Oleh PHAT a/l AWANG DENG

 

Pengenalan

Karya sastera memaparkan pelbagai persoalan tentang kehidupan manusia atau masyarakat berdasarkan pemikiran pengarang atau penyair yang menghasilkannya. Sastera jelas melontar teladan dan pengajaran yang boleh membijaksanakan pembaca hasil daripada penelitian dan pemahaman terhadap cerita yang disampaikan itu. Karya sastera sama ada puisi, cerpen, drama ataupun novel, jelas menderetkan suatu cerita/catatan yang dipenuhi dengan pelbagai persoalan berkaitan konflik dalam kehidupan manusia.

Sesebuah karya memaparkan isu atau persoalan tentang sikap dan tindak-tanduk watak sehingga sampai kepada titik peleraian (yang berupa pemikiran pengarang/ penyair) pada penghujung cerita. Dalam karya sastera, kepelbagaian isu yang diungkapkan bertujuan memberikan ilmu dan didikan supaya pembaca dapat mencari makna kepada kehidupan yang lebih baik. Kepelbagaian ragam manusia dalam karya merupakan cerminan realiti yang jelas dipenuhi krisis, konflik, permusuhan, penyelesaian dan sebagainya.

Jadi, pelbagai usaha harus digerakkan untuk merapatkan perbezaan dan memberikan pelbagai ilmu tentang masyarakat berbilang kaum yang membentuk sesebuah negara. Usaha untuk mewujudkan persefahaman mestilah pada setiap masa agar persefahaman yang dipupuk  itu berterusan. Oleh itu, peranan sastera penting membawa ke arah perpaduan bangsa dalam negara.

Pengarang dan Karya

Akiya (Mahat Anak Cina) pengarang keturunan Semai, dilahirkan pada tahun 1953 di Kampung Changkat Kereta, Hilir Perak. Beliau menggunakan bahasa Melayu untuk meluahkan pengalaman diri dan masyarakatnya, manakala pembaca (orang luar) akan memperoleh pengetahuan dan ilmu tentang realiti kehidupan masyarakat yang agak asing kepada kita walaupun mereka sama-sama membentuk bangsa Malaysia yang lebih besar.  Dalam pengantar kumpulan cerpen Tuntut (Akiya, 2001), Wan Zawawi Ibrahim (2001: xxxii) pernah mengatakan bahawa penulis Akiya merakamkan kepelbagaian tentang “dunianya yang terpinggir – tanah, monopoli orang tengah, masalah berhutang, kepincangan kepimpinan orde lama, kehadiran generasi muda yang berpendidikan termasuk wanita, persoalan maruah dan harga diri, ….” Oleh itu, sumbangan Akiya dalam arus kesusasteraan tanah air berupa:

“Kehadiran seorang karyawan daripada masyarakat Orang Asli untuk terus memperkasakan suara-suara mereka melalui karya sasteranya. Semoga karyanya akan membina titian komunikasi dan intelektual yang lebih bermakna antara karyawan warga orang Aslinya dengan masyarakat bukan Asli yang berbilang kaum di rantau ini.”

(Wan Zawawi Ibrahim, 2001:xxxii)

Berdasarkan catatan di atas, dapatlah dikatakan bahawa Akiya sememangnya memainkan peranan yang penting dan tersendiri dalam menggarapkan ‘cerita’ yang melingkari masyarakatnya. Pengarang yang berada dalam lingkungan masyarakat Semai (dari dalam) jelas memahami pelbagai keperluan termasuk hasrat dan cita-cita masyarakat itu dengan baik berbanding “pengarang luar”. Pendidikan dan pergaulan Akiya dapat membantu dirinya mengangkat isu/persoalan masyarakat Orang Asli dengan lebih tepat, misalnya, dalam cerpen-cerpen dalam Tuntut ataupun novel Perang Sangkil jelas melontarkan pelbagai perkara untuk tatapan dan pemahaman pembaca. Secara tersirat cerita yang disampaikan itu membawa pembaca menelusuri suara dan pemikiran pengarang.

Dalam konteks ini, dapatlah dilihat bahawa karya Orang Kecil memancarkan persoalan dunia realiti yang dilalui oleh masyarakat Semai. Walaupun ayat pertama dalam novel ini menyebut “apa lagi yang kurang dalam kampung? Semuanya telah tersedia ada. Makan, minum, pakai. Semuanya cukup. Itu pilihan  orang kampung sendiri yang memilih cara hidup sederhana. Cukup berpakaian, sudah memadai.” (Akiya, 2014:1). Dalam ruang yang lain penulis juga merakamkan cerita, katanya, “segala kemudahan asas telah disediakan oleh kerajaan. Sebuah bangunan sekolah rendah, sebuah dewan orang ramai, sebatang jalan raya sepanjang lapan kilometer berturap tar. Bekalan air dan bekalan api, dua puluh empat jam sehari. Itulah nikmat kemerdekaan.”(Akiya, 2015:2-3). Walau bagaimanapun ketika mana pembaca menelusuri Orang Kecil, mereka akan maklum bahawa pengarang mengungkapkan persoalan di sebaliknya.

Secara ringkas, Orang Kecil memerihalkan kehidupan masyarakat Semai di Kampung Ulu Sungai Kepayang yang mempertahankan hak dan maruah mereka. Tanah pusaka dan wakah (tanah perkuburan), kawasan rayau, anak gadis dan sebagainya merujuk maruah yang dipermainkan, termasuklah soal ekonomi dan penindasan melalui wang dan kekuasaan pihak tertentu. Ceritanya berkisar tentang masyarakat ‘orang kecil’ yang diwakili oleh watak seperti Long dan Seman yang dibantu Batin Dulah, Isa, Juha, Semah, dan lain-lain melakukan tuntutan selepas tanah Seman dicerobohi oleh traktor milik Bah Kok Ling (atas arahan tauke Dato’ Ah Kow). Perjuangan ini akhirnya menuntut korban Long, yang mati ditembak oleh Tauke Ah Kow ketika pertikaian tentang pampasan tanah Seman yang dicerobohi. Sementara Tauke Ah Kow cedera parah di bahagian bahu kerana ditetak oleh Long.

Suara dan Refleksi Realiti ‘dari dalam diri’ Akiya

Dalam penelitian kertas ini, karya Orang Kecil akan ditinjau berdasarkan landasan sosiologi. Menurut Hashim Awang (1984), sosiologi meliputi hal yang bersangkutan dengan kehidupan dan pergaulan penulis dalam masyarakat, masalah masyarakat dalam karya dan pengaruh karya sastera. “Teori sosiologi ini menegaskan bahawa hasil sastera mempunyai hubungan yang rapat dengan masyarakat, terutama masyarakat pembaca. Kesusasteraan tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat, begitu juga sebaliknya. Antara satu dengan yang lain, saling perlu-memerlukan dan saling bekerjasama.” (Mana Sikana, 2015:63). Secara mudahnya penelitian sosiologi atau kemasyarakatan dalam sesebuah karya itu meliputi hal bersangkutan dengan kehidupan penulis dalam masyarakat, dan pembaca akan menemui pandangan pengarang yang mewakili masyarakatnya.

Sesebuah karya itu memaparkan kehidupan masyarakat yang melalui pelbagai pengalaman, dan melihat juga pengaruh karya sastera terhadap masyarakat. Perbincangan menjurus suara penulis yang mengungkapkan pelbagai isu berbangkit dalam masyarakat yang dihuninya. Suara ini berupa pemikiran dan luahan fikir rasa masyarakat Semai dan juga masyarakat ‘orang kecil’ yang lain secara keseluruhan.

Penulis dan Masalah Masyarakat dalam Karya

Akiya dalam Orang Kecil (2014) mengungkapkan realiti kehidupan orang Semai, antaranya menyebut bahawa sehingga hari ini masyarakat Orang Asli (Semai) terus dieksploitasi oleh orang luar. Soal kemiskinan dan pendidikan mereka masih bermasalah, manakala pihak berwajib pula tidak bersungguh-sungguh melindungi kepentingan mereka, tiada pembelaan yang serius, diabaikan dan sebagainya. Manakala pihak berwajib, khasnya penguasa dan orang kaya (wang dan kuasa) yang berkepentingan akan menentukan pelbagai perkara dalam masyarakat.

Dalam Orang Kecil, diceritakan tentang cabaran hidup yang bersifat sejagat terpaksa dilalui oleh ‘orang kecil’ dalam setiap masyarakat. Kehadiran golongan kaya wang dan kuasa seperti watak Ah Kow yang merancang untuk menguasai tanah rizab atau kawasan rayau masyarakat Semai. Tanah atau kawasan yang merupakan punca kehidupan masyarakat Semai mencari sumber hutan mula dikuasai orang lain. Contoh di bawah menjelaskan perkara ini:

Ah Kow seronok tengok orang kampung susah. Ah Kow mahu Batin Dulah menyembahnya. Sembah dan sembah. Sembah dan sembah.

Dia ada perancangan bukan sekadar membuka tanah untuk bercucuk tanam, tetapi kayu balak yang diidamkan selama ini. Kayu balak, dalam kawasan tanah rizab orang Kampung Ulu Sungai Kepayang. Nilainya jutaan ringgit.

                   ….

Bagi Ah Kow, puak Semai dari Kampung Ulu Sungai Kepayang umpama bermimpi di siang hari. Jangan katakan mereka hendak menang kes itu, tetapi sebaliknya orang-orang Semai itu menempah maut. Tempat maut. Tempat lubang kubur, awal-awal lagi.

“Orang kerajaan akan berdiri di belakang aku.” Suara hati Ah Kow berbisik keras.

(Akiya, 2014:72)

Pembalakan yang dirancang oleh tauke Ah Kow hanya mengambil kira keuntungan wang/kekayaan daripada hasil hutan semata-mata, sebaliknya memusnahkan punca rezeki penduduk asal di kawasan berkenaan. Penentangan penduduk setempat tidak diendahkan oleh Ah Kow kerana semua aktiviti berkenaan “direstui” oleh pihak penguasa. Akiya merakamkan bahawa tauke yang bergelar Dato’ itu boleh melakukan apa sahaja. Dengan gelaran berkenaan menjadi bukti bahawa Ah Kow mendapat restu atau pengiktirafan daripada pihak berkuasa atau elit tempatan.

Walaupun Akiya menyatakan bahawa mereka tidak pernah mempertikaikan kejayaan masyarakat lain, tetapi soal maruah diri adalah sangat penting, dan akan dipertahankan:

“Jalan masuk kampung telah berturap dengan tar. Lapan kilometer, tidak jauh. Sepanjang jalan masuk ke Kampung Ulu Sungai Kepayang, kiri kanan jalan, kebun getah Cina dan kebun getah orang Melayu semua tanah bertuan. Ada pemiliknya. Tidak ada satu kawasan tanah yang tidak bertuan.

                              ….

Hidup mereka ditindas, hak mereka ditindas. Orang luar mula mempersendakan sejarah kewujudan mereka dalam daerah itu. Jasa mereka sama-sama mempertahankan tanah air daripada komunis dilupa jangan. Itulah daerah mereka. Keramat tempat itu sudah sebau dengan mereka.

“Bangun, kita tentang mereka yang menindas hak kita,” kata Seman.

“Kita harus tuntut hak kita, dan tuntut maruah kita,” Long berkata-kata.

“Kita harus berani menuntut hak kita,”

“Kamu takut mati?” Long menyoal Seman.

(Akiya, 2014:40)

Dalam peristiwa di atas, Long meluahkan rasa berhaknya mempertahankan tanah dan tanaman dalam kebun Seman. Kebun milik birasnya musnah ditolak oleh traktor Bah Kok Ling yang sengaja meredah masuk ke kawasan tanah penduduk kampung (milik orang Semai) sewaktu membuka jalan ke tanah milik tauke Ah Kow. Sama ada kerja berkenaan dilakukan secara sengaja atau sebaliknya, jelas menampakkan masyarakat berkenaan tidak dipedulikan oleh orang lain. Perkara ini juga jelas semasa rundingan untuk meminta pampasan ganti rugi pada hujung cerita ini. Tauke Ah Kow sengaja menggunakan isu hak milik atau geran sebagai bukti bahawa tanah berkenaan milik Seman.

“Siapa cakap kamu punya pokok?” kata Ah Kow.

Ah Kow betul-betul biadab petang itu. Dia lelaki Cina yang ego. Dia ada kuasa dan wang.

“Begini tauke, tanah itu Seman punya, jadi semua pokok dalam tanah itu Seman punya,” kata Batin Dulah.

“Mana surat?” tanya Ah Kow.

“Ini surat!” kata Long, menunjukkan penumbuknya.

Long betul-betul marah apabila Ah Kow minta surat. Minta yang bukan-bukan. Ah Kow ibarat minta darah daripada ikan masin. Long betul berani petang itu. Long menumbuk meja berdentum.”

(Akiya, 2014:188)

Dalam Orang Kecil, Akiya meluahkan suara hati tentang letak duduknya status masyarakat Orang Asli, yang dinafikan hak mereka dalam banyak perkara. Penempatan dan hak milik mereka sering dipermainkan oleh orang luar. Sering pula mereka diminta/ diarahkan untuk keluar dari sesuatu kawasan dengan alasan pembangunan dan sebagainya.

Namun begitu, Akiya tetap menggambarkan bahawa ikatan antara kaum di negara ini adalah ikatan antara orang yang senasib, sama kedudukan. Oleh itu, persefahaman hanya wujud dalam kalangan ‘orang kecil’, manakala penguasa atau elit yang saling berkepentingan akan berkompromi sesama mereka. Hasilnya, wujud jurang hubungan antara mereka dengan masyarakat bawahan. Walaupun dalam karya ini, watak orang Cina dipilih sebagai punca permasalahan, namun Akiya juga menyatakan bahawa penindasan juga berlaku dalam kalangan kaum yang sama, katanya, “siapa pengkhianat bangsa Semai? Orang  Semai sendiri pengkhianat bangsa Semai.” (Akiya, 2014:36). Sementara itu, hubungan antara Melayu, Cina dan India dengan masyarakat Semai pada satu peringkat adalah baik kerana mereka secara umumnya melalui pengalaman hidup yang hampir sama, contohnya:

 “Namun begitu ada juga orang kampung yang menyebelahi Bah Kok Ling.

“Kamu Seman. Tidak patut kamu gertak Kok Ling begitu, ‘’ kata Sani pula.

          ….

Bah Kok Ling, yang mereka kenal bukannya orang kaya. Bah Kok Ling hanya makan gaji dengan Ah Kow. Dia juga kuli Ah Kow.”

(Akiya, 2014:36)

Gambaran di atas membuktikan bahawa wujud ikatan yang agak harmoni antara kaum dan saling menerima antara satu sama lain kerana telah sekian lama bergaul rapat. Masyarakat Cina yang diwakili oleh Kok Ling telah diterima oleh masyarakat Semai sebagai sebahagian daripada mereka. Gelaran bah yang diletakkan pada pangkal nama Kok Ling menjadi bukti bahawa watak berkenaan rapat dengan watak Long dan Seman sebelum pertikaian berlaku. Namun begitu, pihak yang berkepentingan telah meniupkan api permusuhan antara mereka kerana mahukan perkara itu mendatangkan keuntungan dan kemewahan di air keruh pertikaian antara kaum.

Manakala hubungan orang Semai dengan masyarakat Melayu dipaparkan dengan agak berbeza. Beberapa watak orang Melayu seperti Usop (peraih ayam) dan Buyung (pemandu teksi sapu) yang muncul dalam novel menampakkan hubungan yang positif dengan masyarakat Semai Kampung Ulu Sungai Kepayang. Sedikit sebanyak hal ini berkemungkinan sepertimana kata Mohamad Saleeh Rahamad (2014:39) bahawa Akiya telah “mengalami suatu proses pemurnian tanggapan terhadap orang Melayu kerana beliau juga berada pada peringkat intelektual yang setaraf dengan orang Melayu.” Walau bagaimanapun, Anwar Ridhwan (2014) dalam penelitian karya Mahua dan Tamil, mengatakan isu berkaitan integrasi kaum tidak ketara digambarkan kecuali disentuh sepintas lalu sebagai bukti wujud kepelbagaian penduduk di negara ini.  Manakala Sohaimi Abdul Aziz (2014:5) pula berpandangan bahawa “… sastera Melayu (ditulis dalam bahasa Melayu) tidak nampak isu perpaduan sebagai isu penting dan dapat menjadi penggerak kepada penghasilan karya. … Hal ini terjadi kerana bimbang terperangkap dengan isu perkauman yang boleh pula melanggar undang-undang negara … .”

Hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dalam karya Orang Kecil dapat diperhatikan dalam petikan di bawah:

“Kamu harus banyak-banyak bersabar, ingat Tuhan,” kata Usop.

Panjang lebar pula Usop berceramah sehingga Seman sedikit sebanyak termakan juga pujuk rayu Usop. Usop orang tua berpengalaman, rasi benar dengan puak Semai dari Kampung Ulu Sungai Kepayang. Abang Usop Ayam, semua kenal.”

(Akiya, 2014:52)

 “Mamak Kuty telah lama berniaga kedai makan, di pekan Tapah. Batin Dulah dengan Mamak Kuty kawan karib. Mamak Kuty sebaya umur Batin Dulah yang telah berumur lebih enam puluh empat tahun. Ketika zaman Jepun, mereka sudah ada.

                  ….

Mamak Kuty tidak pernah lupa dan masih ingat pesan arwah ayahnya.

“Kamu ingat dulu semasa Jepun masuk Malaya, keluarga Batin Dulah banyak tolong kita. Kalau dia susah, kamu mesti tolong dia.” Itu pesan arwah ayahnya.”

(Akiya, 2014:58)

Pengarang dalam petikan di atas merakamkan hubungan rapat masyarakat pelbagai kaum yang berlegar di sekitar Kampung Ulu Sungai Kepayang. Suasana ini sedikit sebanyak mencerminkan keadaan umum sosial negara pada waktu ini. Tempoh masa perkenalan atau pergaulan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa sejak merdeka atau sebelumnya telah menipiskan rasa perbezaan antara kaum. Penetapan beberapa dasar khasnya selepas 13 Mei 1969 menunjukkan tanda positif ke arah perpaduan kaum. Oleh itu, Akiya dalam novel ini melukiskan hubungan baik antara tiga kaum utama dengan masyarakat peribumi di Kampung Ulu Sungai Kepayang penting dipelihara, sebarang pertikaian seharusnya dikendalikan secara berhemah.

Selain persoalan di atas, karya Orang Kecil yang mengangkat cerita dan suara hati orang Semai juga mengungkapkan kebimbangan terhadap pemodenan yang masuk ke dalam masyarakat  mereka kini. Pemodenan yang rancak tanpa saringan yang bijak menyebabkan masyarakat khasnya muda-mudi yang mentah pengalaman dan tiadanya pendidikan telah mengalami kejutan budaya yang serius. Kepincangan menular masuk ke dalam masyarakat, contohnya:

“Hari ini, generasi ketiga pula berkongsi hidup dalam Kampung Ulu Sungai Kepayang. Boleh diibaratkan hidup mereka bagai bangkai bernyawa. Tidak bersemangat langsung, seolah-olah telah hilang jati diri, ke hulu ke hilir mabuk dengan kemewahan yang sedia ada.

           ….

Ramai anak-anak muda dari Kampung Ulu Sungai Kepayang berhijrah ke bandar-bandar besar. Long berpendapat mereka hanya pandai meniru. Pandai pula berlagak macam anak orang kaya, tetapi dada mereka kosong tidak berisi. Kosong. Kosong tidak bermaya langsung.”

(Akiya, 2014:3)

“Orang kampung menjadi kelam-kabut dibuatnya. Sani kini menjadi orang kepercayaan tauke besar Dato’ Ah Kow. Ah Seng dan Ah Kow tidak pernah sesak duit. Sani tidak mahu sesak duit. Dia tidak akan sesak wang ringgit lagi. Duit senang diperoleh daripada dua orang tauke Cina itu. Motosikal buruknya perlu berganti baharu. Ah Seng sudah macam anaknya sendiri. Itu pun kerana Sani menyerah bulat tubuh Jamilah kepada Ah Seng. Sehingga lahir anak luar nikah, orang kampung tahu, tetapi mereka tidak ambil kisah sangat. Itu hal peribadi Sani.”

(Akiya, 2014:76)

 “Kampung Ulu Sungai Kepayang tidak seaman dulu lagi. Orang kampung sudah tidak sepakat lagi. Masing-masing mementingkan diri sendiri. Anak muda ramai juga yang berhijrah ke bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Johor Bahru … .

Kalau ditanya, mengapa sanggup meninggalkan kampung halaman? Jawapannya mudah, mahu menimba ilmu di bandar. Hasilnya, ada juga anak-anak muda menjadi pemabuk setelah bertahun-tahun duduk di bandar. Manakala yang beliawanis balik dengan perut membusung. Perut sudah berisi, kalau ditanya juga, jawapannya mudah juga. Apa salahnya ambil benih bandar? Benih dari Kuala Lumpur?”

(Akiya, 2014:131)

Contoh petikan tersebut jelas merakamkan kerisauan pengarang terhadap gejala sosial yang kurang sihat dalam masyarakat. Ketinggalan dalam pendidikan dan peluang ekonomi telah mengakibatkan pelbagai isu rentetan lain muncul dalam kehidupan “orang kecil”.

Fungsi dan Pengaruh Karya Sastera

Penelitian terhadap novel Orang Kecil diharapkan meninggalkan kesan kepada khalayak sastera. Sebagai wadah untuk perpaduan dan persefahaman, karya sastera diharapkan dapat meningkatkan atau memupuk perpaduan antara kaum. Realiti dalam masyarakat terpinggir/ di pinggiran/ atau ‘orang kecil’ akan menyedarkan orang luar tentang isu kemanusiaan yang bersifat sejagat yang boleh berlaku terhadap setiap individu. Keadaan akan bertambah parah sekiranya dalam kalangan yang tertindas itu terdapat mereka yang tidak menghargai perjuangan orang lain. Kepentingan diri misalnya mendorong watak Sani menjadi musuh dalam selimut kepada masyarakat yang dihuninya sendiri.

Akiya menggarapkan secara tersirat bahawa masyarakat bawahan, tidak kira apa pun etnik seseorang itu akan cenderung ditekan atau dikuasai sekiranya berada dalam kemiskinan. Novel Orang Kecil merumuskan bahawa rakyat bawahan akan sentiasa tewas dalam perjuangan kerana himpitan kemiskinan, rendahnya tahap pendidikan dan karenah pihak berkuasa. Pada akhir cerita, Akiya mematikan watak Long yang berjuang mempertahankan hak yang dinafikan oleh orang yang lebih kaya dan berkuasa. Manakala individu seperti Ah Kow hanya dicederakan sahaja oleh pengarang.

Manakala perbezaan dalam ekonomi, politik dan sosial lebih mendatangkan kesukaran kepada usaha membentuk persefahaman dan penyatuan, bukan soal perbezaan etnik. Negara yang dibangunkan dengan pelbagai polisi dan dasar yang sesuai sebenarnya telah merubah ke arah hubungan baik dalam kalangan masyarakat negara ini:

“Dengan transformasi sosial ini, rakyat Malaysia pelbagai etnik didapati memiliki kepelbagaian dimensi sosial hingga lahir perkongsian norma hidup. Mereka mengundi berdasarkan isu ekonomi, urus tadbir lemah, jenayah, rasuah, … hingga orang Melayu, Orang Asli, bumiputera Sarawak dan Sabah, Cina dan India mungkin berbicara di atas dasar ketidakpuasan etnik mereka sendiri, tetapi isu sebenarnya lebih bersifat ekonomik, politik dan sosial.”

(Mansor Mohd Noor, 2012:35)

Oleh yang demikian, karya Orang Kecil jelas mengungkapkan realiti kehidupan masyarakat pinggiran yang ketinggalan dalam banyak perkara termasuk kedudukan ekonomi dan keadaan sosial mereka. Gambaran ini sebenarnya menjelaskan juga kedudukan kaum lain yang senasib dengan mereka. Pengarang yang melalui pelbagai pengalaman di kota besar pasti tersentuh dengan isu-isu yang bersangkutan dengan permasalahan manusia sejagat. Soal kemiskinan dan penindasan yang berada di merata tempat telah digarapkan dalam suatu cerita tentang golongan pinggiran dalam semua perkara.

Rumusan

Secara keseluruhannya karya Orang Kecil (Akiya, 2014) memberikan kefahaman tentang realiti kehidupan ‘manusia kecil’, meliputi latar belakang budaya, sistem nilai, kepercayaan dan sebagainya. Isu atau persoalan serta nilai-nilai yang bersifat sejagat itu dapat diselami oleh setiap pembaca.

Pemahaman terhadap isu dan persoalan yang melingkari masyarakat minoriti seharusnya mendapat perhatian serius semua pihak berwajib dan juga kaum lain. Masyarakat seharusnya sedar bahawa realiti perbezaan (dari sudut ekonomi, politik dan sosial) antara kita mendatangkan kesukaran kepada persefahaman dan penyatuan yang benar-benar utuh. Walau bagaimanapun isu berkaitan kaum, budaya, agama dan kepercayaan juga akan mengganggu gugat kestabilan atau ikatan yang dipupuk sejak sekian lama sekiranya tidak dikendalikan dengan baik.

Makalah ini merupakan kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Sastera Pelbagai Kaum 2015 anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), bertempat di ASWARA.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044108
    Visit Today : 529
    This Month : 26707
    Total Visit : 1044108
    Hits Today : 1502
    Total Hits : 4286475
    Who's Online : 16
  • Kategori