glosari dialek

Pengulas:    JUNAWATI AB HAMID

Tajuk Buku:   Glosari Dialek Pulau Pinang

Penyelidik:    Abdul Jalil Anuar, Mohaini Saffar, Anuar Ahmad, Ahmad Salleh, Ahmad Zaki Md Taha, Ariffin Abdul Rahman dan Mohd Rosli Ismail

Penerbit:        Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Tahun:           2015

Genre:            Bahasa

DIALEK yang pelbagai merupakan khazanah bahasa Melayu yang amat bernilai dan perlu dipelihara. Terdapatnya tanda-tanda pelupusan dialek ini dapat dilihat dengan berkurangnya penggunaan kata-kata dialek dalam masyarakat,terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Projek untuk mengumpulkan dan mendokumentasikan kata-kata dialek Melayu harus diberikan pujian kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Usaha tersebut telah dilakukan sejak tahun 1990-an lagi,iaitu dengan menerbitkan Glosari Dialek Kedah dan Glosari Dialek Terengganu pada tahun 1997.Berkat kegigihan kakitangan Bahagian Penyelidikan Bahasa DBP yang sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan projek ini, maka Glosari Dialek Pulau Pinang dan lapan lagi glosari dialek lain berjaya diusahakan.

Dialek atau nama lainnya loghat atau bahasa daerah merupakan kelainan dalam sesuatu bahasa yang menjadi ciri golongan tertentu dalam kalangan penutur sesuatu bahasa itu. Di Malaysia, terdapat pelbagai dialek yang dinamakan mengikut negeri di Semenanjung Malaysia, yang merupakan sempadan geopolitik, iaitu sempadan negeri. Walaupun penamaan dialek tersebut tidak mengikut amalan linguistik umum,namun penamaan  ini adalah untuk memudahkan semua pihak. Kini, terdapat pelbagai dialek yang berjaya dihasilkan, seperti dialek Kelantan, dialek Terengganu, dialek Pahang, dialek Johor, dialek Melaka, dialek Negeri Sembilan, dialek Perak, dialek Kedah dan dialek Pulau Pinang. Setiap dialek mempunyai ciri-ciri sistem bunyi (fonologi) dan perbendaharaan kata (leksikal) yang tersendiri yang membezakan satu dialek dengan yang lain. Kewujudan dialek-dialek ini memperkaya perbendaharaan kata bahasa Melayu dan khazanah persuratan Melayu.

Tujuan utama penyusunan ini buku ini adalah untuk menyediakan sumber kata yang dapat dijadikan istilah dalam pelbagai bidang dalam bahasa Melayu. Oleh yang demikian,untuk keperluan bacaan dan rujukan umum, glosari ini dilengkapkan dengan maklumat asas yang diperlukan oleh pembaca dan penyelidik yang ingin mengetahui kata dialek Pulau Pinang yang digunakan dengan sebutan dan makna yang betul.

Pengumpulan data dan penyusunan buku Glosari Dialek Pulau Pinang ini diusahakan oleh penyelidik kosa kata dialek. Maklumat yang dimasukkan dalam glosari ialah kata masukan (kata entri), transkripsi sebutannya, kelas kata, makna, contoh ayat mengikut bentuk (ayat dialek), sebutan dialek dan maksudnya dalam bahasa baku. Contoh ayat dialek dimasukkan untuk memberikan gambaran kasar tentang pola dan bentuk ayat dialek yang mengandungi kata dialek yang dibicarakan, manakala maksudnya dalam bahasa Melayu baku pula disediakan untuk membantu pembaca memahami ayat dialek tersebut.

Kelas kata yang ditandakan bagi sesuatu entri dialek adalah berdasarkan penggolongan kelas kata dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Sebutan dialek yang dirakamkan dalam Glosari Dialek Pulau Pinang ini menggunakan transkripsi fonetik antarabangsa (International Phonetic Alphabet), iaitu lambing rasmi bagi fonem atau bunyi vokal dan bunyi konsonan. Dalam dialek Pulau Pinang, kesemua lapan bunyi vokal dalam bahasa Melayu umum digunakan, termasuklah bunyi vokal depan separuh luas dan vokal belakang separuh luas. Dari  segi bunyi konsonan pula,dalam dialek Pulau Pinang sama dengan bunyi konsonan dalam bahasa Melayu baku. Walaupun demikian, terdapat perubahan bunyi konsonan tertentu yang berlaku bagi kedudukan tertentu. Dalam dialek Pulau Pinang, terdapat bentuk kata yang mempunyai satu suku kata sahaja berbanding dengan dua suku kata dalam bahasa Melayu baku.

Kredibiliti yang ditunjukkan  oleh Bahagian Penyelidikan Bahasa DBP harus dibanggakan dalam usaha untuk memartabatkan dialek-dialek bahasa Melayu. Dialek merupakan khazanah bahasa Melayu yang amat bernilai dan perlu di pulihara. Terbitan glosari pelbagai dialek ini diharapkan dapat dijadikan rujukan atau panduan kepada pengguna-pengguna bahasa Melayu, khasnya golongan muda.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044984
    Visit Today : 1405
    This Month : 27583
    Total Visit : 1044984
    Hits Today : 5244
    Total Hits : 4290217
    Who's Online : 13
  • Kategori