempersembahkan naskhah olahan  Encik Cik Jasni Ismail, arahan beliau dan  Encik Shaari Safie, iaitu “Ceritera Si Labu Labi”. Ceritera mengisahkan Labu dan Labi yang sudah bertahun-tahun bekerja di rumah majikan mereka, iaitu Tuan Haji Bakhil selalu bercerita tentang nasib dan impian mereka berdua yang selama ini tiada perubahan. Antaranya Si Labu yang bercita-cita  menjadi pemuzik dan ketua dan mereka juga meminati gadis yang sama, iaitu Manisah.


Tempat kedua bertajuk “Alahai Bujang Lapok” (kiri) dan”Anakku Sazali Kembali”  di tempat ketiga (kanan).

Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Teruna Dara yang merupakan gabungan Bahagian Peristilahan, Penerbitan Bahasa, Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) dan Bahagian Sains Sosial. Penaung kumpulan ini ialah Puan Hajah Ratna Inzah Datuk Haji Mohd Asri dan diuruskan oleh Puan Norhasmanalinda Mustapa. Kumpulan Teruna Dara membawakan persembahan yang bertajuk “Alahai Bujang Lapok”. Naskhah ini merupakan arahan Encik Mohd. Hiezam Hashim manakala skripnya ditulis oleh Encik Mohd Hiezam Hashim, Puan Norhasmanalinda Mustapa dan Encik Razid Sahran. “Alahai Bujang Lapok” menampilkan isu yang menarik untuk dihayati seperti yang terdapat dalam filem Bujang Lapok. Antara lain, isu kekeluargaan, nilai budi bahasa, hutang dan perkahwinan. Penggunaan puisi tradisional turut menambahkan perencah naskhah ini.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh kumpulan Mega Zain dari Bahagian Majalah dengan naskhah “Anakku Sazali Kembali”. Kumpulan ini mempersembahkan karya arahan Encik Rafiq Rahman manakala skrip ditulis oleh Encik Saifullizan Yahaya dan Encik Rafiq Rahman. Puan Padilah Ali menjadi penaung kumpulan ini dan pengurus kumpulannya Encik Rafiq Rahman. “Anakku Sazali Kembali” mengisahkan Sazali,  anak tunggal  Mahani dan Hassan, seorang ahli perniagaan berjaya yang telah meninggal dunia semasa Sazali masih kecil lagi. Mahani yang terlalu memanjakan anaknya,  membuatkan Sazali menjadi lupa daratan dan banyak merosakkan anak-anak gadis termasuklah Seniwati Combi. Sebaik mengetahui perangai Sazali, Mahani berusaha menasihati anaknya itu tetapi ibarat nasi sudah menjadi bubur, segala-galanya telah terlambat, bak kata pepatah “jika melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Sazali ternyata tidak dapat menerima teguran dan nasihat ibunya, bahkan menyalahkan ibunya atas kasih sayang dan kemewahan yang diberikan.

Kumpulan Kelat-Kelat Masam Manis (Jabatan Sastera), Kumpulan Akraf (Bahagian Keselamatan), Kumpulan Tiga Jebon Je (Pembantu Am Pejabat) dan Kumpulan Seniman Sokongan (Jabatan Sastera) masing-masing menerima hadiah sagu hati. Manakala hadiah khas juri bagi pelakon terbaik dimenangi oleh Encik Abang Ramlee Abang Muhi daripada kumpulan Penglipur Lara Seri Aroma. Penyampaian hadiah kepada para pemenang  disempurnakan oleh Dato’ Haji Termuzi Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah DBP.

Pertandingan turut diselang-selikan dengan persembahan nyanyian oleh Kumpulan Tiga Lelaki dari Universiti  Teknologi Mara (UiTM), dan persembahan kebudayaan oleh Grup Lasqi Aceh yang didatangkan  khas dari Aceh.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035343
    Visit Today : 121
    This Month : 17942
    Total Visit : 1035343
    Hits Today : 824
    Total Hits : 4246914
    Who's Online : 12
  • Kategori