penyakit ektoparasit_foto buku2

 

Pengulas      :           NORLIZA OMAR

Penulis          :           Kua Beng Chu

Penerbit         :           Dewan Bahasa dan Pustaka

Halaman        :           126 Halaman

BUKU Penyakit Ektoparasit dalam Akuakultur menyentuh perihal berkaitan serangan parasit luaran pada ikan ternak. Bagi seseorang yang sudah biasa dengan kehidupan perikanan, ia tidak asing lagi berhadapan dengan penyakit ektoparasit dalam akuakultur. Penulis menyatakan bahawa penyakit ektoparasit ialah serangan parasit luaran yang merupakan jangkitan primer pada ikan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Ektoparasit ialah parasit yang hidup pada permukaan luar tubuh perumahnya. Kandungan yang terdapat dalam buku ini boleh dijadikan sebagai panduan untuk mengenal pasti jangkitan parasit yang boleh menyebabkan kematian ikan.

Penerbitan buku ini juga turut memberi kesedaran kepada pengusaha ikan betapa pentingnya mengenal pasti kematian ikan disebabkan oleh jangkitan ektoparasit. Terdapat lima bab dalam buku ini iaitu pengenalan mengenai penyakit ektoparasit, serangan protozoa, serangan cacing monogenan, serangan krustasea dan serangan lintah laut. Setiap bab mengandungi aspek kenal pasti spesies ektoparasit mengikut kumpulan. Paparan gambar  parasit dan gambar ikan yang dijangkiti parasit dilampirkan sebagai panduan dan memudahkan pembaca memahaminya. Setiap akhir bab, diterangkan langkah-langkah pencegahan dan tindakan yang perlu diambil, tanda-tanda serangan serta kaedah melakukan rawatan.

Umumnya, sangkar, tangki, kanvas atau palung merupakan tempat pembiakan ikan dalam kurungan. Di Malaysia, terdapat dua kumpulan utama iaitu ikan air tawar dan ikan ternak marin. Ikan ternak marin merupakan ikan yang mendapat permintaan paling tinggi di Malaysia. Ikan yang diternak dalam kurungan ini telah berjaya dihasilkan dalam  pelbagai spesies ikan, meskipun ikan yang diternak adalah spesies yang berbeza. Di Asia Tenggara, ikan yang berjaya diternak dalam sangkar ialah ikan jenahak, kerapu, siakap, bawal emas, haruan tasik dan senangin iaitu daripada kumpulan ikan marin. Manakala spesies ikan air tawar pula ialah ikan tilapia merah, tilapia hitam dan sepat.

Ternakan yang menggunakan sistem kolam pula ialah ikan siakap yang merupakan spesies popular berbanding  ikan keli, patin dan baung. Bagi spesies ikan air tawar, kebanyakannya diternak di dalam kolam, tangki atau kanvas. Ikan tilapia merah ternakan menggunakan sangkar di persekitaran air marin adalah bertujuan untuk menghilangkan bau hanyir ikan tersebut. Cara ini dapat menghasilkan ikan yang berkualiti untuk pasaran yang lebih tinggi. Secara umumnya, negara Jepun merupakan negara yang menduduki tempat pertama menjadikan ikan sebagai menu makanan utama. Manakala Malaysia menduduki tangga kedua yang suka makan ikan. Faktor ini menjadikan peningkatan permintaan ikan pada masa hadapan kerana gaya hidup masyarakat sekarang sudah mementingkan kehidupan yang lebih sihat.  Kemajuan teknologi terkini dalam industri akuakultur, aplikasi bioteknologi dalam pembiakan ikan dan peningkatan penggunaan sumber protein daripada ikan  juga memainkan peranan penting dalam peningkatan permintaan ikan.

Buku ini sangat sesuai dibaca oleh pengusaha ikan ternakan dan ikan hiasan. Selain daripada itu, buku ini juga berguna sebagai panduan kepada pegawai yang terlibat dalam kes siasatan di bahagian kurator akuarium yang selalu menghadapi masalah kematian ikan ternak.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044729
    Visit Today : 1150
    This Month : 27328
    Total Visit : 1044729
    Hits Today : 4246
    Total Hits : 4289219
    Who's Online : 9
  • Kategori