foto-munsyi-e1411438372115

Oleh MUHAMMED SALEHUDIN AMAN 

Perkataan jika, kalau, jikalau ialah kata hubung keterangan. Kita boleh sahaja menggunakan mana-mana satu kata hubung berkenaan dalam ayat kerana ketiga-tiga kata hubung itu sinonim.  Jika, kalau, jikalau menunjukkan syarat.  Maksud syarat itu dinyatakan dalam ayat-ayat contoh seperti yang berikut ini:

       1)  Jika beliau tidak tiba juga dalam masa lima minit bolehlah kamu berangkat.

       2)  Akan menjadi kebiasaan kalau kita mengamalkan perbuatan itu selalu.

       3)  Pekerja-pekerja itu akan mogok jikalau perundingan gagal.

Ketiga-tiga ayat di atas memaparkan  maklumat tertentu dengan syarat tertentu.

Syarat itu yang menunjukkan sikap pemikiran pengucapnya. Dalam ayat kenyataan yang pertama, pengucap memberikan kebenaran kepada “kamu” untuk berangkat apabila “beliau” (orang yang ditunggu) tidak tiba. Hal ini ditentukan oleh kata hubung jika.

Dalam ayat (2), “perbuatan itu” akan menjadi satu kelaziman atau kebiasaan setelah selalu diamalkan. Keyakinan  yang menjadi syarat itu ditentukan oleh kata hubung kalau. Demikian juga halnya dengan ayat (3), iaitu syarat berlakunya mogok oleh pekerja-pekerja ditentukan oleh keputusan perundingan. Jika  gagal, mogok tidak dapat dielakkan. Kita mengetahui syarat ini oleh kata hubung jikalau.

Telah dinyatakan bahawa ketiga-tiga kata hubung keterangan ini sama maknanya. Oleh yang demikian, ketiga-tiganya dapat bertukar ganti tanpa menghilangkan makna. Teliti maksud ketiga-tiga ayat di bawah ini yang telah diubah ganti kata hubungnya:

        1)   Kalau beliau tidak tiba juga dalam masa lima minit, bolehlah kamu berangkat.

        2)   Akan menjadi kebiasaan jikalau kita mengamalkan perbuatan itu selalu.

        3)  Pekerja-pekerja itu akan mogok jika perundingan gagal.

Jika kita meneliti maksud yang terkandung dalam kata hubung jika, kalau dan jikalau,  jelas terungkap rasa ketidakpastian.  Rasa ketidakpastian ini terangkum dalam ayat berikut.

        4)  Jika dia menang, kita akan menyambut kepulangannya secara besar-besaran.

        5)  Kalau lamaranmu diterima oleh keluarga Dato’ Syed Zain, ayah akan berpuasa sehari.

Ayat (4) menggambarkan pengucap berasa tidak pasti apakah “dia” menang atau kalah.  Sekiranya “dia” menang, sambutan besar-besaran  akan diberikan; jika tidak, tidaklah akan diadakan sambutan secara besar-besaran; secara kecil-kecilan pun belum pasti lagi. Jelaslah bahawa pengucap kenyataan ini berasa kurang yakin terhadap kebolehan “dia”. Sebaliknya, katalah pengucap tersebut amat optimis tentang dia itu akan menang, maka kata hubung apabila (bukan bila) lebih tepat menggantikan kata hubung jika. Persediaan menyambut kepulangannya secara besar-besaran perlu dibuat kendatipun pertandingan belum berlangsung.

        4.(a)Apabila dia menang, kita akan menyambut kepulangannya secara besar-besaran.

Unsur ketidakpastian pengucap tergambar juga dalam ayat (5). Si ayah begitu ragu-ragu atau tidak pasti sama ada lamaran anaknya dapat diterima oleh keluarga Dato’ Syed Zain. Keputusannya untuk berpuasa sehari bergantung pada penerimaan lamaran oleh Dato’ Syed Zain.

Apabila kita ditanya tentang sesuatu pekerjaan yang hendak kita lakukan, kita sering bercakap dengan beralasan sebagai syarat. Untuk hal yang demikian itu, kita sering mengatakan “dengan izin Allah” (insya-Allah). Contoh:

         6)  “Dengan izin Allah, saya selamat sampai untuk berhimpun di sini.”

Atau

        7)  “Jika diizinkan Allah, saya akan selamat sampai untuk berhimpun di sini.”

Atau

        8)  “Jika diizinkan Allah, dapatlah saya sampai dan berhimpun di sini dengan selamatnya.”

Dalam ayat (6) di atas, kenyataan pengucap bersifat optimis sifatnya.  Tetapi apabila rangkai kata “Dengan izin Allah” digantikan dengan “Jika diizinkan Allah”, maka kenyataan itu menjadi pesimis pula sifatnya. Namun, yang membezakan kenyataan pertama (ayat 6) dengan kenyataan ketiga (ayat 8) bukanlah lagi sikap optimis atau tidak optimis pengucapnya, tetapi aspek bila atau masa pengucapan itu dibuat.

Kenyataan yang pertama  dibuat pada masa semua orang  telah sampai dengan selamat ke tempat itu bagi menghadiri satu perhimpunan.  Kenyataan yang kedua dibuat pada masa perhimpunan itu belum lagi tiba tarikhnya.

Kenyataan yang pertama mengatakan bahawa kerana keizinan Allah, maka saya telah selamat sampai untuk menghadiri perhimpunan itu. Kenyataan yang kedua mengatakan bahawa, pertama, tarikh perhimpunan itu belum tiba lagi dan kedua, apabila tiba hari perhimpunan itu, Allah sahaja dapat menentukan sama ada saya akan dapat hadir dengan selamatnya.

Dalam berbahasa, sering kita temukan kata hubung jika, kalau, jikalau diikuti oleh perkataan sekiranya, lalu membentuk frasa jika sekiranya, kalau sekiranya dan jikalau sekiranya. Tahukah anda apakah maksud perkataan sekiranya? Perkataan sekiranya bermaksud kalau (jikalau). Jelaslah bahawa perkataan sekiranya  bersinonim dengan perkataan jika, kalaudan jikalau. Oleh sebab semua perkataan tersebut seerti, maka masing-masing perkataan itu dapat saling berganti. Oleh yang demikian, jelaslah bentuk frasa jika sekiranya, jikalau sekiranya, atau kalau sekiranya merupakan bentuk yang salah serta lewah; maka memadailah kita menggunakan jika atau sekiranya, tetapi bukan jika sekiranya. Contoh:

         9)  *Jika sekiranya hari hujan, saya akan berpayung.

Seharusnya:

       10) (a) Jika hari hujan, saya akan berpayung

Atau:

        11)  (b) Sekiranya hari hujan, saya akan berpayung.

Demikian bicara tentang kata hubung keterangan jika serta penggunaannya dalam ayat.

 

 

Sila Beri Pandangan


  • Arkib

  • Statistik

    000000
    Melawat hari ini:
    Jumlah Pelawat:
    Hits hari ini:
    Jumlah Hits :
    Siapa atas talian:
  • Kategori

Botanical Slimming Cell Phone Jammer For Sale, Botanical Slimming Soft Gel , Meizi Evolution, Cell Phone Jammers,Cell Phone Blockers, As a result Botanical Slimming works by restraining the activity of lipase in the stomach and intestinal canal.