warisan melayuPengulas:  ASMA WAHAB

 

Judul:                                              Warisan Melayu Sri Lanka

Penyelenggara:                              Ismail Hussein & Awang Sariyan

Penerbit:                                         Dewan Bahasa dan Pustaka

Genre:                                            Umum

Halaman:                                        632 halaman

BUKU ini merupakan hasil usaha awal pengumpulan makalah tentang masyarakat Melayu Sri Lanka. Makalah yang disiarkan adalah hasil tulisan penulis-penulis Sri Lanka.  Keseluruhan makalah dibahagikan kepada sepuluh bahagian yang merangkumi penulisan tentang sejarah dan budaya; hubungan Sri Lanka dengan dunia Melayu; petempatan di Bandar dan desa; bahasa dan persuratan; pertubuhan Melayu Sri Lanka; biografi tokoh Melayu; hal ehwal sosial dan budaya; masjid dan keramat; kegiatan sukan; dan juadah Melayu.

Terdapat 19 tajuk pada Bahagian satu yang mengandungi makalah tentang sejarah umum dan budaya masyarakat Melayu Sri Lanka. Pada tahun 1709, raja negeri Jawa iaitu Sunan Mangkurat Mas bersama-sama rombongannya dibuang negeri ke Sri Lanka oleh penjajah Belanda. Manakala pada tahun 1723 pula, sebanyak 44 orang kerabat diraja dan pembesar Jawa bersama-sama keluarga mereka yang menyerah kalah kepada Belanda dalam peperangan Batavia, turut dibuang negeri ke Sri Lanka. Keluarga yang dibuang negeri ini lahirnya menjadi teras perkembangan masyarakat Melayu di Sri Lanka.

Agama Islam tersebar luas hasil usaha orang Melayu Sri Lanka. Beberapa buah masjid yang dibina membuktikan bahawa agama Islam sangat diutamakan oleh orang Melayu Sri Lanka. Antara masjid tersebut ialah Masjid Besar di New Moor Street, Colombo; Masjig Jummah Wakande di Slave Island  dan  Masjid Jamiah di Java Lane. Masjid Besar direka bentuk oleh seorang arkitek Jawa bernama Mohamed Balankaya. Masjid dua tingkat ini merupakan masjid pertama di Sri Lanka dan masih kekal hingga kini.

Menurut makalah ini juga, masalah sosial mula melanda masyarakat Melayu apabila semakin ramai masyarakat Melayu tidak mempunyai pekerjaan dan mula berpecah-belah. Kadar pengangguran yang semakin meningkat menyebabkan banyak gadis Melayu tidak dapat mencari jodoh. Selain masalah ini, masyarakat Melayu juga dilanda masalah perumahan dan kesihatan.

Kini, timbul pula masalah yang berhubung dengan bahasa perantaraan di sekolah-sekolah. Walaupun bahasa Melayu digunakan sejak masyarakat Melayu dibuang ke negara ini sekitar 250 tahun yang lalu, namun bahasa Melayu bukanlah bahasa yang diajarkan di sekolah. Semasa pemerintahan British, bahasa yang diajarkan ialah bahasa Inggeris, di samping bahasa Sinhala dan bahasa Tamil. Kalangan pemerhati membayangkan bahawa dalam satu atau dua generasi akan datang, akan wujud orang Melayu-Inggeris, Melayu-Sinhala, dan Melayu-Tamil yang pastinya tidak berhubung antara satu dengan yang lain.

Dalam bahagian satu juga terdapat sebuah makalah tentang akar umbi orang Melayu Sri Lanka. Penulis makalah ini mengatakan bahawa hubungan antara Sri Lanka dengan Kepulauan Melayu pada Zaman Pertengahan sudah diketahui umum. Namun, satu isu baharu timbul apabila kaum Veddha di Sri Lanka dan kaum Senoi di Malaysia dikatakan berasal daripada kumpulan darah yang sama, seperti yang dinyatakan dalam laporan Royal Anthropological Institute yang diterbitkan pada tahun 1963. Terdapat lebih daripada 70 ribu orang asli Melayu (Senoi) yang hidup di merata-rata tempat di sepanjang banjaran gunung di semenanjung dari Singapura hinggalah ke sebelah utara negara Thai. Wajah mereka memang mirip wajah orang asli Sri Lanka (Veddha).  Seorang sejarawan India, Sardar Panikkar menulis dalam bukunya, The India Ocean bahawa  Empayar Srivijaya berkembang di Timur dari permulaan era Kristian hinggalah pada awal kedatangan kuasa-kuasa Eropah.  Ketika itu bahasa Melayu  menjadi lingua franca Asia Tenggara dan Lautan Hindi dikuasai oleh orang Melayu dalam era Srivijaya.  Dengan sebab itu, penulis merumuskan bahawa hubungan erat antara orang asli Sri Lanka, Malaysia, dan Indonesia telah wujud sejak lama dahulu. Sayangnya, mereka tidak dapat merakamkan riwayat hidup mereka dikaji oleh ahli sejarah.

Seterusnya, dicatatkan bahawa faktor yang membuatkan Sri Lanka memainkan peranan penting dalam sejarah maritim adalah kerana kedudukan geografinya. Kedudukan Sri Lanka di lautan Hindi sangat strategik, yang dapat mengawal kemasukan kapal di Teluk Benggala dari Barat. Sekiranya seseorang belayar dari Sri Lanka melalui sepanjang persisiran pantai timur terus ke arah timur, dataran pertama yang ditemukan selepas Andaman ialah Semenanjung Tanah Melayu. Sama juga halnya jika seseorang belayar dari Semenanjung Tanah Melayu atau persisiran barat Sumatera Utara, dia akan mendarat di pesisir pantai timur atau selatan sri Lanka.

Menurut ahli sejarah, Indonesia memerintah sebahagian besar dunia ini sebelum wujudnya kerajaan Kalinga, Mataram, Sailendra, Pajaran, Srivijaya dan Majapahit. Pemerintah Dinasti Kalinga dikatakan berasal dari Kepulauan Melayu.

Dalam bab 2 yang menyentuh tentang hubungan Sri Lanka dengan dunia Melayu, makalah Chasnyn Musafer (Setiausaha Kehormat Dana Rupee Melayu Sri Lanka) mencatatkan tentang hubungan Sri Lanka dengan Malaysia. Keluarga Chasnyn yang melancong ke England memberitahu bahawa mereka bertemu pelajar Melayu dan menjadikan para pelajar tersebut sahabat yang akhirnya menjadi akrab. Mereka mendapat banyak maklumat tentang Tunku Abdul rahman, Suffian, dan Tun Abdul Razak. Ketika Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia, beliau dan isteri berkunjung ke Sri Lanka. Menurut Chasnyn, bapanya dan Tunku Abdul Rahman merupakan sahabat yang sangat akrab. Tunku akan singgah melawat mereka ketika dalam perjalanannya ke England. Semasa perisytiharan kemerdekaan Malaysia, Tunku mengundang ibu dan bapanya untuk sama-sama menyaksikan hari yang bersejarah itu.  Mereka turut diundang ke Malaysia ketika sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun 1963 dan menjadi tetamu pada majlis pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa pada tahun 1965 dan perasmian Masjid Negara pada tahun 1967.

Sebuah lagi makalah menceritakan tentang undangan Kerajaan Persekutuan tanah Melayu untuk Pertubuhan Melayu Sri Lanka sebagai tetamu sewaktu sambutan hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1962. Mereka dapat menyaksikan acara sambutan yang meriah, kemudian menghadiri jamuan di kediaman Perdana Menteri. Mereka turut dibawa berkunjung ke Universiti Malaya, Institut Bahasa, Institut Perikanan di Melaka, lombong bijih di lembah Kinta dan beberapa tempat di Pulau Pinang.

Makalah Chandra Putra Laxana menyentuh tentang dilema bangsa Melayu Sri Lanka.  Bangsa Melayu yang memang kecil jumlahnya semakin mengalami kepupusan. Terperangkap di tengah-tengah arus pergolakan etnik Sri Lanka, bangsa Melayu semakin hilang adab, kehilangan bangsa dan identiti. Terlalu sedikit generasi muda yang dapat bertutur dalam bahasa Melayu kerana bahasa kebangsaan, bahasa pendidikan dan pekerjaan ialah bahasa Sinhala. Sungguhpun begitu, golongan tua Melayu tidak berputus asa. Pemimpin masyarakat, B.D.K. Saldin menerbitkan sebuah buku berjudul Bangsa Melayu Sri Lanka dan Bahasa Mereka.  Encik Saldin, seorang pengarah syarikat pula melaksanakan siaran melalui program Suara Melayu di Sri Lanka dan berjaya menjalankan projek perintis mengajar orang dewasa menulis dan membaca bahasa Melayu. Pada Persidangan Hari Sastera 1993 di Shah Alam, beliau menerima undangan untuk membentangkan kertas kerja berjudul “Bangsa Melayu Sri Lanka dan Bahasa Mereka”.

Daripada segi penempatan, daerah Hambantota yang terletak di selatan Sri Lanka mempunyai 4500 orang penduduk Melayu. Semasa Hambantota mula dibangunkan 150 tahun dahulu, penduduk Melayu mendominasi 90% jumlah penduduk. Hubungan antara penduduk dari Kepulauan Nusantara, Sri Lanka, dan Afrika Selatan telah terjalin sejak ribuan tahun dahulu.  Penemuan arkeologi menunjukkan bahawa bangsa Melayu telah berada di Sri Lanka pada awal abad ketiga. Nama Hambantota sendiri adalah gabungan dua patah kata bahasa Melayu, iaitu “sampan” dan kata bahasa Sinhala “tota” yang bermaksud pelabuhan. Hambantota menjadi pelabuhan utama untuk persinggahan para saudagar yang berulang-alik berdagang dari Kepulauan Nusantara ke Afrika Timur dan negara-negara  Arab. Semasa penjajahan Belanda dan Inggeris, Hambantota menjadi pusat pengeksportan garam yang dikeluarkan oleh bangsa Melayu. Sekarang, Hambantota menjadi pelabuhan para nelayan dan menjadi tarikan pelancong.

Sebuah makalah yang ditulis oleh M.J. Hameen membincangkan tentang bahasa orang Melayu Sri Lanka yang semakin pupus. Bahasa Melayu merupakan bahasa pertuturan orang Melayu Sri Lanka seawal penghijrahan mereka sehinggalah 300 tahun kemudiannya. Bahasa Melayu diperturunkan kepada generasi baru dalam bentuk lisan. Bentuk bertulis hanya digunakan dalam penerbitan akhbar Alamat Lankapuri dan akhbar Wajah Selong. Kewujudan dua buah akhbar ini membuktikan bahawa bangsa Melayu Sri Lanka tidak buta huruf.

Faktor ekonomi menjadi punca atau penyebab kemerosotan penggunaan bahasa Melayu. Orang Melayu tidak menetap pada satu tempat sahaja, sebaliknya tinggal di setiap pelosok pulau. Oleh itu, kerajaan tidak dapat membina sekolah yang menggunakan bahasa Melayu. Hal ini juga menjadi penyebab orang Melayu tidak dapat menjadi wakil rakyat untuk memperjuangkan nasib mereka terutama dalam perjuangan menegakkan  Melayu.

Penulis makalah ini menyarankan agar usaha hendaklah dilakukan untuk mendapatkan kembali kerjasama daripada kedutaan Melayu dan kerajaan Melayu untuk mewujudkan skema pertukaran guru, buku dan tawaran biasiswa kepada pelajar Melayu yang mahu menuntut di universiti. Disarankan juga supaya diadakan pertukaran budaya antara organisasi Melayu dan kerajaan Melayu di luar negara. Usaha ini diharapkan dapat memulihara bahasa dan budaya Melayu  di Sri Lanka.

Dr. A.R.Deane menulis makalah tentang Pertubuhan Melayu di Sri Lanka. Dikatakan bahawa Kelab Kriket Melayu Colombo (CMCC) merupakan pertubuhan Melayu yang tertua di Sri Lanka. Pertubuhan ini diperkenalkan di Slave Island oleh pegawai-pegawai Melayu daripada Rejimen Senapang Sri Lanka pada tahun 1872. Kemudiannya, orang Melayu mula menyedari bahawa pertubuhan sukan sahaja tidak memadai untuk menampung keperluan kemasyarakatan mereka. Pada tahun 1922, sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Melayu seluruh Sri Lanka telah ditubuhkan. Persatuan ini memberikan perkhidmatan sosial, budaya dan hal ehwal agama.

Aspirasi politik turut menyumbang kepada pembentukan pertubuhan dengan pelantikan presiden pertama ACMA, iaitu M.K. Saldin sebagai ahli Majlis Perundangan. Seorang pendidik terkenal, Dr. T.B. Jayah merupakan orang Melayu pertama dilantik sebagai menteri kabinet. Pada tahun 1922 juga ditubuhkan Kelab Melayu Unik, manakala pada tahun 1932, sebuah keluarga menubuhkan pula kelab Alul Mafil Union. Secara keseluruhannya, kelab atau pertubuhan Melayu ini tidak dapat disertai oleh banyak orang Melayu kerana terletak di Colombo.

Banyak ahli bahasa, sejarawan, ahli sosiologi, ahli antropologi dan sebagainya dari Kepulauan Melayu  seluruh dunia sangat berminat membuat kajian tentang orang Melayu Sri Lanka. Melalui simposium yang diadakan di Colombo, pelbagai aspek kehidupan masyarakat Melayu Sri Lanka dapat didalami.

Ketokohan beberapa orang Melayu yang berpengaruh di Sri Lanka turut ditulis dalam beberapa buah makalah. Antara tokoh tersebut ialah Baba Ounus Saldin. Beliau merupakan tokoh yang menghidupkan bahasa Melayu di Sri Lanka. Beliau merupakan cucu kepada seorang  anggota rejimen yang datang dari Madura, Indonesia pada tahun 1900. Beliau seorang ahli bahasa yang pakar dalam bahasa Melayu dan fasih berbahasa Inggeris, Sinhala, Tamil dan Arab. Beliau turut menghasilkan risalah agama.

Banyak sumbangan beliau dalam hal ehwal Melayu. Selain sebagai penulis, penerbit, pengimport, pengeksport, dan pengedar buku, beliau juga menjadi penghubung utama antara Sri Lanka dengan dunia Melayu sehingga akhir abad kesembilan belas.

Babas Ounus Saldin menerbitkan akhbar Wajah Selong yang diedarkan ke Melaka, Singapura, Pulau Pinang, Sumatera, Betawi dan Thailand. Untuk bacaan orang Melayu Sri Lanka pula, beliau membawa masuk terbitan berbahasa Melayu dari Singapura, Pulau Pinang, Betawi dan Mumbai. Cara yang dilakukan ini mengeratkan dan mengekalkan hubungan dua hala antara  bangsa Melayu Sri Lanka dengan Dunia Melayu. Beliau meninggal dunia pada tahun 1906 ketika berusia 74 tahun, dan berakhirlah generasi sasterawan Melayu Sri Lanka.

Meskipun generasi baharu orang Melayu Sri Lanka tidak mahir malah tidak tahu menulis Jawi, namun hubungan dengan Dunia Melayu masih berterusan. Pelawat dari Timur sering singgah ke Sri Lanka. Antaranya ialah jemaah haji ke Mekah, pelajar yang dalam perjalanan ke England, dan Tunku Abdul Rahman.

Al-Haj T.E. Sagara Amit menulis tentang peranan belia Melayu Sri Lanka dalam senario perniagaan. Sagara Amit merupakan pengerusi bahagian belia Persatuan Melayu Sri Lanka. Menurut tulisannya, ibu bapa Melayu bercita-cita untuk mendapatkan tempat di sekolah swasta yang terkemuka bagi anak-anak mereka. Ini merupakan satu dilema kerana pendidikan yang bermula pada tahap satu hingga tahap lanjutan adalah dalam bahasa Sinhala atau bahasa Tamil. Anak-anak akan menghadapi kesukaran kerana mereka terpaksa belajar menulis, membaca dan bertutur dalam bahasa Sinhala atau Tamil; belajar menulis, membaca dan bertutur dalam bahasa Inggeris; belajar membaca al-Quran dalam bahasa Arab; dan berkomunikasi dengan orang tua dalam bahasa Melayu.

Selain itu, ibu bapa juga menggalakkan anak-anak mereka aktif dalam aktiviti sukan. Sukan memberikan banyak kelebihan dan peluang pekerjaan. Antara sukan yang popular ialah kriket, ragbi, hoki dan bola sepak. Kini, dalam kepelbagaian latar kehidupan, anak muda Melayu mula melangkah ke alam perniagaan. Ada yang mempunyai kelulusan diploma dalam bidang pemasaran dan ada juga yang mempunyai ijazah perniagaan, perakaunan, perbankan dan pengkomputeran.

M. Yaacob Akbar menulis makalah tentang jaringan perniagaan di Sri Lanka. Dalam makalahnya, beliau memperkenalkan Sri Lanka sebagai sebuah pulau di penghujung benua India, yang dahulunya dikenali sebagai Ceylon. Penduduk Sri Lanka berjumlah 19 juta orang dengan kaum majoriti Sinhala sebanyak 72%, Tamil (18%) dan Muslim (8%). Bilangan orang Melayu pula dianggarkan sebanyak 60 ribu orang. Agama rasmi ialah Buddha. Bahasa rasminya ialah bahasa Sinhala dan bahasa Tamil. Bahasa pengantar pula ialah bahasa Inggeris. Kebanyakan keluarga Melayu bertutur dalam bahasa Melayu. Iklim Sri Lanka ialah iklim Tropika yang mengalami dua monsun iaitu Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut.

Dasar ekonomi terbuka dilaksanakan oleh kerajaan. Sehingga pada tahun 1965, ekonomi Sri Lanka berdasarkan pertanian. Teh menjadi tanaman utama dan terkenal di seluruh dunia, selain kelapa dan rempah-ratus. Ekonomi bebas membawa perubahan yang ketara dalam komuniti perniagaan. Sri Lanka mengikat beberapa perjanjian dua hala yang disertai dengan Enakmen Suruhanjaya Ekonomi Colombo agung yang kini dirujuk sebagai Lembaga Pelaburan Sri Lanka.

Secara bandingan, Yaacob Akbar mengatakan bahawa orang Melayu Sri Lanka mungkin kecil daripada segi jumlahnya, tetapi mereka kaya dengan kemahiran dan kebolehan. Mereka berkebolehan dalam bidang keusahawanan. Dalam kalangan generasi muda pula terdapat doktor, jurutera, pengurus pemasaran, setiausaha syarikat, pengurus hotel dan jurubina.

Makalah menarik dalam bahagian lapan ialah tentang masjid, tanah perkuburan, ulama dan makam orang Melayu Sri Lanka. Umum mengetahui bahawa Sri Lanka pernah dikuasai oleh tiga kuasa besar, iaitu Portugis, Belanda dan British. Rejimen Melayu yang ditempatkan di Kurunegala membawa bersama-sama mereka keluarga masing-masing. Kerajaan British telah memberikan tanah untuk mereka duduki. Orang Melayu membina sebuah masjid bersebelahan Tasik Kurunegala. Kerajaan British turut memberikan tanah seluas dua ekar di sempadan Muttetugala, kira-kira sebatu dari masjid untuk dijadikan tanah perkuburan orang Melayu.

Tiga dekad yang lalu, seorang lelaki Sinhala bernama Emanis telah mendirikan sebuah bangunan sementara di suatu sudut tanah perkuburan itu. Kemudian, dia memperbesar kawasan bangunan, membina rumah keluarganya, dan membuka ladang sehingga ke kawasan perkuburan Islam itu. Pelbagai usaha dilakukan supaya dia tidak menceroboh kawasan perkuburan, namun tidak dipedulikan.

Tindakan undang-undang yang diusahakan oleh Miskin Zain, Ketua Lembaga Pemegang Amanah dan seorang yang bernama Bangsajayah telah berjaya. Emanis dikehendaki meninggalkan kawasan itu dalam tempoh enam bulan. Walau bagaimanapun, dalam tempoh tersebut, Miskin Zain dan Bangsajayah meninggal dunia. Emanis terus menetap di situ kerana tidak ada orang Melayu yang lain tampil menegakkan keputusan mahkamah. Beberapa tahun kemudian, barulah Emanis berjaya diusir meninggalkan tanah perkuburan itu hasil usaha T.S. Jamalon dan kerjasama pihak polis yang mendapat writ pengusiran daripada pihak mahkamah.

Keturunan Melayu juga ada yang tinggal di Trincomalee. Mereka keturunan kerabat diraja Jawa dan golongan bangsawan. Walaupun telah berlaku perkahwinan campur dengan masyarakat tempatan dan menggunakan bahasa Tamil, mereka masih memiliki ciri-ciri orang Melayu. Mereka bertugas sebagai anggota tentera dan terkenal dengan disiplin, menepati waktu, memakai songkok atau destar, dan menggunakan nama-nama Melayu seperti Johar, Jayah, Azardeen, dan mereka juga memasak masakan Melayu seperti sate dan lain-lain.

Di Andakulam, berapa batu dari Trincomalee terdapat sebuah lagi masjid. Andakulam merupakan sebuah koloni di bawah “Rancangan Pembesaran Perkampungan” yang mempunyai lebih kurang 40 buah keluarga Melayu. Di sini, mereka masih mengamalkan cara hidup orang Melayu dan bahasa Melayu merupakan bahasa utama. Mereka masih mengekalkan nama Melayu seperti Kassiem, Deen dan Kareem.

Orang Melayu juga terdapat di Periya Kinniya. Mereka dikatakan telah lama menetap di situ dan mengamalkan cara hidup Melayu. Raut wajah mereka seperti orang Melayu, tetapi di sini bahasa Melayu telah diambil alih oleh bahasa Tamil atau bahasa Moor yang dipengaruhi bahasa Arab. Di sini terdapat sebatang jalan yang dinamakan Java Street.

Masjid juga didirikan di Kandy setelah askar Melayu ditugaskan di situ selepas British berjaya menewaskan Kerajaan Kandy pada tahun 1815. Masjid Tentera Melayu itu terletak di Bogambara dan dibina di atas sebidang tanah yang disebut Japilawatte, hasil usaha pegawai rejimen yang bernama Tuan Tunku Hussain.

Selain masjid, beberapa buah makam terdapat di petempatan masyarakat Melayu Sri Lanka, iaitu di Dock Yard, Kanniya Hill, Pulau Challi, China Bay, dan Allupattai. Di makam-makam Islam ini dikatakan terdapat makam wali Melayu yang mempunyai ilmu yang mendalam tentang Islam.

Dalam buku ini turut dipaparkan penulisan tentang sumbangan bangsa Melayu kepada kegiatan sukan di Sri Lanka. Walaupun bangsa Melayu merupakan kaum minoriti, namun mereka telah memberikan sumbangan yang besar terhadap galakan dan perkembangan sukan di Sri Lanka, sama ada sebagai pentadbir atau peserta. Kebanyakannya menjadi pengurus pasukan, setiausaha, setiausaha kehormat dan bendahari. Dalam Pasukan Bola Sepak Sri Lanka, terdapat sekurang-kurangnya tiga orang pemain Melayu. Yang paling menonjol ialah M. Hashim Deen yang dikenali sebagai “putera penjaga gol Asia”. Dalam pasukan hoki pula, beberapa pemain Melayu menjulang nama pasukan Sri Lanka. Mereka ialah H.G. Hamit, Tony Adahan dan Iqbal Jumar.

Pada akhir bab, disertakan resipi juadah Melayu Sri Lanka. Kebanyakan masakan yang dihasilkan sedikit sebanyak menggunakan bahan atau cara yang digunakan oleh masyarakat Melayu di Malaysia. Cuma, kelainannya ialah dalam ramuan yang diadun mengikut bahan yang terdapat di sesuatu daerah, lalu diubahsuai mengikut cita rasa tempatan. Antara yang terkenal ialah bole, kuih Cina, kalu dodol, siru kaya, sate, chooka, dan beriani ayam.

Sangat menarik membaca buku ini yang sarat dengan bahan sejarah dan maklumat tentang masyarakat Melayu Sri Lanka. Usaha yang diambil oleh penyelenggara buku ini – Ismail Hussein (Allahyarham Tan Sri) dan Awang Sariyan (Dato’ Dr.) – sangat bermanfaat demi pengetahuan masyarakat yang sepatutnya mengetahui secara mendalam sejarah asal masyarakat Melayu di bumi Sri Lanka. Mereka juga merupakan orang Melayu yang menghuni salah sebuah penempatan Melayu di dunia, yang tidak seharusnya dilupakan akan kewujudan mereka, dan demi mendaulatkan bahasa Melayu agar menjadi bahasa utama yang disegani dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013808
    Visit Today : 1071
    This Month : 33153
    Total Visit : 1013808
    Hits Today : 3814
    Total Hits : 4135919
    Who's Online : 7
  • Kategori