Oleh ARMIN A. SALEH

“Patik kenal akan tuanku.” Begitulah antara dialog dalam teater bangsawan Anak Raja Anak Papa. Yang ingin dinyatakan ialah betapa gramatisnya binaan ayat tersebut dengan kata sendi nama “akan” digunakan di tempat yang betul, mendahului kata nama yang merujuk manusia dan penggunaannya pula didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif, seperti yang dijelaskan oleh Tatabahasa Dewan.

Dalam keadaan biasa dan sehari-hari, ayat tersebut akan dilafazkan sebagai “patik kenal tuanku”. Jika ayat sedemikian diucapkan, tidak ada orang yang akan tahu tentang kesalahan tatabahasa, kecuali pakar tatabahasa. Tidak ada orang yang akan mengambil peduli tentang hal tersebut kerana bagi mereka, yang lebih penting ialah mesej dapat disampaikan oleh sumber dan difahami oleh penerima.  Bentuk sedemikian hanya digunakan dalam bahasa lisan dan tidak digunakan dalam bahasa rasmi atau tulisan.

Oleh hal yang demikian, dapatlah dikatakan bahawa penulis skrip bangsawan Anak Raja Anak Papa tahu akan binaan ayat yang menggunakan tatabahasa bahasa Melayu yang betul. Bukan ayat itu sahaja, ayat lain dalam keseluruhan pementasan itu pun begitu juga – binaannya menepati penggunaan tatabahasa bahasa Melayu yang betul. Begitulah seharusnya kerana yang diyakini ialah bahawa penulis skrip tersebut telah melalui alam persekolahan sekurang-kurangnya 11 tahun atau 13 tahun, dan dunia pengajian tinggi selama empat tahun, setidak-tidaknya.

Memang kita akan berasa janggal apabila mendengar lafaz dialog yang menggunakan bahasa persuratan dalam mana-mana pementasan bangsawan.  Namun demikian, penggunaannya tidaklah mencacatkan pementasan itu. Hal ini membuktikan bahawa teater yang baik mampu dihasilkan dengan penggunaan bahasa yang betul tatabahasanya. Barangkali tidak salah jika dikatakan bahawa teater dapat menjadi wahana pengajaran dan pemelajaran bahasa Melayu yang baik dan betul yang mampu menambat hati murid.

Sewaktu pementasan Anak Raja Anak Papa, dialog dalam bahasa Inggeris dipaparkan di layar putih di sebelah pentas. Seperti bahasa Melayu, penggunaan bahasa Inggerisnya pun baik. Agak sukar untuk mengenal pasti kesalahan tatabahasanya walaupun sedikit banyak mungkin ada. Maka dapat dikatakan juga bahawa penulisnya menguasai kedua-dua bahasa tersebut. Dalam brosur program, Marlenny Deenerwan dinyatakan sebagai penulis skrip bangsawan tersebut.

Pada hakikatnya, dialog dalam bahasa Inggeris itu tidak banyak lari daripada dialog berbahasa Melayu yang dilafazkan oleh pelakon di pentas.  Hal ini menunjukkan bahawa pelakon bangsawan itu, seperti penulis skripnya, memang menguasai kedua-dua bahasa tersebut.  Jika ada kesilapan pun, kesilapan itu hanya diketahui oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam teater tersebut dan tidak menjejaskan pementasan.

Teater Anak Raja Anak Papa dipentaskan dari 9 hingga 11 Oktober 2015 bersempena dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.  Teater itu dipersembahkan oleh Opera Sri Bandaraya di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Pementasan Teater Anak Raja Anak Papa oleh Opera Sri Bandaraya di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Pementasan Teater Anak Raja Anak Papa oleh Opera Sri Bandaraya di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044103
    Visit Today : 524
    This Month : 26702
    Total Visit : 1044103
    Hits Today : 1455
    Total Hits : 4286428
    Who's Online : 12
  • Kategori