Oleh NURDIANA BINTI MOHD NOR

Pada 30 April 2015, Majlis Pelancaran Buku Perubatan telah diadakan di Bilik Kuala Lumpur, Aras 5, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini. Majlis disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. S Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia, menampilkan 14 buah buku perubatan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

2

Antara penulis buku yang hadir ke majlis pelancaran tersebut.

Empat belas buah buku tersebut ialah 100 Persoalan Mengenai Sakit Puan; 100 Persoalan Sakit Puan Jilid 2; Penjagaan Diri Pesakit Diabetes; Soal Jawab Diabetes; Panduan untuk Dentur Penuh; Reka Bentuk Dentur Sebahagian Boleh Tanggal Prinsip Bioperlindungan; Panduan Penyusuan bagi Ibu Berkerjaya; Kehamilan dan Kelahiran; Apa yang Perlu Anda Ketahui Tentang Perancang Keluarga; Apa yang Perlu Anda Ketahui Tentang Endometriosis; 100 Persoalan Mengenai Pemindahan Darah; 100 Persoalan Mengenai Anemia; Buku Cerita Perangsang Minda Kanak-kanak; dan Gaya Hidup Sihat Mengatasi Asma.

Antara penulis yang terlibat dalam penulisan buku-buku ini ialah Nik Hazlina Nik Hussain, Rosmawatie Mohamed, Juliana Shamsudin, Zakiah Mohd Isa, Laith Mahmoud Abdul Hadi dan beberapa orang lagi.

3

Encik Rusli Abd. Ghani menyampaikan ucapan alu-aluan.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Encik Rusli Abd. Ghani, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP, beliau mengucapkan tahniah kepada pakar perubatan (para penulis) 14 buah buku perubatan, yang telah mengolah maklumat dan ilmu yang sangat teknikal bagi menghasilkan karya yang dapat dimanfaatkan pembaca, sekali gus dapat meningkatkan tahap kesihatan masyarakat.

Sementara itu, YB Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dalam ucapan perasmiannya berkata, buku-buku yang dilancarkan tersebut, sangat relevan dengan kehidupan hari ini. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para penulis yang terdiri daripada pensyarah dan warga kerja perubatan yang telah menghasilkan buku-buku tersebut.

4

YB Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menyampaikan ucapan pelancaran buku perubatan.

“Buku-buku sebegini seharusnya diperbanyakkan penerbitannya yang bukan sahaja daripada DBP tetapi penerbit-penerbit lain, kerana masyarakat hari ini sangat menitikberatkan aspek kesihatan. Masyarakat memerlukan maklumat tentang penyakit dan cara pencegahannya,” kata Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Beliau turut mencadangkan agar penulis menulis buku-buku yang berkaitan dengan penyakit demam denggi dan ekonomi kesihatan bagi menimbulkan kesedaran dan persediaan masyarakat dalam menghadapi kos rawatan sesuatu penyakit.

7

Pelancaran 14 buah buku perubatan terbitan DBP.

Datuk Seri Dr. S. Subramaniam memuji warga kerja perubatan yang berusaha untuk menghasilkan buku-buku perubatan ini, dan berharap agar ia menjadi inspirasi kepada penulis-penulis lain menghasilkan karya-karya yang bermutu seperti ini.

Beliau mengucapkan tahniah kepada DBP kerana menerbitkan buku-buku sebegini dan menyarankan orang ramai agar membeli buku-buku tersebut, kerana banyak ilmu yang boleh diperoleh dalam buku-buku tersebut.

Melalui penerbitan buku-buku perubatan ini, ia memberi kesedaran bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dapat mengungkapkan ilmu tinggi seperti perubatan, sains dan teknologi. Dan, sewajarnya ia ditulis dalam medium bahasa yang difahami semua lapisan masyarakat iaitu bahasa Melayu.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036691
    Visit Today : 173
    This Month : 19290
    Total Visit : 1036691
    Hits Today : 656
    Total Hits : 4253012
    Who's Online : 15
  • Kategori