Buku Di penjara sepi

Judul                 :           Di Penjara Sepi

Pengarang        :           Fauziah Baharudin

Terbitan           :           Dewan Bahasa dan Pustaka (2013)

Halaman          :           414 halaman

Genre                :           Novel

Pengulas          :           Nur Nabila Binti Zukifli

 

Di Penjara Sepi (DPS) merupakan karya Fauziah Baharudin, yang mengajak pembaca menghayati pengajaran di sebalik cerita dramatik yang disajikan. Pembaca dapat menambah ilmu pengetahuan tentang adat Minang dan keadaan persekitaran sebahagian tempat di Indonesia. Novel ini juga mengajak pembaca berfikir melalui penggunaan teknik twist seperti imbas kembali.

Pembaca diperkenalkan dengan watak Azra, anak sulung Rohani dan Pak Akirman. Adat berserta konflik silam keluarga dua buah negara telah memisahkan cinta pertama Azra dengan Putra, jejaka dari seberang yang dihalau oleh majikan supaya pulang ke Indonesia. Dia tidak diberi peluang untuk mendekati Azra apatah lagi mengahwininya.

Pelbagai konflik dan pengajaran terdapat dalam DPS yang akan menyebabkan pembaca menginsafi diri. Antaranya, pengorbanan seorang kakak terhadap adiknya. Azra sanggup menerima amarah ibunya dan menjadi pengganti adiknya, Aufa yang meninggal dunia sewaktu melahirkan cahaya mata sulungnya, Tuhfah. Azra rela memenuhi tuntutan ibunya, Rohani, demi untuk membesarkan dan membahagiakan bayi yang masih kecil.

Pembaca dapat melihat bagaimana Azra menyayangi Tuhfah seperti anak kandungnya. Tuhfah dibesarkan dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang. Biarpun Tuhfah tidak diberi perhatian oleh ayahnya, Syamil yang berubah sikap kerana suatu peristiwa, Azra tetap sedaya upaya memikul tanggungjawab itu.

Melalui DPS juga, pembaca dapat menilai sikap Rohani yang sentiasa menganggap dirinya betul dan naluri keibuannya tepat. Hal ini dapat dilihat melalui dialog Rohani,

            “Ibu kata kahwin, kahwin! Jangan membantah.”    (halaman 279)

            “Naluri seorang ibu sememangnya benar belaka.”  (halaman 367)

Pembaca pasti tertanya-tanya dan mahu akan jawapan mengapa Rohani masih tidak mempercayai malah menyalahkan anaknya, Azra selepas berlaku peristiwa yang mengubah persepsi keibuannya. Semua ini akan terjawab pada akhir cerita DPS.

Novel ini turut memperlihatkan sikap seorang suami yang pada mulanya seorang penyayang telah berubah menjadi lelaki yang kejam. Pengaruh kawan memainkan peranan dalam kehidupan manusia yang menyebabkan Syamil berubah sikap. Karim, yang merupakan kawan baik Syamil, memberitahu Syamil cara mengajar isterinya secara kekerasan dan turut mencadangkan Syamil mencari perempuan lain bagi mengisi kekosongan jiwanya.

DPS turut menonjolkan watak Pak Akirman yang sabar melayan kerenah isterinya, Rohani. Pembaca dapat melihat Pak Akirman yang sangat setia dengan isterinya dan merupakan bapa mentua yang penyabar. Pak Akirman bijak menasihati Syamil agar tidak meratapi pemergian Aufa. Pak Akirman menasihati menantunya dalam dialek Indonesia yang bermaksud,

           “Kalau salah ketuk terpelanting, salah ambil kembalikan, salah makan meluahkan, salah sangka surutkan kembali, salah pada manusia minta maaf, salah pada Tuhan minta ampun.”

Nasihat yang mendalam maknanya mengajar manusia agar kembali kepada Yang Maha Esa. Jika berbuat zalim kepada manusia, haruslah meminta maaf sesama manusia dan meminta ampun kepada Allah SWT.

Novel ini menggunakan bahasa Melayu baku dan sesuai dibaca oleh golongan awal remaja. Novel ini turut memperlihatkan bahasa, budaya, nama serta gelaran orang Indonesia seperti Sutan, Elok dan Jo.

Walau bagaimanapun, pengarang menggunakan perkataan yang jarang-jarang digunakan yang mengganggu pembacaan. Antaranya, semilir, nyali, khali, kelinjat, sungkan, geluyur dan banyak lagi.

Pada akhir cerita, Syamil mendapat balasan terhadap perbuatan jahatnya. Pengarang bijak menimbulkan tanda tanya. Pembaca mungkin mengharapkan pengakhiran yang baik pada watak Azra dan Putra tetapi sebaliknya yang berlaku.

Secara keseluruhannya, karya yang memaparkan perhubungan sesebuah keluarga ini patut dibaca oleh semua, kerana banyak pengajaran yang dapat diambil daripada cerita tersebut di samping olahan ayat yang amat terkesan di hati pembaca.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035125
    Visit Today : 1341
    This Month : 17724
    Total Visit : 1035125
    Hits Today : 7018
    Total Hits : 4245352
    Who's Online : 4
  • Kategori