Pengulas ASMA WAHAB

dialek melayu sarawak

Tajuk Buku      :        Dialek Melayu Sarawak

Penulis             :        Mohd. Ali Salim

Terbitan           :        Dewan Bahasa dan Pustaka

Genre               :       Umum

Halaman          :        168 halaman

 

SARAWAK, yang mendapat jolokan “Bumi Kenyalang” merupakan sebuah negeri yang unik kerana kepelbagaian etniknya. Menurut kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk Sarawak pada tahun 2013 berjumlah seramai 2.62 juta orang, manakala bancian pada 2010, terdapat sejumlah 568,113 orang penduduk Sarawak berketurunan Melayu. Kelompok Bumiputera yang lain ialah Iban sebanyak 713,412 orang. Pada tahun 2014, kajian Jabatan Perangkaan mendapati bahawa orang Melayu Sarawak telah menduduki tangga kedua dari segi jumlah penduduknya.

Sebagai sebuah negeri yang terbesar di Malaysia, Sarawak bukan sahaja hebat dengan perjalanan sejarahnya, tetapi turut terkenal dengan kekayaan bahasa dan budaya yang cukup berbeza berbanding negeri-negeri  lain. Hal ini menyebabkan Sarawak sering menjadi tumpuan para penyelidik dan pengkaji bahasa. Antara bahasa yang masih banyak penuturnya ialah bahasa Melayu dialek Sarawak, bahasa Iban, bahasa Bidayuh, bahasa Melanau, bahasa Kayan, dan bahasa Kenyah.

Walau bagaimanapun, terdapat bahasa-bahasa yang semakin kurang jumlah penuturnya. Antaranya, termasuklah bahasa Tanjung, bahasa Tabun dan bahasa Remun. Terdapat juga bahasa yang telah pun pupus seperti bahasa Seru, bahasa Sitieng, bahasa Beliun, bahasa Kelejo, dan bahasa Um Apun.

Bahasa Melayu dalam dialek Melayu Sarawak masih lagi  menjadi bahasa pilihan utama penduduk tempatan untuk berkomunikasi. Oleh itu, usaha Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan buku Dialek Melayu Sarawak (DMS), tulisan Mohd. Ali Salim adalah tepat pada masanya demi memastikan agar bahasa Melayu Sarawak terus wujud dan menjadi rujukan, dan tidak tenggelam dalam arus pemodenan. Perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah telah mempengaruhi penyebaran dialek Melayu Sarawak, khasnya bagi anak-anak muda. Banyak perkataan telah tenggelam dan tidak lagi digunakan oleh generasi muda kerana mereka telah biasa menggunakan perkataan bahasa Melayu, lantas tidak mengetahui tentang kewujudan beberapa perkataan asli dalam dialek Melayu Sarawak.

Seperti juga bahasa Melayu standard, perkataan dalam bahasa Melayu Sarawak juga lengkap dan dapat dikelaskan mengikut golongan kata. Kandungan buku ini memudahkan pembaca memahami dan menghafal beberapa perkataan, dan mampu membina ayat dengan perkataan tersebut. Penerangan yang jelas membolehkan pembaca mudah memahaminya, walaupun pembaca bukan berasal dari  Sarawak.

Penulis menyenaraikan perkataan-perkataan mengikut golongan kata seperti kata nama, kata ganti nama, kata kerja, kata adjektif, kata tugas, kata ganda, kata yang bermula dengan ng,  kata yang bermula dengan ny,  kata majmuk, perbandingan perkataan bahasa Melayu (BM) dan dialek Melayu Sarawak, dan perbualan dalam dialek Melayu Sarawak.

Terdapat 13 bab dalam buku ini dan setiap bab disediakan satu golongan atau jenis perkataan dengan menyenaraikan perkataan-perkataan dialek Melayu Sarawak pada sebelah kanan dan terjemahannya di sebelah kiri, menggunakan bahasa Melayu baku. Sebelum itu, dijelaskan terlebih dahulu tentang golongan kata dalam dialek Melayu Sarawak dan penggunaannya, seperti keunikan serta perbezaan makna dalam bahasa Melayu. Kemudian, disediakan ayat-ayat dalam dialek Melayu Sarawak sebagai latihan kepada pembaca untuk memahami kembali makna perkataan itu dalam ayat yang disediakan.

Penulis membimbing pembaca mengeja perkataan dalam dialek Melayu Sarawak dan membezakannya dengan perkataan lain yang hampir sama. Ejaan ini termasuklah penggunaan vokal a, e, dan o serta imbuhan awalan be-, m, dan n pada awal kata. Penulis telah menentukan satu ejaan untuk memudahkan pembaca mengeja dan membaca buku ini tanpa menimbulkan banyak kekeliruan dari segi makna perkataan. Misalnya, perkataan yang berakhir dengan a dan o mempunyai makna yang sama. Begitu juga dengan kehadiran m di hadapan perkataan adalah untuk membezakan dua perkataan yang hampir sama, tetapi berbeza makna antara perkataan yang menerima kehadiran m atau tanpa m. Pembaca dapat meneliti kehadiran m dan n berpasangan dengan konsonan, bukanlah kerana salah ejaan, tetapi memang dieja sedemikian. Begitu juga dengan be- bukanlah kerana tertinggal huruf ‘r’, tetapi hendak menunjukkan bahawa begitulah sifat perkataan Melayu Sarawak.

Dalam Bab 1, penulis menyenaraikan contoh perkataan yang dieja dengan bunyi “a” atau “o” pada suku kata  akhir perkataan. Kedua-duanya mempunyai persamaan makna kerana perbezaan bunyi itu ketara mengikut daerah penutur. Contohnya, jika penutur dari kawasan bandar Kuching,  vokal “a”  terdapat di hujung perkataan. Manakala, jika penutur dari kawasan pesisiran pantai atau luar bandar, bunyi vokal “o” terdapat pada akhir suku kata. Terdapat juga bunyi “e” (e pepet) pada hujung  perkataan,  namun  tidak  digunakan secara meluas kerana dituturkan di kawasan tertentu sahaja, seperti di daerah Simunjan dalam bahagian Samarahan. Contoh perkataan ialah “ada” yang disebut “ado”, baja (bajo), gila (gilo), kuda (kudo), dan masa (maso).

Seterusnya, dalam bab pengenalan juga penulis menerangkan tentang ejaan yang mempunyai huruf “m” tanpa bunyi yang jelas kerana mengikut ejaan perkataan dalam dialek Melayu Sarawak. Jika huruf “m” itu dihilangkan,  maka sebutan atau ejaan tersebut tidak bertepatan seperti yang disebut oleh masyarakat Melayu  Sarawak.  Contohnya:  mbiakmbatukmpigitmpadak, mpunok , mbaong,  mpiasmpalongmpungasmpusakmpengin, dan mpono.

Huruf “m” ada kalanya berfungsi sebagai  imbuhan  “me­”, seperti  mbaok yang bermaksud menyebat, mbaca yang bererti membaca, mberus yang bermaksud memberus dan sebagainya. Namun,  yang lebih penting, kehadiran huruf “m” itu boleh mengubah makna perkataan jika disebut dengan kehadiran “m” atau tanpa “m”. Misalnya, mpusak merujuk air terkeluar dari hidung dan mulut, manakala jika kehadiran “m” tidak kedengaran langsung, maka bunyinya menjadi pusak yang membawa maksud kucing. Begitu juga dengan mbaong yang bermaksud kembang atau lebam  pada kulit atau badan, manakala  baong  pula ialah sejenis ikan. Penulis menggunakan cara mengeja yang tersendiri untuk mengurangkan kekeliruan ini.

Dalam dialek Melayu Sarawak juga terdapat golongan kata nama yang merupakan  kata nama khusus kerana berbeza daripada kata nama bahasa Melayu. Tatabahasa  Dewan Edisi Baharu (1995), mencatatkan bahawa golongan kata nama  merangkumi sejumlah perkataan yang  boleh menjadi unsur inti pada binaan frasa nama dan lazimnya kata ini menamakan orang,  tempat  atau  benda.  Dalam  dialek Melayu Sarawak,  terdapat  kata nama  khusus bagi  menamakan  binatang,  benda, tumbuh-tumbuhan dan abstrak. Contohnya, kata nama binatang seperti pusak (kucing), asuk (anjing), manok  (ayam),  kontet (pepatung),  gamang (tabuan),  nanin (tabuan), kesak (kerengga), perempak (labah-labah), lepeh (lipas), sapi (lembu) dan sebagainya.

Seterusnya, nama tumbuh-tumbuhan yang disenaraikan  ialah apong (nipah), lembu (labu air),  babas (rumput), keribang (keledek), bandong (ubi kayu) dan sebagainya. Walaupun terdapat perkataan lembu dalam bahasa Melayu yang merujuk pada sejenis haiwan, tetapi maksudnya berbeza dalam dialek Melayu Sarawak, yang merujuk pada sejenis sayur (labu air). Contoh kata nama benda pula ialah ladin (pisau), penjan  (tingkap),  jatong  (tandas),  penyia  (penyapu),  gulin  (bantal peluk),   jungkar  (pelantar tempat menjemur), lang (pintu), sumpin (anting-anting) dan jabe (bilik air).

Seiring dengan perubahan zaman, terdapat beberapa kata nama tidak digunakan lagi. Antaranya, termasuklah jatong, jungkar dan jabe. Jabe misalnya, tidak disebut lagi apabila terbinanya rumah moden yang mempunyai sistem kumbahan yang sempurna. Pengaruh bahasa Melayu baku yang meluas  juga menyebabkan  generasi  muda  tidak  tahu  lagi kata nama  asli  Melayu Sarawak  kerana sudah  biasa  menggunakan  bahasa Melayu. Sebagai contoh, generasi muda tidak lagi menyebut penjan, bob, lang, ladin, dan sumpin.

Penulis menyebut tentang keunikan dialek Melayu Sarawak yang merujuk pada satu hidupan, tetapi disebut dengan pelbagai nama. Contohnya, perkataan udang.  Udang   kecil   disebut   bubok   (digunakan   untuk membuat belacan). Senek pula ialah udang kecil yang terdapat  di sungai dan digunakan sebagai bahan campuran dalam sayur atau digoreng untuk dicampurkan dengan tempoyak. Udang sungai yang bersaiz besar sedikit daripada  senek  disebut  mpunokMpunok  berjanggut  merah  panjang dan bersepit,  tetapi  tidak  sebesar  sepit  udang  berwarna  biru.  Payak pula ialah udang merah yang  ditangkap di laut untuk  dijadikan  lauk berkuah,  digoreng, dijadikan bahan campuran sayur, dan  dijadikan udang  kering.  Udang  yang  besar  sedikit  daripada payak  disebut  payak bukuk  atau lapis (Saribas).  Lapis  ini berwarna putih, berbelang hitam atau biru tua. Lidan  ialah  udang  laut  yang  berwarna putih, biasa terdapat pada musim tengkujuh. Dalam dialek Melayu Sarawak, hanya yang bersaiz  besar dan bersepit biru disebut udang.

Bagi serangga, dalam bahasa Melayu, serangga yan  terbang dan berbisa disebut tabuan. Dalam dialek Melayu Sarawak pula, tabuan mempunyai  namanya tersendiri mengikut rupa. Tabuan yang bersaiz besar dan bahagian badannya berwarna merah atau oren disebut  gamang. Gamang biasanya bersarang pada pokok dan kadang-kadang pada bumbung rumah. Manakala,  tabuan yang badannya berwarna kuning disebut naning. Naning biasanya bersarang  di dalam tanah dan juga pada dahan pokok. Lebah pula disebut  nyuan. Terdapat sejenis lebah disebut lanyek. Serangga  berbisa yang  biasanya  keluar  pada waktu  malam dan berwarna coklat muda disebut keraie. Serangga berwarna hitam yang bersarang di rumah dan membuat sarang daripada tanah kering disebut kangkut.

Masyarakat Melayu Sarawak turut mengelaskan itik dengan pelbagai nama  mengikut rupa. ltik yang berwarna putih disebut itit. Itik yang berwarna putih dan kadang-kadang berbelang biru tua atau hitam disebut bebek dan serati. Manakala, itik yang besar atau angsa disebut bagong.

Serangga seperti semut pun mempunyai nama yang pelbagai dalam dialek Melayu Sarawak. Semut merujuk pada semut yang tidak berbisa seperti semut hitam, semut kuning dan semut tonggek. Manakala semut yang berbisa mempunyai nama tertentu dan tidak disebut semut. Semut yang berwarna merah muda dan gigitannya lebih sakit daripada semut biasa disebut kesak (kerengga). Semut hitam yang sebesar kesak, tetapi gigitannya amat bisa disebut mpadak atau semut api.

Terdapat dua nama bagi menamakan ketam yang  hampir  sama,  iaitu  ketam  dan  ramak. Ketam mewakili ketam sungai dan ketam laut. Ketam laut biasanya berwarna putih dan kebiru­biruan, manakala ketam sungai pula berwarna perang, hitam dan merah. Ramak hampir seperti ketam, tetapi tinggal lama di atas  darat  dan di  dalam  lubang tanah. Kadang-kadang, ramak tinggal berdekatan dengan kediaman  manusia. Jika rumah bertiang  tinggi, ramak dapat dilihat di bawah rumah. Ramak juga tinggal di tepi pantai.

Contoh lain bagi kata nama dalam dialek Melayu Sarawak ialah apong (nipah), asuk (anjing), bagong (angsa), bandong (ubi kayu), belon (kapal terbang), tumpik (sejenis kuih), ugak (tunggul kayu), uras (sampah), dan wakpe (buaian). Dalam bab ini juga penulis memberikan contoh ayat dalam dialek Melayu Sarawak.

1.Bujang ngalo asuk ngaco manok.

Bujang menghalau anjing yang mengganggu ayam.

 2.Asuk ngan pusak sik dapat betemu akan bekarat.

Anjing dengan kucing tidak boleh berjumpa kerana akan bergaduh.

3.Ani ada duak ikok bagong ngan bebek.

Ani ada dua ekor angsa dan itik.

4.Taib carik lantong pake umpan kail.

Taib mencari cacing Tanah untuk dibuat umpan pancing.

5.Bandong rebus jak pake kamek minum pagi.

Ubi kayu rebus sahaja untuk saya sarapan pagi.

6.Adik layap nangga belon terbang di langit.

Adik leka melihat kapal terbang di langit.

7.Bapak make colop bejalan malam.

Bapa menggunakan suluh (obor) untuk berjalan di waktu malam.

8.Leha rindok ati dapat ikan sebesar duge.

Leha gembira memperoleh ikan sebesar lengan.

9.Emak nyirap sayur atas engkalan.

Emak memotong sayur berlapik alas kayu.

10.Mata kapak lucut, enteran kapak jak yang dapat dipegang.

Mata kapak tercabut, hulu kapak sahaja yang dapat dipegang.

Penulis membincangkan tentang kata ganti nama dalam Bab 3. Jika diteliti   penggunaan kitak dan kamek dalam dialek Melayu Sarawak, didapati bahawa kata ganti nama itu digunakan dalam konteks tunggal dan majmuk. Kedua-dua perkataan itu merujuk orang yang tunggal dan orang yang banyak. Perbezaan antara yang tunggal dan yang majmuk dapat difahami dengan melihat konteks ayat   dan orang yang disapa. Jika orang yang disapa itu ramai, tidak timbul lagi kekeliruan bagi kitak dan kamek itu sebagai kata ganti nama majmuk. Bagaimana pula   penggunaan kitak dan kamek dalam bentuk tunggal? Selain itu, kata ganti nama ini juga digunakan untuk panggilan hormat kepada guru dan orang yang berjawatan seperti ketua kampung. Kata sapaan ini juga digunakan untuk sapaan mesra sebagai tanda kasih seperti kepada kanak-kanak dan kadangkala digunakan oleh muda-mudi untuk memanggil pasangan atau orang yang diminatinya. Oleh yang demikian, panggilan kitak dan kamek dalam dialek Melayu sarawak itu adalah unik dan bukanlah sama dengan maksud “kita” dan “kami” dalam bahasa Melayu. ContohayatdalamdialekMelayuSarawak:

1.Apa polah kitak ya?

Apa awak buat itu?

2.Kamek molah kuih penyaram.

Saya membuat kuih penyaram.

3.Kamek mintak tolong kitak nyampe hadiah.

Saya minta tolong anda menyampaikan hadiah.

4.Nya pegi sini?

Dia pergi ke mana?

5.Tok bilik kitak, sia bilik kamek.

Ini bilik awak, di situ bilik saya.

6.Sinun tempat kitak, situk tempat urang jemputan khas jak.

 Di sana tempat awak, di sini tempat orang jemputan khas sahaja.

7.Jangan merokok di situk.

Jangan merokok di sini.

8.Di situk tempat pendaftaran.

Di sini tempat pendaftaran.

9.Malam tok kita mesyuarat.

Malam ini kita mesyuarat.

Kata kerja khusus dalam dialek Melayu Sarawak merupakan kata kerja yang biasa digunakan dalam pertuturan orang Sarawak, tetapi berlainan daripada kata kerja dalambahasa Melayu. Kata kerja ini melibatkan kata akar dan juga kata kerja yang berimbuhan.

Kata kerja akar dalam dialek Melayu Sarawak seperti berak (buang air besar), diat (lihat), ingkah (letak), jorot (kejar), kemeh(kencing), molah (membuat) dan sebagainya. Kata-kata tersebut boleh berdiri sendiri tanpa sebarang imbuhan yang merujuk perbuatan seperti melihat, baring dan kejar. Imbuhan kata kerja dalam dialek Melayu Sarawak ialah be, ng-, ny­, te. Misalnya, beloya (bersembang), bekarat (bergaduh), besendik (berdamping), dan beketum (berkurung).

Sungguh pun begitu, terdapat perkataan dalam dialek Melayu Sarawak yang bermula dengan be, ny, ng, dan te yang bukan merujuk kepada kata berimbuhan, tetapi merupakan kata dasar, seperti berekot yang bukan bermaksud be- + rekot, tetapi memang kata akarnya ialah berekot yang bermaksud berlari. Jadi, tiada kata akar rekot dalam dialek Melayu Sarawak yang merujuk kata “berlari”. Begitu juga dengan nyanyok (nyanyuk), nyatuk (mengutip buah), nyebal (makan), ngando (lewat bangun), ngodak (mendidih), terusuk (tersandung) dan terisin (senyum menampakkan gigi).

Jelaslah bahawa dalam dialekMelayuSarawak terdapat kata kerja tunggal dan kata kerja berimbuhan be-, ny-, ng- dan te-, namun tidak semuanya merupakan kata yang menerima imbuhan, sebaliknya perkataan tersebut merupakan kata akar atau kata dasar yang terdapat dalam dialek Melayu Sarawak.

Keunikan kata kerja dalam dialek Melayu Sarawak dapat dilihat pada perkataan “makan”. Makan dalam dialek Melayu Sarawak mempunyai pelbagai istilah seperti majoh, nyebal, nganggus dan ngipong. Istilah “makan” merujuk kepada makan biasa-biasa, seperti makan nasi dan kuih. Majoh juga merujuk kepada makan, tetapi perkataan ini agak kasar dan mungkin digunakan dalam nada marah. Nganggus pula merujuk cara gaya memakan buah-buahan. Manakala nyebal merujuk kepada makan dalam kadar yang sedikit sebagai alas perut atau untuk merasa sesuatu makanan sebelum waktu makan sebenar. Ngipong pula adalah perbuatan memakan sesuatu sedikit demi sedikit sambil melakukan kerja lain atau duduk-duduk di muka pintu.

Terdapat pelbagai istilah dalam dialek Melayu Sarawak bagi menggambarkan perbuatan memukul, seperti mbaok, maluk, mantei, nyigong, tepas, sembat dan polen. Memukul biasanya disebut maluk, seperti maluk ular, dan maluk anak dengan kayu. Mbaok pula pukulan yang agak kuat daripada pukulan biasa. Nyigong pula pukulan dengan siku dan tepas ialah perbuatan memukul dengan kain. Sembat merujuk kepada pukulan seperti sebat. Mantei pula merupakan istilah pukul yang agak bebas termasuk menumbuk, menampar, menyinggung dan menghentam. Perbuatan memukul beramai-ramai disebut polen.

Bagi kata kerja pergerakan, terdapat pelbagai kata dalam dialek Melayu Sarawak. Berekot ialah kata kerja bagi pergerakan yang cepat; berlari. Njelik pula pergerakan lambat (seperti cacing, ulat, dan siput) atau kanak-kanak yang baru belajar bergerak. Insut atau berinsut pula ialah pergerakan lambat untuk mengalih sesuatu seperti mengalihkan almari dan juga merujuk perbuatan kanak-kanak yang baru belajar bergerak. Merayap pula merujuk pergerakan serangga seperti semut, lipas dan halipan.

Penulis turut mencatatkan beberapa perkataan yang menjadi sebutan dalam dialek Melayu Sarawak. Perkataan-perkataan ini merupakan istilah kata kerja khusus yang tidak terdapat dalam bahasa Melayu. Perkataan tersebut ialah:

-Mpungas yang merujuk perbuatan mencuci muka, khasnya selepas bangun   tidur.

-Nkasik yang bermaksud bersin.

-Meransak yang bermaksud perbuatan terkeluar air dari mulut dan hidung secara tidak sengaja disebabkan oleh terkejut atau tertawa apabila mendengar sesuatu yang lucu ketika sedang minum.

-Mbatak merupakan perkataan yang bermaksud perbuatan menolak perahu di tempat yang berair cetek atau di atas tebing.

-Bedurok yang bermaksud tolong-menolong untuk menyiapkan sesuatu kerja secara bergilir-gilir.

-Begusar: perlakuan marah atau merajuk.

-Beketum: berkurung atau duduk dalam bilik.

-Bedengah: menunjuk-nunjuk atau menceritakan sesuatu tentang diri sendiri.

Bagi kata adjektif yang dibincangkan dalam Bab 5, terdapat beberapa perkataan khusus dalam dialek Melayu Sarawak yang tidak terdapat dalam bahasa Melayu seperti gaok (jahat/ganas), bangah (bengis), muh (nakal), dan tuyuk (bodoh) bagi kata adjektif sifat. Gadong (hijau), kalas (merah jambu) dan kodak (ungu) bagi kata adjektif warna. Supan (malu) dan rindok (suka) pula kata merujuk pada kata adjektif perasaan. Manakala, nyaman (sedap), kacak (cantik), mpono (hodoh), dan jaik (jahat) bagi kata adjektif pancaindera.

Bagi kata adjektif jenis lain seperti ukuran, bentuk, waktu, jarak, dan cara, dialek Melayu Sarawak mempunyai perkataan yang sama dengan bahasa Melayu. Contohnya panjang, pendek, bulat, jauh, dekat dan sebagainya.Yang menariknya, terdapat beberapa perkataan dalam dialek Melayu Sarawak sama sebutannya dengan bahasa Melayu, tetapi mempunyai maksud yang berlainan sama sekali. Perkataan ini boleh menyebabkan salah faham jika tidak difahami maksud sebenar penuturnya. Misalnya, perkataan “lawa”, terdapat dalam bahasa Melayu dan terdapat juga dalam dialek Melayu Sarawak. Tetapi, maksudnya berbeza, malah maknanya pun bertentangan. Dalam bahasa Melayu, perkataan “lawa” bermaksud cantik atau segak, sebaliknya dalam dialek Melayu Sarawak, “lawa” bermaksud sombong. Contoh ayat adalah seperti yang berikut:

 –Urang yo lawa gilak (Orang itu sangat sombong.)

-Lawa na kau jak (Sombong benar awak.)

-Nyo lawa gilak sik maok negor urang (Dia sangat sombong tidak mahu menyapa orang.)

-Nangga rupa dah lawa (Lihat wajahnya pun sudah tahu sombong.)

Apabila kita menyebut kacak, pastinya akan terbayang seorang lelaki yang bergaya, segak, gagah dan tampan. Namun, perkataan “kacak” dalam dialek Melayu Sarawak mempunyai makna yang lebih luas, iaitu merujuk pada kecantikan, indah dan menawan bagi lelaki mahupun perempuan, dan juga merangkumi gaya, suara, lagu, benda atau pemandangan. Contoh ayat adalah seperti yang berikut:

-Kacak ada jak muka mpuan yo (Cantik sungguh wajah perempuan itu.)

-Rindok nangga laki yo, muka kacak perange bait (Suka melihat wajah lelaki itu, muka tampan dan elok perangai.)

-Kacak pante sio, rugi mun kau sik pegi (Indahnya pantai di situ, rugi jika awak tak pergi.)

Bagi kata adjektif jenis perangai manusia pula, terbahagi kepada watak baik dan watak kurang baik. Watak tidak baik adalah seperti muli, mancai, ntingai/ntingal, bengkeng, gambong, lanji, kenjet, dan rengat. Watak yang baik pula adalah seperti renah dan cakah. Contoh ayat dapat dilihat seperti yang berikut:

-Anak kamek mancai gilak, yalah kamek sik pande nak ngembaknya pengilan (Anak saya nakal sangat. Sebab itu saya enggan bawa dia pergi kenduri.)

-Lelah dah aku melarangnya, sik dengar kata, ntingai gilak (Letih sudah saya melarangnya, tidak dengar nasihat, degil sangat.)

-Mbiak   nok Iepak di jambatan   ya lanji gilak, suka nyakat anak dara melimpas di sia (Budak yang Iepak di jambatan itu gatal sangat, suka   mengusik   anak dara yang lalu di situ.)

Dialek Melayu Sarawak mempunyai kata tugas seperti goIongan kata hubung, kata seru, kata pembenar, kata bantu, kata penguat, kata penegas, kata nafi, kata sendi nama, dan kata bilangan. Kata yang mendukung makna kata hubung seperti kak ya (selepas itu), ngan (dan/dengan), nak (yang), mun (jika), sampe (hingga), ntian (sementara) dan mbak (kerana/sebab). Kata seru pula seperti adek kerana sakit, yorabbi kerana kagum (wah), ceh (cis) dan his (cis) menunjukkan perasaan marah. Terdapat juga kata pembenar, seperti aok (ya), nang benar (benar), dan nang boleh tahan (memang hebat). Selain itu, terdapat juga kata bantu seperti udah (sudah), maok (mahu), kalak (pernah), tengah (sedang), agik (masih), dan nak (hendak). Kata penguat pula, misalnya gilak (sangat) dan ada (agak). Kata penegas pula seperti juak jak (sahaja) dan nang (memang).

Kata sendi nama pula, misalnya engge (dekat/pada), rah (dekat/pada), di bah (di bawah), sampe (hingga) dan senggan/singgan   (hingga/ setakat mana). Manakala kata bilangan, contohnya seperti sigek (satu), sikok (seekor), semo (semua), rami (ramai), sepapat (satu perempat), dan seranto-ranto (semua/sebilangan besar kawasan).

Contoh kata hubung:

-Nyo nesah baju kak yo mandik (Dia mencuci pakaian selepas itu dia mandi.)

-Sidak yo mbeli lembu ngan karibang (Mereka membeli labu air dan keledek.)

-Dari   pagi   sampe   petang   kamek nunggu kitak, tapi sik juak datang (Dari pagi hingga petang saya menunggu awak, tetapi tidak juga tiba.)

Contoh kata seru:

-Adek, sakit kaki aku digigit mpadak! (Aduh, sakit kaki saya digigit semut api!)

-Yorabbi, besar ada rumah kitak! (Wah, besar sungguh rumah awak!)

-Ceh, kau tuk berani na ngan aku, bukut ku kelak! (Cis, berani sungguh awak dengan saya, saya tumbuk nanti!)

Penulis membuat perbandingan beberapa perkataan yang mempunyai maksud sama dan bunyi hampir sama antara kedua-dua dialek. Perbandingan tersebut berguna untuk orang Sarawak menilai ejaan yang betul dalam bahasa Melayu dan memudahkan warga Malaysia yang bukan penutur dialek Melayu Sarawak untuk mempelajari perkataan dalam dialek Melayu Sarawak.

Antara perbezaan mudah yang boleh dipelajari ialah penghilangan g, penambahan k, pertukaran vokal u menjadi o dan pertukaran diftong au menjadi o atau pertukaran ai menjadi e. Perbezaan itu merujuk perkataan dalam bahasa Melayu yang mempunyai g di hujung kata akan hilang khususnya bagi suku kata ing, misalnya daging disebut dagin. Begitu juga pertambahan k, misalnya a dalam suku kata terbuka perkataan BM akan ditambah k seperti buka menjadi bukak.

Buku ini menarik dan sesuai dijadikan rujukan para pengkaji bahasa dan sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajari dialek Melayu Sarawak.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013269
    Visit Today : 532
    This Month : 32614
    Total Visit : 1013269
    Hits Today : 1730
    Total Hits : 4133835
    Who's Online : 8
  • Kategori