Oleh ADNAN ABD JAMIL

Wacana Ilmu yang berjudul “Pencarian Perpaduan dalam Drama Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan” telah diadakan di Sanggar Za’ba, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 27 Mac 2015 yang lalu.

Wacana Ilmu ini telah disampaikan oleh YBhg. Datin Seri Fatimah Ali, mantan Pensyarah Teknologi Pendidikan di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau juga mantan Pensyarah Tamadun Islam & Tamadun Asia di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM.

Wacana Ilmu

YBhg. Datin Seri Fatimah Ali menyampaikan wacana ilmu.

Datin Seri Fatimah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Universiti Malaya); Ijazah Sarjana Pendidikan (University of the Philippines); Sijil Khas Pengurusan Teknologi Pendidikan (International Training Institute, Sydney) dan Sarjana Sastera (Temple University, Philadelphia, USA). Kini, beliau Pengarah Eksekutif, Q PlusEducare Center, Pulau Pinang. Beliau banyak menulis tentang kesenian dari perspektif Islam dan tentang karya drama dan teater Sasterawan Negara, Noordin Hassan.

Wacana tersebut turut dihadiri oleh Sasterawan Negara, Datuk Anwar Ridhwan serta para karyawan sastera. Datin Seri Fatimah berkata, karya yang dibincangkan – Bukan Lalang Ditiup Angin; Anak Tanjung dan Mana Setangginya? – memperlihatkan Noordin Hassan bergelut dengan isu kepelbagaian etnik dan perpaduan nasional dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai liku-liku sejarah politik dan kompleksiti kependudukan yang tersendiri.

Wacana Ilmu III

Wacana tersebut turut dihadiri oleh Sasterawan Negara, Datuk Anwar Ridhwan serta para karyawan sastera.

Secara struktural, drama dan teater Noordin tidak menurut bentuk konvensional. Karya Noordin lebih bersifat modular, episodik, multifokal, multimedia, dan sedikit abstrak ala arabesque.

Menurut beliau lagi, sebagai seniman Muslim inovatif, Noordin mempelopori – apa yang diistilahkan sebagai teater fitrah – teater yang cuba mengembalikan manusia kepada fitrahnya yang asal, iaitu sebagai hamba dan khalifah Allah.

Bukan Lalang Ditiup Angin merupakan karya pertama Noordin yang amat inovatif dan memecah tradisi atau kebiasaan drama dan teater Melayu. Karya ini bersifat modular dan eklektik dengan tema yang serius dan provokatif. Di dalamnya tertonjol isu sosioekonomi sekumpulan petani yang tertindas di kampung sendiri; dan isu pemimpin kampung yang tidak cekap menangani masalah penduduk.

Di sini, Noordin mengemukakan dua isu yang saling berkait iaitu jurang perbezaan antara yang kaya dengan yang miskin serta sikap “tidak apa” golongan miskin terhadap masalah kehidupan mereka.

Drama Anak Tanjung merupakan karya yang indah dan penting. Karya ini merupakan batu tanda dalam perkembangan persepsi Noordin terhadap perhubungan inter-etnik di Malaysia dan konsepsinya terhadap perpaduan kaum.

Anak Tanjung menonjolkan keharmonian kaum dan ikatan yang kukuh antara kaum Melayu dengan kaum Cina. Melalui teknik “lakonan dalam lakonan”, Noordin menampilkan sebuah keluarga Cina yang hidup damai dalam kampung nelayan Melayu semasa zaman penjajahan Inggeris dan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Setelah menghasilkan karya yang inovatif dan indah, muncul pula karya Noordin yang kontroversial – Mana Setangginya? Karya ini bertemakan kezaliman, korupsi, pemerkosaan dan kemusnahan, berlatarkan keagamaan.

Wacana ilmu v

Para pelajar universiti turut menghadiri wacana ilmu tersebut.

Melalui tiga buah karya yang dibincangkan, jelaslah bahawa Noordin menonjolkan tema pencarian atau pembinaan perpaduan nasional. Perpaduan nasional dan identiti kebangsaan bukanlah usaha atau idea yang mudah, mamun dapat disuburkan. Sentimen etnik, budaya dan agama perlu dibendung dan pada masa yang sama, usaha memahami agama dan budaya rakan senegara mestilah dipertingkatkan.

“Kepelbagaian etnik dan agama dapat membawa masalah kepada kestabilan dan perkembangan negara, namun bagi Noordin, sekiranya isu tersebut diuruskan dengan baik dan jujur, ia dapat menjadi aset yang amat berharga kepada negara,” kata Datin Seri Fatimah, mengakhiri wacananya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1033882
    Visit Today : 98
    This Month : 16481
    Total Visit : 1033882
    Hits Today : 286
    Total Hits : 4238620
    Who's Online : 8
  • Kategori