Oleh NORAINI ABD. HAMID

 

KEARIFAN tempatan  merujuk kepada disiplin ilmu dan kepakaran yang berasal daripada budaya asli tempatan, berkembang sejak zaman silam, dan telah dipraktikkan sebagai sebahagian daripada cara hidup masyarakat. Kearifan tempatan telah menjadi warisan turun-temurun. Kearifan ini boleh berasal daripada budaya masyarakat Malaysia secara khusus, ataupun dari kepulauan Melayu secara amnya. Kajian terhadap kearifan tempatan ini bertujuan memudahkan proses transformasi sosial melalui perubahan paradigma yang ditangani oleh epistemologi tempatan.

Gerbang Borneo (e-Borneo) pula merupakan portal yang menghimpun estetika khazanah bangsa yang merangkumi pelbagai bidang, khusus tentang Borneo sebagai sumber rujukan masyarakat umum. Gerbang ini akan memuatkan bahan berkaitan kearifan tempatan daripada aspek bahasa, sastera, adat dan sosiobudaya, sejarah, alam sekitar, perubatan dan lain-lain dalam bentuk buku, majalah, makalah, akhbar, kertas kerja dan laporan hasil penyelidikan, imej dan audio visual.

para sidang editor Portal e-Borneo 1

Antara sidang editor yang terlibat dengan Portal e-Borneo 1.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Bahagian Sistem Maklumat, Dewan Bahasa dan  Pustaka (DBP) Kuala Lumpur telah mengadakan Bengkel Kerja Sidang Editor Portal GerbangBorneo: Pemantapan Kefahaman tentang Konsep Kearifan Tempatanpada 27 Februari 2015 di Grand Ballroom, 1Borneo, Kota Kinabalu. Bengkel yang turut dihadiri oleh sidang editor DBP Cawangan Sarawak ini bertujuan memastikan data yang dimuat naik ke dalam portal e-Borneomenepati ciri-ciri kearifan tempatan.

Bengkel sehari itu dihadiri seramai 13 orang sidang editor dari DBP Cawangan Sabah dan Sarawak serta 17 orang karyawan DBP Cawangan Sabah, dibimbing oleh Profesor Dr. Siti Zainon Ismail, pensyarah di Universiti Malaysia Sabah dan budayawan yang terkenal di Malaysia. Bengkel kerja tersebut terbahagi kepada tiga bahagian, merangkumi kategori bahasa, budaya dan sastera, bermula seawal pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 10.30 malam.

         Semasa berbengkel, para peserta didedahkan dengan kaedah untuk mengenal pasti ciri-ciri kearifan tempatan dan bagaimana mengesahkan kewujudan seni budaya warisan masyarakat. Masyarakat Bajau Sama di Kota Belud dijadikan subjek kajian bertujuan membuktikan hasil seni budaya yang sudah lama berkembang sebagai produk seni budaya yang terhasil oleh nilai kearifan tempatan. Walaupun segala produk dan perilaku kerap dikelompokkan sebagai perilaku budaya “tradisikecil” dengan peralatan budaya yang diguna pakai oleh petani dan nelayan, namun dalam beberapa adat istiadat, tradisi kecil ini telah berkembang dan harmonis dengan kepercayaan adab dan tatasusila yang telah menjelmakannya menjadi nilai “tradisi agung”. Ini terjadi terutamanya dalam adat istiadat perkahwinan, perayaan Tamu Besar dengan peralatan logam tembaga, emas, lengkap dengan sistem dan struktur lambang warna, kehalusan seni ukir tembaga, kayu dan perhiasan.

           Pada keesokan harinya, menjelang tengah hari, rombongan sidang editor selamat sampai ke Kampung Kuala Abai, Kota Belud bagi menjalankan kerja lapangan sambil berkenal-kenalan dengan penduduk setempat. Rombongan disambut oleh saudara Nandra Itong, selaku tuan rumah dan pemilik premis kerja lapangan. Saudara Nandra seorang budayawan, penyair, pelukis dan penggiat seni Sabah yang prolifik. Di beberapa sudut telah disediakan khemah untuk bermain gendang atau betitik, menganyam tudung duang, serta menyulap keris dan parang. Penyediaan kuih tradisi Penjaram juga dipamerkan.

menggoreng kuih panjaram.

Penduduk kampong menunjukkan cara membuat kuih panjaram.

Kuih panjaram merupakan kuih tradisi masyarakat Bajau Sama. Diperbuatdaripada tepung beras, tepung  gandum, santan, gula pasir atau gula merah dan air perahan daun pandan. Digoreng dalam kuali khas bersaiz kecil dengan minyak yang secukupnya. Cara membancuh tepung dan menggoreng kuih panjaram juga ditunjukkan. Masyarakat Bajau percaya bahawa ketika menggoreng, dipercayai tidak boleh bercakap-cakap atau ketawa supaya  kuih ini ‘menjadi’ dan cantik bentuknya

Sepanjang berada di lokasi, para peserta rombongan berkesempatan menyaksikan acara betitik yang memainkan sebanyak sebelas rentak iaitu bia-bia, andu bia, langgar-langgar, langgar mabai, timpang, gelombang, pingkah, rendayung, tigad-tigad, kedebak, sawa-sawa dan melupus. Tigad-tigad merupakan raja nada manakala melupus adalah penutup titikan.

persembahan betitik.

Persembahan betitik oleh penduduk kampung.

Betitik dalam bahasa Bajau ialah memukul atau mengetuk gendang. Persembahannya tidak akan lengkap tanpa disusuli dengan lagu dan tarian yangberbeza mengikut kawasan dan etnik.Acara betitik masih popular terutama ketika majlis keramaian dan perkahwinankhususnya di kawasan yang didiami oleh majoriti penduduk dari kedua-dua etnik itu.

Difahamkan, kejayaan sebenar bagi acara betitik bergantung kepada alat muzik yangdigunakan iaitu kulintangan, tawak, bandil dan gendang. Sebanyak enam pemaindiperlukan untuk memainkan alat-alat betitik. Dua pemain untuk mengetuk tawak dan gendang serta masing-masing seorang untuk bandil dan kulintangan.

tudung duang.

Tudung duang.

Hampir tiga puluh minit berada di khemah betitik, kami beralih ke sulap anyam. Hasil anyaman dan demonstrasi bagaimana proses anyaman tudung duang dan tikar pandan berserta ciri-ciri warna yang mewakili etnik budaya mereka sejak turun-temurun, pelbagai corak dan warna yang menarik bagi menambah keunikan hasil anyaman tersebut.

makanan tradisi bajau sama

Para peserta dihidang makanan tradisi Bajau Sama.

Sebelum meninggalkan Kampung Kuala Abai, Kota Belud, kami dijamu makan tengah hari dengan masakan kampung khas bagi masyarakat Bajau Sama. Umbut, ikan bakar dan ulam-ulaman kampung sangat membuka selera kami.

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042792
    Visit Today : 656
    This Month : 25391
    Total Visit : 1042792
    Hits Today : 1811
    Total Hits : 4281406
    Who's Online : 6
  • Kategori