Oleh NURDIANA BINTI MOHD NOR

Seminar Kebangsaan Pemikiran Raja Ali Haji telah diadakan pada 10 Mac 2015 di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), dengan tema “Ke Arah Pencerdasan Pemikiran Umat”. Seminar ini merupakan anjuran bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Wadah Selangor (WADAH), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

ucapan II

YBhg. Tuan Haji Mohd Yusop bin Hasan, Pengerusi Seminar (WADAH Selangor) menyampaikan ucapan alu-aluan.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Tuan Haji Mohd Yusop bin Hasan, Pengerusi Seminar (WADAH Selangor).

Ucaptama telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Siddiq bin Fadzil, Presiden WADAH. Dalam ucaptama tersebut, beliau berkata, Raja Ali Haji (RAH) merupakan tokoh ilmuwan, budayawan dan pentadbir. Ketokohannya sebagai ilmuwan begitu menyerlah sehingga layak dianggap ikon tamadun keilmuan Riau abad ke-19. Keunggulannya sebagai ilmuwan terbukti daripada penguasaannya terhadap pelbagai disiplin keilmuan Islam zamannya, terutama ilmu tauhid, fiqah, tasawuf, sejarah dan bahasa Arab, di samping bahasa Melayu dan kesusasteraan.

ucapan IV

Ucaptama oleh YBhg. Dato’ Dr. Siddiq bin Fadzil, Presiden WADAH.

Antara karya RAH yang menjulang namanya sebagai pengarang besar ialah Tuhfat al-Nafis.

Tuhfat al-Nafis memang sebuah karya yang istimewa. Unsur kesepaduan ilmu tersebut dapat dikesan dalam Tuhfat al-Nafis, yang bukan sahaja menghidangkan catatan sejarah, tetapi juga pesan-pesan moral keagamaan,” kata beliau.

Menurut Dato’ Dr. Siddiq bin Fadzil lagi, RAH juga menekuni bidang ketatanegaraan. Bukunya, Thamarat al-Mahammah Diyafatan li al-Umara’ wa al Kubara’ li Ahl al Mahkamah ialah sejenis karya tentang pemikiran politik Islam.

seminar

Dato’ Dr. Abu Hassan Sham membentangkan kertas kerja beliau yang berjudul “Pemikiran Raja Ali Haji Menerusi Hasilan Puisi.”

Dalam ucaptama ini juga, YBhg. Dato’ Dr. Siddiq berkata, selain karya-karya keintelektualan, sumber penting RAH ialah surat-surat peribadinya. Koleksi surat-surat peribadi RAH kepada Hermann von de Wall telah diterbitkan di Leiden pada tahun 1995. Edisi bahasa Indonesia pula telah diterbitkan pada tahun 2007 dengan judul Dalam Berkekalan Persahabatan: Surat-surat Raja Ali Haji kepada Von de Wall.

Seminar Kebangsaan Pemikiran Raja Ali Haji menampilkan sembilan kertas kerja yang disampaikan oleh para pembentang yang terdiri daripada ahli akademik. Antara kertas kerja yang dibentangkan termasuklah, Aspek Kesufian dalam Karya Raja Ali Haji (1808-1873) oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki bin Haji Abd. Latiff dan Puan Fairuzah binti Basri; Pemikiran Raja Ali Haji Menerusi Hasilan Puisi oleh Dato’ Dr. Abu Hassan Sham dan Pemikiran Sejarah Raja Ali Haji Menerusi Tuhfat al-Nafis, Karya Ulung Kesultanan Johor-Riau-Lingga oleh Dr. Arba’iyah binti Mohd Nor.

hadirin

Antara yang hadir ke Seminar Kebangsaan Pemikiran Raja Ali Haji.

Berdasarkan pembentangan setiap kertas kerja dalam seminar tersebut, 10 resolusi telah dibuat. Antaranya ialah, meminta Kementerian Pendidikan Malaysia memperkukuhkan lagi usaha yang sedang dibuat sekarang oleh Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan pihak seperti DBP dan Jabatan Sejarah, UM, untuk mengumpul dan mengkatalogkan manuskrip tentang Islam dan Melayu, khazanah penulisan tokoh-tokoh Melayu Islam dan seumpamanya yang berselerakan di seluruh dunia. Kedua, mencadangkan agar Kerajaan negeri Selangor, melalui UNISEL menganjurkan kursus pemikiran Raja Ali Haji. Dicadangkan keutamaan diberikan kepada para nazir dan imam kanan masjid-masjid di Selangor, kemudian diikuti dengan tokoh-tokoh lain pula. Ketiga, meminta kerajaan negeri Selangor memperuntukkan sejumlah dana bagi membiayai kos penulisan dan penerbitan buku-buku tentang tokoh-tokoh Melayu dan perkembangan Islam di Alam Melayu.

Ternyata, RAH merupakan tokoh ilmuwan-budayawan Melayu abad ke-19M, zaman pertembungan budaya Barat moden dengan budaya tradisi Melayu – Islam. Pada era yang penuh cabaran, beliau telah berjuang mengangkat martabat agama, bangsa dan tamadun Melayu – Islam.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044615
    Visit Today : 1036
    This Month : 27214
    Total Visit : 1044615
    Hits Today : 3561
    Total Hits : 4288534
    Who's Online : 13
  • Kategori