klikwebOleh ABANG PATDELI BIN ABANG MUHI

Iftitah

Rencana yang serba sederhana ini akan memperkatakan pengertian keserumpunan, dan peran nilai budi Melayu dalam menautkan persahabatan serumpun. Apa pun, penulis hanya menyinggung selayang pandang akan peri perlunya kita, khususnya generasi belia ataupun pemuda memahami dan menghayati salah satu daripada kearifan (wisdom) dan kebijaksanaan (sagacity) serta kebaikan (virtue)orang Melayu, yakni nilai hati budi dan budi bahasa yang merupakan unsur penting bagi menautkan persahabatan yang tulus dan luhur sesama kita.

Orang Melayu seperti juga masyarakat lain amat arif akan peri pentingnya hati budi dan budi bahasa dalam membina kerukunan dan ketertiban kehidupan berkeluarga, bermasyarakat (berkomunitas), berbangsa dan bernegara. Orang Melayu meletakkan nilai yang cukup tinggi kepada hati budi dan budi bahasa, dan mereka memang terkenal dek hati budi serta budi bahasa mereka yang tulus dan mulus.

Kefahaman dan penghayatan terhadap hati budi akan membolehkan kita menyelami kearifan dan ketulusan orang Melayu, sekali gus memudahkan kita untuk lebih mengetahui persamaan dan perbezaan antara kita yang akhirnya akan mendekatkan kita, merapatkan kita, memesrakan kita dan mengakrabkan kita.

Sesungguhnya, nilai-nilai budaya seperti hati budi inilah yang menautkan orang Minangkabau dengan suku bangsa Melayu, sekali gus memberikan erti yang cukup besar kepada bangsa Melayu nan serumpun.

Suku bangsa Melayu di rantau ini, khusus di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura atau yang sering dirujuk sebagai wilayah Nusantara atau rumpun Melayu itu sememangnya mempunyai ikatan sejarah yang sangat akrab, sementelah kita diakrabkan oleh hubungan persaudaraan, kekeluargaan, bahasa serta budaya.

Bahasa Melayu (yang juga menjadi asas kepada bahasa Indonesia) pula sudah sekian lama menjadi lingua franca, dan bahasa rasmi beberapa Kerajaan di Nusantara ini sejak beberapa abad yang lalu. Bahasa amat erat pula hubungannya dengan kebudayaan, dan bahasa juga dikatakan cerminan falsafah, pemikiran dan pandangan dunia orang Melayu seperti yang terungkap dalam puisi tradisionalnya seperti pantun, peribahasa, dan sebagainya.

Menurut Hamka (2008), lembaga budi ialah salah satu daripada nilai kemanusiaan yang cukup signifikan yang menjadi perhiasan bagi insan yang cemerlang. Justeru, amat wajar kita, dan generasi selanjutnya menghayati pengertian budi, khususnya yang berkaitan dengan hati budi dan budi bahasa yang menjadi tiang seri kepada kewujudan dan kehidupan orang Melayu.

Dalam sebuah syair Arab gubahan Syauqi Bey yang dipetik oleh Hamka (2008:5), amat jelas dikiaskan betapa sesuatu bangsa itu akan sinonim kewujudan dan keberadaan mereka dengan adanya lembaga budi: Satu bangsa terkenal ialah lantaran budinya. Kalau budinya telah habis, nama bangsa itu pun hilanglah.

Pastinya, setelah kita suku bangsa Melayu ini mengetahui yang kita sebenarnya berkongsi nilai bahasa, nilai budaya, nilai hidup, nilai agama dan nilai budi yang sama, maka ukhuwah dan silaturahim atau keserumpunan antara kita akan lebih tulus, dan utuh.

Pengertian Suku Bangsa Melayu

Penulis berandaian bahawa kita semua yang hadir pada hari ini sudah mengerti apa-apa yang diistilahkan sebagai Melayu dengan pengertian salah satu daripada suku bangsa yang terdapat di dunia ini.

Dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003:1754), Melayu diberikan denotasi: suku bangsa yang merupakan penduduk peribumi di Malaysia, Brunei, beberapa bahagian Indonesia, terutamanya Sumatera (Sumatra), dan Kalimantan, dan beberapa kawasan (daerah) lain di Asia Tenggara. Melayu juga diertikan sebagai bahasa ibunda atau bahasa ibu bagi suku bangsa Melayu.

Tentu sahaja ada dalam kalangan kita yang pernah mendengar ungkapan bahasa Melayu Polinesia. Yang dikatakan bahasa Melayu Polinesia ini ialah rumpun bahasa besar yang meliputi sesebuah kawasan kepulauan yang luas yang di bahagian baratnya dibatasi oleh bahasa-bahasa di Madagaskar, di utara oleh bahasa-bahasa penduduk asli Taiwan, di selatan oleh bahasa-bahasa di Indonesia, dan di Timur oleh kepulauan yang paling timur di Oceania, yakni Pulau Paskah.

Menurut Asmah Haji Omar (2008:49):..Dalam pengertian yang lebih luas, UNESCO dalam tahun 1972 menggunakan nama “Melayu” itu untuk merujuk kepada suku bangsa di Semenanjung termasuk orang-orang Melayu di Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar…Penggunaan istilah “Melayu” yang lebih am adalah yang merujuk kepada suku bangsa yang berbahasa Melayu yang mendiami Semenanjung Tanah Melayu, pantai timur Sumatera, Brunei dan beberapa tempat lagi yang berdekatan. Bahasa suku bangsa ini ialah bahasa Melayu yang sebagai bahasa kebangsaan Malaysia dikenal sebagai bahasa Malaysia, dan sebagai bahasa kebangsaan atau nasional Indonesia dikenal sebagai bahasa Indonesia.

Penulis kira dengan sedikit gambaran tentang sosok suku bangsa Melayu yang diperkatakan di atas akan mendorong kita untuk saling mengenali dan memahami antara kita agar erti bangsa dan budaya serumpun itu dapat kita hayati, sekali gus menjadi faktor sepunya yang akan mempererat dan mengharmonikan ukhuwah, silaturahim dan persaudaraan antara kita.

Selayang Pandang tentang Kearifan Melayu

Dalam konteks makalah ini, penulis memilih untuk tidak terlalu membezakan antara ungkapan kearifan Melayu dengan kebijaksanaan Melayu—kedua-duanya pada hemat penulis, adalah sinonim, dan kedua-dua istilah itu merujuk kepada ketulusan hati budi, ketajaman pemikiran, ketinggian kreativiti, dan keterserlahan keseniman orang Melayu.

Contoh-contoh yang akan penulis ketengahkan yang berkaitan dengan pengertian istilah kearifan adalah bersumberkan peribahasa yang terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia. Mungkin sahaja ada persamaannya, dan tidak mustahil juga wujud perbezaannya dengan masyarakat Melayu di sini. Namun, semua itu bagi penulis adalah suatu kepelbagaian atau keanekaragaman yang akan menjadikan kita saling memahami, menghormati dan menghargai antara kita.

Kata majmuk kearifan tempatan (lokal) terdiri daripada dua konsep kata, yakni, kearifan (wisdom) dan lokal (local). Menurut Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003:139), “kearifan” bermaksud perihal arif; kebijaksanaan; kecendekiaan. Manakala, kata lokal diertikan sebagai “di dalam negeri” (2003:1637). Untuk sementara waktu, kearifan lokal bolehlah diertikan sebagai kebijaksanaan lokal (local wisdom).

Dari perspektif falsafah, kearifan tempatan itu dapat diertikan sebagai suatu sistem pengetahuan masyarakat lokal (indigenous knowledge system) yang bersifat empirikal dan pragmatik.

Menurut Profesor Dr. Chatcharee Naritoom : Local wisdom is the knowledge that discovered or acquired by local people through the accumulation of experience in trials and integrated with the understanding of surrounding nature and culture (kearifan lokal adalah pengetahuan yang ditemukan atau diperoleh oleh orang-orang lokal melalui penghimpunan pengalaman-pengalaman hidup yang dipelajari dan terintegrasi dengan kefahaman tentang persekitaran alam dan budaya).

Sesungguhnya kearifan lokal, dalam konteks makalah ini, kearifan orang Melayu, secara konseptualnya adalah merupakan kebijaksanaan manusia yang berteraskan pada falsafah nilai-nilai, etika, cara dan perilaku yang mengakar secara tradisional. Umumnya, kearifan lokal itu dianggap sebagai pandangan hidup, ilmu pengetahuan dan pelbagai strategi kehidupan yang dilakukan oleh masyarakat lokal atau peribumi dalam mendepani berbagai-bagai permasalahan bagi memenuhi keperluan hidup mereka.

Sama ada kearifan tempatan itu signifikan dan berfaedah ataupun tidak adalah bergantung pada masyarakat lokal yang mewarisi sistem ilmu pengetahuan itu, sekali gus mahu menerima dan mengaku perkara itu sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Jika itu terjadi, maka, kearifan tempatan itu dapat dianggap sebagai salah satu tunjang budaya setempat. Oleh itu, kearifan tempatan adalah sinonim dengan persoalan identiti, dan sebagai sistem ilmu pengetahuan lokal, kearifan tempatan itulah yang menjadi ciri pembeza satu masyarakat lokal dengan masyarakat lokal yang lain.

Orang Melayu memang terkenal dengan kearifannya dalam hubungan sesama manusia, khususnya yang berhubung kait dengan kesantunan berbahasa. Orang Melayu juga amat menitikberatkan soal budi bahasa dan ragam bahasa yang hendak digunakan apabila berkomunikasi dengan kalangan-kalangan tertentu, termasuklah dalam pemilihan diksi, dan dalam aspek semantis kata serta ungkapan yang hendak dipakai.

Oleh yang demikian, segala nilai budaya, nilai hidup, nilai agama, dan nilai bahasa yang menunjangi lembaga budi suku bangsa Melayu hendaknya terus dipupuk, dipugar, dan dikembangkan dan dilestarikan agar dapat diselami, dihayati dan diamalkan oleh generasi kini, dan generasi mendatang.

Perihal Hati Budi dan Budi Bahasa

Ungkapan “hati budi” ialah kata majmuk yang terdiri daripada dua perkataan, yakni “hati” dan “budi”. Orang Melayu amat mementingkan “hati budi”, dan mereka yang mempunyai “hati budi” yang baik, amat dihargai dan disanjung oleh orang Melayu seperti yang tersurat dan tersirat dalam pantun di bawah(Hashim Haji Musa, 2008:XI):

Limau manis dimakan manis,

Manis sekali rasa isinya;

Dilihat manis dipandang manis,

Manis sekali hati budinya.

“Hati” atau kalbu ialah pusat segala perasaan batin atau sifat batin manusia, termasuk juga keinginan serta kemahuan. Perasaan dan sifat batin itu boleh sahaja terdiri daripada perasaan suka hati, besar hati, rendah hati, senang hati, murah hati, tetap hati, iri hati, sakit hati, keras hati, jauh hati, susah hati, berat hati, tawar hati, kecil hati, busuk hati, kecut hati, hati muda, hati murni, hati suci, hati nurani, hati sanubari, hati batu, buah hati dan sebagainya.

Bagi orang Melayu, bukan sahaja hati sendiri yang harus dijaga, malah, sangat menjaga hati orang lain daripada hati kendiri. Orang Melayu dahulukala amat berhati-hati dalam setiap tutur kata dan tingkah lakunya agar tidak mengecilkan hati orang lain atau orang lain itu akan berkecil hati atau berjauh hati dengannya.

Oleh itu, dahulukala, kehidupan bermasyarakat atau berkomunitas, dan berkeluarga orang Melayu itu sangat rukun damai, dan harmonis.

Kata “budi” ada mempunyai sekurang-kurangnya enam denotasi. Pertama, “budi” diertikan dengan sebagai sesuatu di dalam batin yang merupakan paduan akal atau perasaan untuk menimbang mana yang baik dan mana yang buruk. Kedua, “budi” diberikan makna akal, dan kebijaksanaan. Ketiga, perkataan itu membawa erti tabiat, akhlak, perangai, tingkah laku dan perwatakan. Keempat, kata “budi” mendukung makna perbuatan atau sifat baik, dan termasuklah kebaikan serta kebajikan. Kelima, kata itu bermaksud daya upaya, ikhtiar dan bicara. Maknanya yang keenam ialah akal, dalam erti kecerdikan menipu atau tipu daya.

Nilai budi ini sangat diambil berat oleh orang Melayu kerana budi adalah merupakan perhiasan kepada keperibadian, dan harga diri orang Melayu seperti yang digambarkan dalam pantun Melayu di bawah.

Diribut tunduklah padi,

Dicupak Datuk Temenggung;

Hidup kalau tidak berbudi,

Duduk tegak ke mari canggung.

Orang Melayu cukup arif perihal “budi” ini, dan nilai budi ini juga sangat dititikberatkan oleh mereka, khususnya sebagai nilai kehidupan bermasyarakat, dan hubungan kekeluargaan serta silaturahim antara sanak dan suku. Makanya terbitlah pelbagai ungkapan daripada gabungan kata “budi” ini dengan perkataan-perkataan lain bagi menerbitkan konotasi-konotasi yang baharu.

Contohnya, budi bahasa, budi pekerti, budi bicara, dan sebagainya. Aspek “budi bahasa” dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat serta antar-masyarakat dan antar-budaya misalnya, adalah merupakan nilai teras yang begitu diutamakan oleh orang Melayu di Malaysia. Pun begitu di Indonesia, dan di provinsi Sumatera ini khususnya.

Kata “bahasa” yang dimaksudkan dalam makalah ini ialah “percakapan atau perkataan yang baik, tingkah laku yang baik, dan sopan santun”.

Betapa penting dan tingginya nilai “bahasa” ini bagi orang Melayu dicerminkan lewat peribahasa “bahasa dan bangsa itu tiada dijual atau dibeli” yang membawa maksud “hendaklah menjaga budi bahasa meski daripada kaum yang hina sekalipun”.

Peribahasa “bahasa menunjukkan bangsa” pula mengiaskan maksud “budi bahasa atau perangai serta tutur kata menunjukkan sifat dan tabiat seseorang”. Dengan kata lain, “baik buruk kelakuan menunjukkan tinggi rendahnya asal atau keturunan seseorang itu”.

Pantun-pantun di bawah memperjelaskan betapa orang Melayu amat mementingkan nilai “budi” dan “bahasa” kerana kedua-dua nilai itu menyangkut soal harga diri atau maruah mereka.

             Tingkap papan kayu bersegi,

            Sampan sakat di Pulau Angsa;

            Indah tampan kerana budi,

            Tinggi bangsa kerana bahasa.

 

            Anak dara berkain cukin,

            Dari Daik bulan puasa;

            Tidak kira kaya miskin,

            Asal baik budi bahasa.

                                  

Oleh itu, yang dikatakan hati budi itu ialah tabiat, perangai dan tingkah laku. Orang Melayu sesungguhnya mempunyai nilai hati budi yang luhur, sejati dan tulus. Orang Melayu dahulukala amat tidak menyukai hati budi yang lemah, polos dan jelik.

Manakala yang dikatakan budi bahasa itu ialah tingkah laku dan tutur kata, dan kesopanan serta kesantunan. Orang Melayu sangat mementingkan tingkah laku atau olah yang santun, dan tutur kata yang sopan—itulah yang dikatakan orang yang berbudi bahasa.

Baik aspek hati budi mahupun aspek budi bahasa, kedua-duanya adalah merupakan nilai yang luhur dan jitu yang menjadi tiang seri keberadaan serta keperibadian orang Melayu.

Rumusan

Hati budi dan budi bahasa orang Melayu terdahulu yang tulus serta halus itulah yang harus terus dihidupkan, diamalkan dan dilestarikan oleh generasi belia atau pemuda kini, dan mendatang, sekali gus untuk memaknakan erti bangsa serumpun yang saling mempercayai, meyakini, memahami, menghargai, menghormati dan menyayangi.

Hati budi dan budi bahasa Melayu adalah bertunjangkan nilai-nilai murni yang Islamik yang sejagat sifatnya. Setiap orang dituntut untuk mempunyai hati budi dan budi bahasa yang elok serta indah nian.

Oleh itu, nilai-nilai itu hendaknya dipelihara, dipulihara, dipupuk, dan disuburkan perkembangannya agar tidak sirna ditelan zaman. Dalam keghairahan dan keterujaan belia atau pemuda meraikan pembangunan teknologi informasi dan komunikasi (ICT) yang canggih serta gaya hidup yang serba cenderung materialistik, nilai-nilai tradisional yang murni seperti hati budi dan budi bahasa tidak harus dipinggirkan sehingga kita tidak lagi mempunyai sosok atau keperibadian dan akar budaya yang boleh kita banggakan.

Tidak salah kita mementingkan hal-hal yang dapat mempertingkatkan status sosial dan tahapan ekonomi kita, namun semua itu tidak harus mengalpakan kita, lantas menyebabkan kita lupa untuk mengasuh anak-anak kita, sekali gus mendidik diri kita sendiri dengan nilai-nilai hati budi dan budi bahasa yang merupakan elemen atau unsur asas bagi melahirkan bangsa serumpun yang budiman.

Muda-mudi atau pemuda-pemuda yang budiman, yakni generasi baharu yang berbudi, beradab, beradat, pintar, dan bijaksana adalah merupakan aset penting yang meneruskan legasi bangsa serumpun yang luhur dan tulus.

Generasi serumpun yang budiman ini pastinya akan lebih berpengetahuan, berinformasi, berfikiran terbuka, berjiwa luhur, dan bertoleransi, sekali gus tidak mudah terpengaruh serta terpedaya oleh pelbagai unsur propaganda dan muslihat yang sengaja disensasikan oleh pihak-pihak tertentu dengan agenda-agenda tersembunyi tertentu untuk merencatkan dan mengeruhkan hubungan Malaysia – Indonesia—mungkin sahaja ada kasus-kasus yang terpencil yang sengaja disensasikan melalui media, dan sebagainya yang seharusnya bisa sahaja dirundingkan dan diselesaikan secara ukhuwah serta dengan semangat permuafakatan dan persahabatan Melayu serumpun.

Pisang emas dibawa berlayar,

Masak sebiji di atas peti;

Hutang emas boleh dibayar,

Hutang budi dibawa mati.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035883
    Visit Today : 661
    This Month : 18482
    Total Visit : 1035883
    Hits Today : 2592
    Total Hits : 4248682
    Who's Online : 13
  • Kategori