ZAI_9433

Judul: Tumbuhan Berkhasiat Ubatan (Penanaman dan Pemprosesan Produk)

Pengarang: Khairuddin Kamaruddin

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM30.00

Pengulas: NORSUHAILA IBRAHIM

Buku berjudul Tumbuhan Berkhasiat Ubatan (Penanaman dan Pemprosesan Produk) ditulis oleh Khairuddin Kamaruddin. Kandungan buku ini secara ringkas berkisar tentang spesies tumbuhan berkhasiat ubatan yang popular untuk ditanam, kaedah penanaman dan pemprosesan produk tumbuhan berkhasiat ubatan. Dunia makanan dan kesannya terhadap kesihatan telah mendesak manusia untukmengeksploitasi sumber semula jadi bagi menghasilkan pelbagai produk kesihatan dan makanan berkhasiat untuk memperoleh kesihatan yang baik. Krisis kesihatan global telah mendorong masyarakat (yang bertindak sebagai pengeluar sama ada dalam bidang pertanian mahupun industri pengeluar produk) untuk turut sama terlibat pada pelbagai peringkat dalam usaha memajukan industri penanaman tumbuhan ubatan dan tumbuhan berkhasiat sehinggalah memasuki industri pemprosesan produk kesihatan berasaskan sumber semula jadi.

Popularnya sesuatu spesies tumbuhan ubatan dan tumbuhan berkhasiat amat bergantung pada permintaan pengguna untuk berbagai-bagai kegunaan sama ada sebagai rawatan kesihatan, pemakanan atau rawatan kecantikan, contohnya kosmetik. Pemilihan spesies tanaman yang tepat (sama ada untuk ditanam atau diproses) amat penting bagi menentukan sumber dan produk yang dihasilkan agar selaras dan berdaya maju dengan permintaan di pasaran tempatan, seterusnyamenjangkau ke peringkat antarabangsa.

Bab pertama buku ini menerangkan tentang herba sebagai penawar pelbagai penyakit, pendekatan penyelidikan terhadap tumbuhan berkhasiat ubatan, pengetahuan masyarakat tentang tumbuhan berkhasiat ubatan, dan tumbuhan berkhasiat ubatan yang diusahakan secara perladangan. Tumbuh-tumbuhan berkhasiat ubatan ialah tumbuh-tumbuhan yang mempunyai nilai ubatan untuk rawatan penyakit. Selain berkhasiat ubatan, tumbuh-tumbuhan ini juga mempunyai khasiat sebagai makanan untuk kesihatan dan kecantikan, sama ada untuk dimakan, diminum atau digunakan secara luaran. Hal ini disebabkan ada antara tumbuh-tumbuhan mempunyai khasiat nutrisi yang berkaitan dengan kesihatan dan ubatan. Pada ketika ketiadaan kaedah perubatan moden, tumbuhan merupakan elemen utama dalam sesuatu ramuan ubatan selain jampi serapah dan petua-petua yang diamalkan untuk menyembuhkan sesuatu penyakit. Perubatan tradisonal telah banyak memfokuskan kajian untuk mencegah keuzuran.

Di Malaysia misalnya, masyarakat Melayu terutamanya menggunakan pelbagai spesies tumbuh-tumbuhan ubatan untuk merawat penyakit secara tradisional, contohnya tongkat ali, kacip fatimah dan pegaga. Keberkesanan atau ketepatan sesuatu penemuan ramuan ubatan sentiasa diselidiki dan dibangunkan bagi memastikan produk yang dihasilkan daripada tumbuhan itu adalah berkualiti tinggi serta selamat digunakan melalui piawaian bahan mentah dan produknya. Antara khasiat dan kegunaan tumbuh-tumbuhan untuk rawatan jenis-jenis penyakit termasuklah antialergi, antioksidan, antiradang, antimikrobial, antibakterial, antiparasit, antifertiliti (antikesuburan), antipiretik, antiseptik, antiasma, diabetis (kencing manis) dan darah tinggi.

Pendekatan pembukaan ladang tumbuh-tumbuhan berkhasiat ubatan dapat meningkatkan nilai komersial dengan penanaman yang sistematik bagi menjamin kesinambungan dan pengawalan bekalan bahan mentah untuk aktiviti pemprosesan produknya kelak. Antara jenis tumbuhan berkhasiat ubatan yang boleh diusahakan sebagai tanaman ladang ialah pegaga, cendawan ganoderma, serai wangi, hempedu bumi (akar serita), kunyit dan halia. Tanah-tanah terbiar yang berpotensi boleh ditebus guna dengan mewujudkan ladang-ladang herba melalui “Amalan Pertanian Baik”. Tindakan ini membolehkan bahan mentah dihasilkan secara konsisten dan selamat digunakan. Kebaikan tanaman secara perladangan dapat menentukan kaedah teknologi terhadap cara pembiakan, cara penanaman, amalan silvikultur, pengurusan baja, pengairan, kawalan musuh dan penuaian.Selain itu, langkah-langkah pengendalian lepas tuai dan pemprosesan mudah dilaksanakan. Antara objektif pembukaan ladang-ladang tumbuhan berkhasiat ubatan ialah dapat mengelak kepupusan atau hakisan genetik, menjamin bekalan bahan mentah yang berterusan untuk menyeimbangkan kadar penawaran dan permintaan terhadap komoditi yang berasaskan sumber semula jadi alam, dan untuk menjamin kualiti produk.

Bab kedua pula menerangkan tentang spesies tumbuhan dan rempah-ratus berkhasiat sebagai makanan dan ubatan. Antaranya jenis ulam-ulaman, sayur-sayuran, jenis buah-buahan, herba, tumbuhan minyak pati, tumbuhan beraroma, tumbuhan akuatik dan tumbuhan eksotik. Ulam-ulaman didefinisikan sebagai daun-daunan, biji-bijian atau buah-buahan mentah yang dimakan dengan nasi. Lazimnya ulam-ulaman dicecah dengan sambal belacan atau air asam. Ulam dimakan sama ada secara mentah dengan nasi seperti jering, keredas, petai dan pegaga atau dicelur terlebih dahulu seperti pucuk ubi kayu, pucuk halban dan kesum. Antara khasiat ulam ialah mengubati penyakit urat saraf seperti lumpuh dan sakit-sakit sendi.

Sayur-sayuran pula merupakan bahagian tumbuh-tumbuhan seperti daun, pucuk, dan buah yang dimasak menjadi sayur. Biasanya sayur-sayuran dimasak berkuah dan dimakan bersama-sama dengan nasi. Sayur-sayuran terutama yang berwarna cerah mempunyai pigmen tumbuhan yang mengandungi sumber antioksidan bagi melawan kuman. Kompaun yang terdapat dalam sayuran membantu melindungi sel-sel daripada rosak yang boleh menyebabkan kanser dan penyakit jantung. Antara jenis sayur berkhasiat ubatan yang lazim ditanam ialah serai, ubi kayu dan kacang panjang.

Rempah-ratus mempunyai khasiat kerana kehadiran pelbagai jenis bahan yang diserap dan digunakan oleh tubuh manusia bagi pelbagai fungsi tubuh. Antara yang lazim digunakan orang Melayu ialah cili api,cabai merah, kunyit, bawang putih, bawang merah, asam jawa, halia, lada hitam, kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, bunga kantan dan buah pelaga.

Buah-buahan berkhasiat ubatan dan mempunyai kandungan vitamin yang tinggi termasuklah betik, jambu batu, manggis dan limau. Buah-buahan ini sama ada dimakan mentah, dibuat jeruk, pengat atau bubur, dan dijadikan sebagai jem, jus dan kuih-muih. Buah-buahan merupakan sumber gula semula jadi yang tersembunyi, terhasil dalam pelbagai jenis makanan dan minuman bergas atau kordial yang diproses. Terdapat pelbagai nama gula pada label makanan atau minuman seperti sukrosa, glukosa, dekstrosa, maltosa, fruktosa, sirap jagung dan sirap pekat. Gula terhasil daripada proses pemecahan makanan berkarbohidrat di dalam badan. Pengambilan gula dalam makanan dan minuman yang kerap dan berlebihan boleh mendedahkan seseorang itu kepada pelbagai risiko kesihatan seperti karies gigi (kerosakan gigi) dan obesiti (kegemukan) serta komplikasinya, iaitu darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung.

Herba berkhasiat ubatan pula termasuklah herba jarum tujuh bilah untuk merawat penyakit kanser, darah tinggi, penyakit buah pinggang dan sakit kepala. Daunnya dikisar halus menjadi daun teh untuk dijadikan minuman atau jus manakala pucuk muda dijadikan ulam. Cekur sesuai untuk mengubati selesema, batuk kering dan tonik ibu selepas bersalin. Cekur juga boleh dimakan sebagai ulam dan ubat sapu bagi merawat penyakit kulit. Herba lain berkhasiat ubatan ialah kacip fatimah yang dijadikan minuman tonik selepas bersalin; senduduk putih untuk mengubati batuk, masalah pertuturan kanak-kanak, cirit-birit dan berak berdarah; gandarusa pula untuk bengkak badan, sakit kepala, sakit urat dan mengubati haid yang tidak teratur serta mengatasi rasa mual; daun sambung nyawa dapat mengurangkan kadar kolesterol dan menurunkan tekanan darah tinggi; kemunting cina membantu mengurangkan sakit sendi, gusi berdarah dan sakit kerongkong. Ia juga boleh merawat cirit-birit dan merendahkan paras kandungan gula dalam badan.

Terdapat juga tumbuhan akuatik yang mempunyai khasiat ubatan dan boleh digunakan untuk mengubati sesetengah penyakit dan sebagai ramuan kosmetik. Contohnya ialah pegaga air, jerangau, dan teratai. Jerangau mudah dijumpai di kawasan yang berpaya, terutamanya di tepi sungai dan merupakan tumbuhan separa berair. Ia mempunyai rizom yang berbau wangi. Minyak jerangau digunakan untuk mengubati sakit perut yang disebabkan oleh gastrik. Minyak ini juga digunakan dalam industri pembuatan minyak wangi. Seroja atau bunga telipot menghasilkan buah berbentuk seperti kon yang mempunyai biji yang berupa kacang. Akarnya dijadikan sup, manakala daunnya yang kering digunakan untuk merawat cirit-birit, iaitu jus daripada daunnya, dan buasir. Bijinya digunakan untuk merawat demam dan insomnia kerana khasiatnya boleh menyejukkan badan.

Tumbuhan eksotik berkhasiat ubatan pula asalnya dari negara lain seperti Indonesia, India, China malah dari benua Afrika. Adaptasi tumbuhan eksotik ini telah dapat menyesuaikan pertumbuhannya di sini. Contoh tumbuhan eksotik ialah Roselle yang dikatakan berasal dari Sudan, Afrika mengandungi vitamin C dan pelbagai vitamin lain termasuk B. Kajian menunjukkan roselle kaya dengan antosianindan antioksidan serta berpotensiuntuk menstabilkan tekanan darah tinggi dan mengurangkan kolestrol di dalam darah. Khasiat kandungan kimia di dalam buah roselle juga dikatakan dapat mengurangkan berat badan. Antara produk makanan dan minuman berasaskan roselle ialah jus dan halwa. Permintaan terhadap herba dijangka akan terus meningkat seiring dengan peningkatan terhadap produk yang berasaskan herba, terutamanya bagi produk domestik. Industri herba di negara ini perlu disokong dengan program pengeluaran bahan mentah yang berterusan bagi menjamin perkembangan yang mantap.

Bab ketiga menerangkan tentang amalan perladangan tanaman seperti Amalan Pertanian Baik (APB), pertanian yang mesra alam melalui perladangan organik, Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM), amalan pertanian dan kutipan baik, penggunaan racun serangga perosak, penggunaan racun rumpai, penyakit tumbuhan ubatan, bioteknologi dalam pertanian dan analisis kewangan penanaman secara perladangan.

Bab keempat pula adalah tentang aspek penting dalam penanaman herba berkhasiat ubatan. Pengusaha sering berhadapan dengan persoalan tentang apakah jenis tanaman yang perlu ditanam, untuk apa dan untuk siapa ditanam. Pengetahuan tentang kuantiti yang hendak ditanam juga merupakan satu faktor penting sebelum memulakan aktiviti penanaman. Selain itu, asas pengetahuan tanah-tanih untuk penanaman tumbuhan ubatan juga perlu diambil kira sebelum memulakan penanaman. Selain keadaan tanah, faktor iklim dan persekitaran perlu juga diteliti sebelum sesuatu projek ladang tumbuhan berkhasiat ubatan dilaksanakan. Kegagalan memahami keadaan setempat akan menyebabkan kos menanam dan menyelenggara berlipat kali ganda dan merugikan pengusahanya.

Bab kelima, keenam dan ketujuh pula menerangkan tentang jenis penanaman, jarak tanaman, penyediaan lubang tanaman, cara menanam anak benih, penyediaan batas semaian, penyediaan batas tanaman herba, penyelenggaraan tanaman, pemprosesan produk berasaskan tumbuhan berkhasiat ubatan termasuk teknologi lepas tuai, teknologi pemprosesan produk herba pada skala komersial, pembangunan produk herba, pengekstrakan tumbuhan berkhasiat ubatan dan pengeringan sejuk beku dan pengeringan sembur.

Bab kelapan, iaitu bab akhir buku ini menjelaskan tentang pengilangan produk tumbuhan berkhasiat ubatan. Antaranya termasuklah pembuatan produk kapsul dan tablet pengkapsulan. Dalam pengilangan produk farmaseutikal, pengkapsulan merujuk teknik yang digunakan untuk menutup bahan ubatan dengan menggunakan kulit luar yang stabil dan dibenarkan untuk diambil secara oral atau digunakan sebagai bahan sokongan. Terdapat dua jenis kapsul yang utama, iaitu kapsul berkulit keras yang biasanya digunakan untuk bahan serbuk dan kering, dan kapsul berkulit lembut yang digunakan untuk mengisi minyak dan bahan aktif yang larut dan terkandung di dalam minyak.

Sumber semula jadi tumbuhan ubatan sedang mengalami kemerosotan dari segi kuantiti. Oleh hal yang demikian, tindakan konservasi terhadap herba liar perlu dilakukan bagi menentukan kewujudan baka terus mampan manakala penanaman pelbagai tumbuhan ubatan pada skala besar dimotivasikan supaya permintaan terhadap bahan mentah tersebut dapat dipenuhi.

Kesimpulannya, buku ini sesuai untuk dijadikan rujukan oleh sesiapa sahaja yang berminat untuk menceburi bidang yang berkaitan, sama ada sebagai pengusaha tanaman mahupun sebagai pengeluar produk makanan kesihatan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013790
    Visit Today : 1053
    This Month : 33135
    Total Visit : 1013790
    Hits Today : 3687
    Total Hits : 4135792
    Who's Online : 12
  • Kategori