Oleh  ADNAN BIN ABD JAMIL

Pada zaman dahulu, keris dianugerahkan kepada pembesar sesuai dengan jawatan masing-masing. Keris juga dijadikan pelengkap busana ketika adat istiadat perkahwinan. Pengantin lelaki menyelit keris pendek  di pinggang dan membawa keris panjang di tangan kanan. Kini, ia menjadi salah satu senjata tradisi yang melambangkan ketuanan Melayu, turut dijadikan hiasan di rumah.

Antara pembuat keris yang terkenal di Malaysia ialah Abdul Mazin Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Pak Mazin. Dia bukan lulusan universiti. Dia juga tidak pernah mendapat latihan profesional daripada mana-mana pusat pengajian tinggi. Namun, kepakarannya dalam seni pembuatan keris tidak perlu dipertikaikan.

mazin 1

Abdul Mazin Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Pak Mazin, pembuat keris yang terkenal.

 “Tamat darjah enam, saya tidak sambung pelajaran ke sekolah menengah. Sekolah jauh dan keluarga tidak mampu. Jadi, saya tumpukan membuat keris dengan bapa. Sebenarnya, saya belajar membuat keris semasa berumur 10 tahun. Saya memang minat apabila melihat datuk saya menghasilkan keris.”

Penghasilan keris bermula sejak zaman moyang Pak Mazin yang digelar Tukang Mamat, yang juga seorang tukang diraja. Kemahiran itu diperturunkan kepada datuknya (Pandak Lam), kemudian bapanya, Abdul Jamil, dan kini Pak Mazin mewarisi kemahiran tersebut.

“Saya tidak pernah menyesal kerana tidak dapat menyambung persekolahan. Ini ketentuan hidup saya. Dulu, saya bercita-cita hendak menjadi anggota tentera. Saya dan seorang kawan sudah pun membeli tiket ke Port Dickson untuk temu duga sebagai anggota tentera, tetapi bapa menasihati supaya saya menyambung tugasnya sebagai pembuat keris. Katanya, suatu hari nanti, saya akan terkenal sebagai pembuat keris.”

Benarlah seperti kata arwah bapanya. Pak Mazin kini terkenal sebagai seorang pembuat keris yang mahir. Dia dikenali di Malaysia, terutama di daerah kelahirannya, Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak. Pak Mazin dijemput mengadakan demo membuat keris di Muzium Negara, Muzium Selangor dan di beberapa buah universiti.

mazin 5

Pak Mazin tekun menyiapkan keris-keris yang ditempah di bengkelnya.

Lebih membanggakan, Pak Mazin turut menerima tempahan keris daripada kalangan raja-raja, pembesar negara dan orang kenamaan, termasuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Keris dihasilkan dengan menyatukan besi tawar, besi baja dan besi melela. Proses menyatukan besi bukan boleh dibuat sembarangan. Pembuat keris mesti mengenali sifat besi tersebut. Hal ini penting supaya besi yang dibakar, ditempa dan dibentuk tidak patah.

mazin 3

Kualiti keris yang dihasilkan bergantung pada campuran besi dan lipatannya.

Kualiti keris yang dihasilkan bergantung pada campuran besi dan lipatannya. Tujuh jenis besi dibakar, kemudian dilipat beberapa kali sehingga besi bercantum menjadi satu, lalu ditempa untuk menghasilkan keris yang berkualiti tinggi.

Setelah keris siap dibentuk, proses seterusnya adalah memupuk, iaitu meletakkan bancuhan belerang bersama-sama garam halus dan cuka pada keris. Keris yang dipupuk dibiarkan selama seminggu. Selepas itu, jalur dan alur besi akan kelihatan pada keris. Jalur yang terhasil daripada proses pemupukan tersebut menentukan jenis keris, sama ada jenis isi petai, beras tumpah atau jenis lain.

Dalam tempoh pemupukan, Pak Mazin menyiapkan pula hulu, sarung dan sampir (bahagian atas sarung) keris. Hulu, sarung dan sampir ini dibuat daripada kayu kemuning, kayu petai dan kayu jenis lain yang berkualiti.

hulu n sarung

Hulu keris mesti disesuaikan dengan jenis keris.

Hulu keris mempunyai nama tersendiri. Antaranya, termasuklah jawa demam, ayam teleng, ayam sejuk, pinggang kerengga, pekaka dan tapak kuda. Hulu keris mesti disesuaikan dengan jenis keris.

Bermula dari hujung hingga ke hulu keris, terdapat nama yang telah ditetapkan, iaitu tulang, perut, tuntung, pamor, lekuk, belalai gajah, lambai gajah, bunga kacang, gandik, kepala cicak, leher cicak, gading gajah, ekor cicak, janggut, sepit rotan, kambing kacang dan aring.

Pak Mazin menerangkan bahawa terdapat dua jenis keris di Malaysia, iaitu keris berlok dan keris pukal (lurus). Besi untuk menghasilkan keris tersebut dilipat lapisan demi lapisan untuk menebalkannya dan menjadikannya lebih kuat.

Dalam keluarga seramai 12 adik-beradik, hanya Pak Mazin yang mewarisi bakat bapa, datuk dan moyangnya. Keris yang paling mahal dihasilkan oleh Pak Mazin ditempah oleh Tun Dr. Mahathir, bernilai RM5000. “Keris itu dibuat daripada tujuh jenis besi, ada campuran perak, banyak lipatan, dan menggunakan kayu terbaik untuk sarung, sampir dan hulunya.”

Pelancong luar negara turut menempah keris daripada Pak Mazin. Mereka menjadikan keris sebagai cenderamata untuk dibawa pulang ke negara mereka.

mazin 9

Antara keris yang dihasilkan oleh Pak Mazin.

Menghimbau kenangan, Pak Mazin berkata, “Semasa darjah enam, saya buat golok dan jual di pekan. Harganya seringgit sahaja. Paling tinggi, RM3.50. Sekarang, golok kecil yang biasa pun dapat dijual dengan harga RM100 – RM200. Keris jenis lawi ayam dapat dijual dengan harga RM200. Alhamdulillah, pendapatan bulanan, kalau dihitung, dipukul rata, sama juga dengan pendapatan pegawai kerajaan.”

Pak Mazin yang dilahirkan pada 20 Mei 1950, berasa puas dapat membantu pelajar dari sekolah rendah hingga universiti, serta pelancong luar negara dalam menjalankan kajian, menyiapkan projek sejarah dan mendapatkan maklumat tentang senjata tradisional Melayu.

Setiap bangsa mempunyai senjata warisan sendiri. Keris satu-satunya senjata warisan bangsa Melayu. Kesenian ini perlu dijaga supaya tidak lenyap begitu sahaja. Kini, kemahiran Pak Mazin diperturunkan kepada dua orang anak lelakinya yang bakal menjadi pewaris pandai besi di Malaysia.

 

  1. Just desire to say your article is as astounding. The clearness in your post is just cool and
    i could assume you’re an expert on this subject. Fine with
    your permission allow me to grab your feed to keep
    updated with forthcoming post. Thanks a million and please
    continue the enjoyable work. best pharmacy no prescription

  2. There is certainly a great deal to find out about this issue.
    I like all of the points you made. legal online pharmacy united states

Sila Beri Pandangan


  • Arkib

  • Statistik

    055730
    Melawat hari ini: 25
    Jumlah Pelawat: 55730
    Hits hari ini: 46
    Jumlah Hits : 104055
    Siapa atas talian: 4
  • Kategori