Oleh DR. AWANG SARIYAN

 

SEPANJANG 59 tahun ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melalui hari-hari yang manis, menyenangkan serta pahit getir perjuangan memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi bangsa dan negara Malaysia yang bertuah ini.

Sepanjang 59 tahun itu juga, DBP telah melakarkan banyak kejayaan yang wajar kita banggakan. Ceritera kejayaan DBP ini, khususnya dalam memantapkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan dari peringkat rendah sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi di negara ini bukanlah perjuangan yang mudah. Begitu juga dengan perjuangan murni kita dalam memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini, seharusnya menjadi kebanggaan kita semua, kerana kita berjaya mempertahankan status bahasa Melayu itu.

Memanglah masih banyak yang perlu kita lakukan untuk menjamin kedudukan bahasa Melayu itu, baik sebagai bahasa kebangsaan mahupun sebagai bahasa rasmi negara, namun tidak salah untuk kita berbangga dan bergembira dengan pelbagai kejayaan yang telah kita kecapi.

Sepanjang 59 tahun ini, kita juga telah berjaya menjadi penerbit terbesar buku dan majalah dalam bahasa Melayu di negara ini, sekali gus telah membantu kita memperluas fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan rasmi negara.

Semua kejayaan yang dicapai itu adalah berkat kesungguhan, kegigihan dan kerjasama seluruh warga Dewan Bahasa dan Pustaka serta sokongan padu Ahli-ahli Lembaga Pengelola DBP. Kejayaan itu tentunya hasil daripada komitmen dan keprihatinan Kementerian Pendidikan Malaysia yang senantiasa peduli akan aspirasi DBP serta rakyat jelata untuk terus memperjuangkan serta mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.

Pengurusan tertinggi DBP, dan seluruh warga DBP akan senantiasa berusaha untuk memastikan amanah serta tanggungjawab dalam memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu baik sebagai bahasa kebangsaan mahupun sebagai bahasa rasmi terus menjadi teras perjuangan suci kita bersama.

Kita tidak harus mudah patah semangat untuk meneruskan perjuangan kita itu kerana jalan di depan kita itu masih penuh berliku. Kita juga tidak harus terlalu bangga diri dengan segala kejayaan yang telah kita capai. Kita seharusnya mengukuhkan tekad dan azam kita bersama demi memastikan bahasa Melayu terus kukuh kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa penghantar pendidikan serta bahasa penyatuan bangsa Malaysia.

Kita juga harus senantiasa peka dan peduli untuk menjaga nama baik serta imej Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai institusi ilmu, sekali gus sebagai badan Kerajaan yang memperjuangkan aspirasi dan memikul amanah rakyat. Segala tindak-tanduk dan tingkah-laku kita sebagai orang berbudi bahasa, dan beradab sewajarnya kita pelihara sepanjang masa serta di mana-mana pun kita berada.

(Teks ini disampaikan di Majlis Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-59 dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan, Auditorium Menara DBP, Kuala Lumpur, 22 Jun 2015).

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044892
    Visit Today : 1313
    This Month : 27491
    Total Visit : 1044892
    Hits Today : 4909
    Total Hits : 4289882
    Who's Online : 7
  • Kategori