Oleh PROF. MADYA DR. DORIS PADMINI A/P S. SELVARATNAM

 

ORANG Asli Temuan merupakan suku keempat terbesar dalam hierarki kaum Orang Asli daripada kumpulan Melayu Proto atau lebih mudah dikenali sebagai Melayu Asli. Selangor, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, dan daerah Muar, Johor, merupakan petempatan utama bagi keseluruhan masyarakat Orang Asli Temuan. Mereka menetap di pinggiran hutan yang berdekatan dengan perkampungan Melayu.

Walaupun kebanyakan Orang Asli Temuan sudah menyertai aktiviti ekonomi moden, khususnya dalam sektor pembinaan, pertukangan dan perniagaan, kekurangan kemahiran profesional dan pendidikan formal menyebabkan mereka cenderung terpinggir dan mempunyai pendapatan yang rendah berbanding dengan komuniti lain di Malaysia. Apabila menyedari adanya kepakaran dan kelebihan pada tradisi mereka sendiri, komuniti Orang Asli Temuan di Kampung Kachau Luar, Sungai Lalang, Semenyih, telah mencari alternatif untuk mengkomersialkan tradisi ini. Apakah kelebihan alat muzik Orang Asli Temuan?

Thuk alat muzik yang dibariskan sederet pada peha dan betis dan dipalu dengan dua batang kayu.

“Thuk” alat muzik yang dibariskan sederet pada peha dan betis dan dipalu dengan dua batang kayu.

Kebudayaan muzik dan tarian Orang Asli Temuan unik kerana peralatan muzik tradisional mereka sederhana. Peralatan muzik mereka dikenali sebagai thuk, cheng, dan kreng. Nama begini diberikan berdasarkan bunyi yang dilaungkan oleh alat muzik tersebut. Alat muzik thuk diperbuat daripada kayu lembut. Biasanya, peralatan muzik tradisional Orang Asli Temuan dibuat sehari sebelum mereka menggunakannya. Hal ini dilakukan kerana peralatan ini agak lembut dan sensitif kepada cuaca panas.  Lama-kelamaan alat muzik ini akan mula merekah dan hilang rentaknya.

Cheng dan kreng diperbuat daripada buluh dan berupaya tahan lebih lama. Cheng pula terdiri daripada batang buluh yang diisi dengan bijian. Peralatan muzik ini berbunyi apabila digoncang dari atas ke bawah. Walaupun mereka juga berupaya bermain gitar dan seruling buluh, kedua-dua alat muzik tersebut tidak digunakan dalam amalan permainan muzik tradisional mereka. Kreng pula terdiri daripada batang buluh panjang dengan empat hingga lima lorekan di bahagian bawah. Sebatang kayu lain dilerekkan pada bahagian bawahnya.

Cheng terdiri daripada batang buluh yang diisi dengan bijian dan digoyang secara mendatar.

Cheng terdiri daripada batang buluh yang diisi dengan bijian dan digoyang secara mendatar.

Kemahiran bermain muzik tradisional diturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain bersama-sama tarian dan nyanyiannya. Tarian yang paling popular ialah sewang yang bermula daripada tradisi berubat kepada amalan menyambut tetamu dan juga tarian persembahan pentas.

Orang Asli Temuan Kg Kachau Luar, Semenyih sedang mengajar generasi mud acara memainkan alat muzik tradisional.

Orang Asli Temuan Kg Kachau Luar, Semenyih sedang mengajar generasi muda cara memainkan alat muzik tradisional.

Komuniti Orang Asli Temuan di kampung mula mengaktifkan amalan muzik dan tarian tradisional apabila melihat peluang untuk mengkomersialkan seni tradisional mereka dan orang luar meminatinya. Mereka akan mendendangkan muzik tradisional, bernyanyi, dan menarikan tarian tradisional apabila ada permintaan pementasan. Mereka juga sanggup memberikan latihan sekiranya ada permintaan. Aktiviti seni budaya Orang Asli Temuan bukan sahaja membangkitkan semula tradisi komuniti tersebut, tetapi kini mampu menjanakan pendapatan.

Penyelidik bersama-sama pelajar Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, melihat aktiviti ini sebagai satu daripada aktiviti komuniti untuk meningkatkan pendapatan mereka sambil mengaktifkan semula budaya tradisional.

Orang Asli Temuan Kg Kachau Luar, Semenyih mengajar cara memainkan alat muzik tradisional.

Orang Asli Temuan Kg Kachau Luar, Semenyih mengajar cara memainkan alat muzik tradisional.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014504
    Visit Today : 533
    This Month : 33849
    Total Visit : 1014504
    Hits Today : 2127
    Total Hits : 4138929
    Who's Online : 13
  • Kategori