KELANGSUNGAN-193x300

Judul: Kelangsungan Bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan Malaysia

Penulis: Alis Puteh

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Tahun: 2015

Pengulas: ZAIDI ISMAIL

Isu peranan bahasa dalam pembangunan dan perpaduan dalam sesebuah negara telah wujud sejak beratus-ratus tahun dahulu. Misalnya, semasa Islam memerintah hampir tiga perempat dunia,iaitu antara tahun 1000 hingga 1500 Masihi, peranan bahasa Arab dalam membina tamadun Islam memang tidak boleh dinafikan lagi.

Bahasa Arab menjadi simbol kekuatan peradaban Islam. Malah, bahasa Arab juga menjadi alat menyatupadukan penduduk di negara-negara naungan Islam yang luas. Di dunia Barat pula, sejak tahun 1940-an, ramai ahli sosiolinguistik telah menulis mengenai isu ini. Menurut Fishman (1968), untuk membangunkan sesebuah negara, khususnya negara yang pernah dijajah, perlulah menggunakan bahasa asing manakala untuk menyatukan rakyatnya, perlulah menggunakan bahasa kebangsaan.

Oleh sebab masih banyak lagi negara yang terpesona dengan pendapat ini, maka penulis buku Kelangsungan Bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan Malaysia ini turut membicarakan isu ini berdasarkan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia. Sebagai sebuah negara yang pernah dijajah, Malaysia turut berkongsi gejala yang sama dengan negara-negara lain, iaitu mewarisi model pendidikan daripada negara penjajah. Lazimnya, kuasa penjajah ini menggugat sistem pendidikan tradisional yang sedia ada di negara-negara yang dijajah. Sistem pendidikan tradisional digantikan dengan model pendidikan dari negara penjajah. Miller (1997), menegaskan bahawa dasar-dasar pendidikan formal yang dilaksanakan di India, Sri Lanka, Burma dan Malaysia dibentuk berdasarkan corak pendidikan Inggeris.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, falsafah pendidikan mula diperkukuh untuk mendapatkan hasil pendidikan yang diingini. Sistem pendidikan merupakan wahana utama untuk memupuk integrasi dalam masyarakat Malaysia tanpa mengambil kira perbezaan etnik, budaya dan agama. Pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam bidang pendidikan mengukuhkan lagi asas perpaduan negara kerana penggunaan bahasa yang sama ini dapat merangsang komunikasi berkesan antara rakyat Malaysia. Hal tersebut diperkatakan oleh penulis dalam bab pertama buku ini, Isu Bahasa Pengantar di Malaysia.

Berkaitan dengan bahasa pengantar juga, penulis turut memperkatakan isu penggunaan kembali bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pada awal tahun 1990-an. Di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, bahasa Inggeris dijadikan semula sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan tinggi, khususnya dalam bidang kejuruteraan, sains dan perubatan. Pertukaran dasar ini dibuat melalui pentas politik yang rasional untuk kebaikan negara.

Pertukaran dasar ini mewujudkan dualisme dalam pendidikan tinggi, iaitu institusi pengajian tinggi awam mengekalkan bahasa Melayu sebagai pengantar pengajaran manakala institusi pendidikan swasta diberikan kebebasan untuk menggunakan bahasa Inggeris (rujuk Akta Pengajian 1996 dan Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996). Pada tahun 2003, kerajaan mengumumkan subjek Sains dan Matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris untuk Tahun 1 dan Tingkatan 6 Rendah. Isu ini dijelaskan oleh penulis dalam bab empat, Pelaksanaan Dasar Bahasa Pengantar Bahasa Melayu.

Seterusnya, dalam bab kelima, Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), penulis mengupas isu tersebut dengan lebih lanjut. Menurut penulis, penerangan berkaitan dasar PPSMI di laman web Kementerian Pendidikan Malaysia waktu itu, “rasional peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.”

Masyarakat umum juga mengetahui bahawa Sains dan Matematik ialah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baharu dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat tentang perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris. Selain itu, bahasa Inggeris merupakan bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini.

Secara keseluruhannya, buku ini mengandungi enam bab, iaitu Isu Bahasa Pengantar di Malaysia, Sistem Pendidikan Malaysia, Kronologi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pengantar, Pelaksanaan Dasar Bahasa Pengantar Bahasa Melayu, Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, dan Perjuangan yang Belum Selesai. Isi-isu pendidikan bahasa Melayu yang dipaparkan dalam buku ini amat menarik untuk dijadikan renungan dan panduan bagi meneruskan kelangsungan fungsi dan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044684
    Visit Today : 1105
    This Month : 27283
    Total Visit : 1044684
    Hits Today : 4103
    Total Hits : 4289076
    Who's Online : 23
  • Kategori