Oleh MUHAMAD IKHRAM FADHLY

SASTERAWAN NEGARA KE-10 Dato’ Dr. Anwar Ridhwan

ANWAR Ridhwan, penulis novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan pemenang S.E.A. Write Awards 2002 telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-10 pada Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Seri Kembangan, Selangor, pada 20 Oktober 2009. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah sudi mencemar duli untuk menyempurnakan pengurniaan tersebut.

Anwar Ridhwan atau nama sebenarnya Mohd. Anuar Rethwan mula berkhidmat di DBP pada bulan Februari 1973. Selama kira-kira 30 tahun perkhidmatannya di DBP, beliau pernah menjadi pegawai penyelidik, anggota sidang editor majalah Dewan Bahasa, Dewan Sastera dan Dewan Budaya; menjawat Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah dan Pengarah Jabatan Penerbitan sebelum bersara wajib pada 4 Ogos 2005. Kini beliau bertugas sebagai Dekan Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Majlis pada malam itu diserikan dengan persembahan menarik fragmen novel dan drama karya sasterawan negara ini, iaitu Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Yang Menjelma dan Menghilang yang diarahkan oleh Mior Hashim Manap dan dijayakan oleh barisan pelakon seperti Wan Hanafi Su, Haeriyanto Hassan, Ahmad Kushairil Kamaruddin, Badrul Munir Md. Isa, Sallehuddin Abu Bakar, Nur Azlin Mohd dan Mohd Kamrulbahri Hussin.

Penerima Anugerah Sastera Negara menerima wang sebanyak RM60,000.00, warkah penghormatan negara, kemudahan mencipta dan menerbitkan karya, penerbitan sebanyak 50,000 naskhah untuk sebaran luas, penterjemahan karya di samping perubatan percuma di hospital kerajaan.

Pidato Umum memperkenalkan penerima anugerah telah disampaikan oleh Dato’ Haji Termuzi Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah, DBP. Dalam ucapan Pidato Penerima pula, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menyampaikan gagasan dan pemikiran beliau melalui rangkap-rangkap syair yang indah, sesuai dengan bakat dan kreativiti yang ada pada beliau. Di bawah ini diturunkan sebahagian daripada karangan berangkap beliau, kandungan, serta cabaran dan nasib bahasa, sastera dan persuratan kebangsaan untuk sama-sama kita renungkan.

Sastera itu adab persuratan,
Pelbagai makna serta tafsiran,
Namun bakat serta indah penulisan,
Tentang Tuhan, makhluk-Nya dan pemikiran.
Bakat dan karya ada tanggungjawabnya,
Berbuat di dunia balasannya di alam baqa,
Diingatkan Allah menjadi khalifah-Nya,
Bantu membimbing umat manusia.
Hindari kutukan kepada penyair sesat,
Dalam Al-Syu’ara telah tersurat,
Yang ditulis benar itulah yang diperbuat,
Takwa itu memandu pena menyurat.
Dengan akal pena menukilkan,
Seperti lidah wajar berperaturan,
Pena yang jujur lebih dimuliakan,
Bukan pedang melibas sembarangan.
Persuratan itu mengandung ilmu,
J
uga mendidik tiadalah jemu,
Mutiara kata dapat ditemu,
Yang indah-indah dan merdu turut diramu.
(Petikan daripada rangkap ‘bahasa berirama’
Anwar Ridhwan)

Anwar Ridhwan juga menyampaikan amanatnya supaya kita terus mengekalkan kemerdekaan dengan erti yang sebenarnya dan menjaga kedaulatan negara dan hak istimewa bumiputera secara bersungguh-sungguh. Amanat ini jelas dalam bait-bait seterusnya:

Bangsa bermaruah merdeka daripada penjajah,
Bangsa bermaruah merdeka daripada penjajah,
Kuasa-kuasa Barat dan Timur datang menjarah,
Menghalau mereka tidak sahaja perwira dan orang siasah,
Peranan ulama dan penulis juga diakui sejarah.
Justeru setiap menyambut ulang tahun   merdeka,
Kenangilah pengorbanan dan bakti mereka,
Yang benar-benar berjasa tampilkan ke muka,
Berterima kasih pada saat sesuai dan ketika.
Melayu dengan kedaulatan dan   ketuanan,
Ihsan memberi taraf kerakyatan,
‘Kontrak Sosial’ menjadi ikatan,
Diikat kukuhlah jangan rungkaikan.
Maka teguh-kukuhkan perkara yang empat,
Kedudukan raja-raja Melayu menjamin daulat,
Islam agama rasmi, Melayu bahasa kebangsaan dinobat,
Hak istimewa Melayu dan bumiputera mendapat tempat.

(Petikan daripada rangkap ‘bahasa berirama’
Anwar Ridhwan)

Tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu, Anwar Ridhwan melemparkan kritikan terhadap bahasanya. Berikut dikutip beberapa pandangan Anwar Ridhwan tentang kedudukan bahasa Melayu dan nasib bangsanya.

Terfikir fakir akan nasib bahasanya,
Ratusan tahun melakar wacana,
Tanpa menjadi bahasa ilmu akan ke mana?
Cukupkah jadi bahasa basahan sahaja?
Ke manakah arah bahasa Melayu?
                         Dipandang rendah tak banyak yang mahu,
                         Sesekali dipakai miskinnya mutu,
                         Nama tempat, jalan dan bangunan tidak menentu.
                         Alangkah molek bercitra kebangsaan,
Setiap bangsa rohnya diciptakan Tuhan,
Tercabut rohnya citra pun kehilangan,
Bagaikan tanah ini tidak bertuan.

(Petikan daripada rangkap ‘bahasa berirama’  Anwar Ridhwan)

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013193
    Visit Today : 456
    This Month : 32538
    Total Visit : 1013193
    Hits Today : 1487
    Total Hits : 4133592
    Who's Online : 15
  • Kategori