memartabatkan

Pengulas       :           SOFIA HUMAIRA’

Tajuk Buku      :            Memartabatkan Persuratan Melayu

                                         (Edisi Khas Sasterawan Negara)

Terbitan           :            Dewan Bahasa dan Pustaka

Genre               :            Sastera

Halaman          :             96 halaman

BUKU ini memuatkan ucap utama Sasterawan Negara Baharuddin Zainal (Baha Zain) yang disampaikan pada Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005, di Kukup Golf Resort dan Tanjung Piai Resort, Pontian, Johor pada 2-6 Jun 2005. Turut mengiringi ucap utama dalam buku ini ialah makalah Mohamad Saleeh Rahamad dan makalah Zainal Abidin Borhan yang membincangkan isi-isi ucap utama berkenaan.

Ucap utama Baha Zain berjudul “Memartabatkan Persuratan Melayu” antaranya memberi penekanan pada soal kedudukan dan fungsi bahasa Melayu dalam perkembangan dan pemartabatan kesusasteraan Melayu. Berhubung perkara ini, Baha Zain menjelaskan bahawa usaha mengangkat martabat kesusasteraan Melayu dapat dilaksanakan dalam pelbagai bentuk kepustakaan antaranya seperti buku, majalah, risalah, ensiklopedia, kamus dan karya kreatif.  Variasi medium penulisan ini diyakini dapat meningkatkan nilai dan penghormatan terhadap kesusasteraan Melayu. Menurut Baha Zain, usaha memperluaskan kepustakaan kesusasteraan Melayu ini secara tidak langsung turut membuka ruang untuk kesusasteraan Melayu dibaca, dirujuk, dikaji dan dibicarakan dengan lebih meluas. Lebih penting lagi, usaha ini dapat meningkatkan lagi kepenggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Malaysia. Dalam konteks ini juga, Baha Zain mengingatkan bahawa bahasa Melayu mempunyai peranan yang besar dalam mempengaruhi penerimaan, kemajuan, pengiktirafan, atau peminggiran terhadap kesusasteraan Melayu yang turut melibatkan aspek pendidikan, ekonomi, pentadbiran dan kemasyarakatan. Hal ini menjadikan bahasa Melayu perlu dipelihara dan diperkasakan.

Selanjutnya, Baha Zain memperkatakan nasib bahasa Melayu beberapa dekad selepas bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan di Malaysia. Hal ini merujuk kepada idea Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dicetuskan mantan perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2003. Menurut Baha Zain, pelaksanaan PPSMI menyebabkan fungsi bahasa Melayu dalam bidang pendidikan berkurangan khususnya dalam aspek pengistilahan dan laras bahasa.  Lebih merisaukan beliau ialah rakyat akan hilang kepercayaan terhadap kemampuan, fungsi, nilai dan masa depan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.  Sebab-sebab ini merupakan antara pendorong utama kepada penentangan sebahagian besar aktivis bahasa dan sastera terhadap pelaksanaan PPSMI sehingga dilabel sebagai cauvanis.

Seterusnya, Baha Zain membangkitkan isu tragedi 13 Mei 1969 sebagai peristiwa penting yang perlu diingati kerana implikasinya yang menjadikan bahasa Melayu sebagai teras pembangunan kesusasteraan di Malaysia khususnya oleh Tun Abdul Razak. Menurut Baha Zain, dasar dan pelaksanaan bahasa Melayu ketika itu telah memberi kesan besar terhadap perkembangan dan penghasilan kesusasteraan Melayu sehingga kini. Hal ini jelas dengan terhasilnya karya-karya dalam bahasa Melayu oleh penulis-penulis pelbagai kaum selepas tragedi itu. Menurut Baha Zain, perkembangan ini menjadikan bahasa Melayu mempunyai pengguna yang lebih luas dan dapat digunakan dalam menyampaikan pelbagai pemikiran yang merentas kaum dan budaya untuk difikirkan dan difahami oleh rakyat Malaysia. Dalam kesempatan ini, Baha Zain menyeru penulis khususnya penulis muda supaya menghasilkan karya yang dapat memberi kesan kepada keseimbangan politik dan kebudayaan negara seperti yang berlaku selepas tragedi 13 Mei 1969.

Dalam penelitian terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu kini, Baha Zain menegaskan bahawa usaha yang serius perlu dilakukan bagi menangani cabaran memartabatkan kesusasteraan Melayu, baik di dalam negara mahupun di luar negara. Namun, Baha Zain menegaskan keutamaan perlu diberikan dalam menangani cabaran memartabatkan kesusasteraan Melayu di dalam negara sendiri. Dalam konteks ini, beliau menggesa institusi pembangunan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) supaya memainkan peranan masing-masing secara sistematik dan proaktif dalam melonjakkan martabat kesusasteraan Melayu. Antara yang dicadangkan Baha Zain kepada institusi-institusi berkenaan dalam memartabatkan kesusasteraan Melayu adalah:

1.Merangka strategi dan budaya kerja baharu yang dapat meningkatkan mutu penghasilan kesusasteraan Melayu.

2.Melakukan pembaharuan, kreativiti dan inovasi dalam penghasilan kesusasteraan Melayu.

3.Mewujudkan Hadiah dan Genre Persuratan Kanak-Kanak.

4.Memperbanyak penterjemahan hasil kesusasteraan antarabangsa ke dalam bahasa Melayu dan penterjemahan hasil kesusasteraan Melayu ke dalam bahasa antarabangsa.

5.Mempromosikan kesusasteraan Melayu di peringkat antarabangsa.

6.Memupuk budaya membaca dengan mempelbagaikan dan meningkatkan mutu bahan bacaan.

Baha Zain mengakhiri ucap utama ini dengan harapan agar kesusasteraan Melayu diisi dengan karya-karya bermoral tinggi, beretika dan mementingkan aspek kemanusiaan. Dalam konteks inilah beliau mengingatkan bahawa cita-cita memajukan kesusasteraan tidak seharusnya menjadikan penulis bebas menghasilkan karya yang bertentangan dengan adab sopan, tradisi, warisan, bahasa dan budaya tempatan. Sehubungan itu, penulis perlu sentiasa menimbang baik buruk sesuatu yang ingin dihasilkan agar dapat memberi manfaat yang besar kepada khalayak pembaca dan tidak sia-sia.

Seterusnya, Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya menyifatkan segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan Baha Zain ini sendiri sebagai satu usaha mengangkat martabat sastera. Namun, Mohamad Saleeh Rahamad beranggapan bahawa pandangan-pandangan Baha Zain tersebut masih bersifat abstrak dan memerlukan perenungan oleh penulis muda yang kreatif. Sementara itu, Zainal Abidin Borhan menyimpulkan ucap utama Baha Zain sebagai satu anjuran kepada para penulis untuk memahami suasana sosiopolitik semasa dalam kehidupan penulis yang semakin mencabar dan serba moden. Kefahaman penulis terhadap suasana ini akan membantu penulis menghasilkan karya yang sensitif terhadap isu semasa dan dapat membincangkannya secara kreatif.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043315
    Visit Today : 1179
    This Month : 25914
    Total Visit : 1043315
    Hits Today : 4020
    Total Hits : 4283615
    Who's Online : 9
  • Kategori