Oleh WAN NORASIKIN WAN ISMAIL

Setelah sekian lama masyarakat pembaca mengalami kesukaran untuk mendapatkan bahan bacaan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), akhirnya DBP tampil bersama imej baru dengan memperkenalkan kedai buku bergerak yang dinamakan Ujana Buku. Ujana Buku telah dirasmikan oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, iaitu Dato’ Seri Muhyiddin Yasin bertempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 29 April 2015.

Ujana Buku telah dirasmikan oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, iaitu Dato’ Seri Muhyiddin Yasin bertempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Permatang Pauh, Pulau Pinang

Ujana Buku telah dirasmikan oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, iaitu Dato’ Seri Muhyiddin Yasin bertempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Permatang Pauh, Pulau Pinang

Ujana merupakan kata yang diambil daripada sastera lama yang bermaksud taman. Ujana buku bererti taman buku atau taman ilmu. Hal ini amat bersesuaian dengan konsep kedai buku bergerak yang diperkenalkan oleh DBP yang menjual pelbagai bahan ilmiah termasuklah buku dan majalah dalam pelbagai bidang. DBP berusaha mengajak masyarakat untuk menambahkan ilmu dan membentuk masyarakat yang bersopan santun dan berakhlak mulia bersesuaian dengan slogannya, iaitu Menyebarkan Ilmu Menyantuni Masyarakat.

Ujana Buku merupakan kedai bergerak yang diubah suai daripada kenderaan pacuan empat roda yang dilengkapi dengan rak buku dan kelengkapan terminal jualan. Kedai buku bergerak ini merupakan trend penjualan buku terkini dan DBP merupakan di antara pelopor terawal di Malaysia yang menggunakan kaedah jualan seperti ini. Pemilihan kenderaan pacuan empat roda amat bersesuaian dengan lokasi dan bentuk muka bumi kerana ia tahan lasak dan fleksibel. Jika dibandingkan dengan kenderaan seperti lori yang terhad dari segi akses ke lokasi tertentu. Ujana buku membawa imej DBP ke merata pelosok negeri dan secara tidak langsung telah memberi nafas baru kepada produk DBP yang selama ini sukar diperoleh. Ia juga merupakan cara untuk memperomosikan/memperkenalkan DBP kepada masyarakat umum. Hal ini kerana sejak kebelakangan ini generasi baru sudah tidak mengenali DBP sebagai penerbit yang terulung dan merupakan payung utama kepada pencetak-pencetak bumiputera di Malaysia.

Ujana Buku DBP.

Ujana Buku DBP.

Sehingga kini, Ujana buku telah menjelajah ke seluruh pelosok negara, antaranya kedah, Johor Bharu, Negeri Sembilan, Kelantan, Pulau Pinang dan lain-lain lagi. Matlamat utama ujana Buku diperkenalkan ialah bertujuan agar penerbitan DBP dapat disebarluaskan ke pelosok negara merentasi bandar serta desa dan membudayakan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini amat bertepatan dengan fungsi DBP iaitu menyebarluaskan hasil-hasil penerbitan dalam bahasa Melayu dalam pelbagai genre. Sehingga kini, Ujana Buku telah menjelajah lebih dari 30 lokasi di seluruh negara dengan memberi tumpuan kepada sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT). Sejak dilancarkan pada April lalu, Ujana Buku mendapat sambutan hangat dan seringkali dijemput untuk mengadakan jualan di sekolah dan IPT. Apa yang membanggakan jualan yang diadakan di sekolah-sekolah Cina mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutama bagi buku-buku bahasa contohnya siri kemahiran berbahasa, Tatabahasa Sekolah rendah Jilid satu hingga tiga, pelbagai kamus dan bacaan kanak-kanak yang lain.

Kaedah pemasaran ini amat bersesuaian pada masa kini kerana kedai buku bergerak ini dapat memenuhi keperluan pengguna dan buku yang dibawa disesuaikan dengan semua majlis, khalayak pembaca dan peringkat umur. Hal ini secara tidak langsung, membolehkan DBP menawarkan harga buku dan majalah terbitannya dengan harga yang berpatutan dan potongan diskaun yang lebih tinggi daripada kedai biasa. Di samping itu, melalui Ujana Buku, pelbagai maklumat tentang penerbitan, program bahasa dan sastera serta pelbagai aktiviti pembudayaan ilmu dapat disampaikan terus kepada pengguna.

Motorsikal Ujana DBP.

Motorsikal Ujana DBP.

Pelanggan juga boleh membuat pesanan terus atau melanggan bahan-bahan terbitan DBP. Melalui Ujana juga, DBP secara tidak langsung dapat mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan oleh DBP contohnya Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), perkhidmatan Pusat Dokumentasi Melayu, Khidmat Nasihat Bahasa dan aktiviti-aktiviti bahasa dan sastera yang dijalankan oleh DBP. Selain itu, DBP juga menawarkan perkhidmatan penghantaran cepat untuk pelanggan yang memerlukan buku dengan segera. Perkhidmatan ini ditawarkan untuk pengguna yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Kelang sahaja. Penghantaran buku dengan menggunakan motosikal ini menjimatkan masa dan bekalan dapat dihantar tepat pada masanya. Untuk pelanggan yang ingin menggunakan khidmat penghantaran buku ini tiada limit pembelian yang ditetapkan.

Bagi perancangan pada masa hadapan DBP berhasrat untuk memperkembangkan lagi kaedah pemasaran ini. Setakat ini, DBP hanya mempunyai enam buah Ujana, iaitu tiga buah di Ibu Pejabat DBP di Kuala Lumpur, DBP Wilayah Timur, Cawangan Sabah dan Sarawak. Dengan penambahan Ujana di Cawangan dan pejabat wilayah ini diharap aktiviti pengedaran dan pemasaran buku-buku DBP akan bertambah rancak. Kaedah pemasaran ini menjadi perintis untuk DBP terus bertapak kukuh dalam industri perbukuan dan peranan DBP dalam penyebaran ilmu dalam bidang bahasa dan sastera tidak akan terhenti. Walau bagaimanapun kerjasama daripada pengedar buku DBP untuk mengambil langkah sama dalam kaedah pemasaran buku-buku DBP ini amat dialu-alukan. Ini kerana kaedah pemasaran ini berupaya meningkatkan nilai pulangan dan memberikan pengedar idea untuk memperluaskan penjualan buku disamping menjana pendapatan lumayan.

Jika selama ini DBP agak suram dari segi penerbitannya kerana kelemahan dari segi pemasarannya di harap kehadiran Ujana buku memberi nafas baru kepada DBP dan DBP kembali aktif dalam dunia penerbitan setanding dengan penerbit-penerbit yang lain. Kepada sesiapa yang berhasrat untuk menjemput Ujana Buku mengadakan pameran bergerak bolehlah menghubungi Bahagian Pengedaran dan Pemasaran DBP. Semoga DBP sebagai penerbit terulung di negara ini dengan slogan lambang buku bermutu kembali utuh dipersada tanah air.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013518
    Visit Today : 781
    This Month : 32863
    Total Visit : 1013518
    Hits Today : 2592
    Total Hits : 4134697
    Who's Online : 9
  • Kategori