Oleh Adnan bin Abd Jamil

Capal pada awalnya dipakai oleh golongan bangsawan. Pahlawan Melayu zaman dahulu kelihatan segak dan kemas dalam pakaian tradisional, dilengkapi sepasang capal. Capal kini mengalami proses inovasi daripada pembuat di Malaysia sehingga akhirnya menjadi pelengkap bagi pakaian tradisional Melayu.

3

Saad Haji Saep menunjukkan hasil ciptaan capalnya.

Sama ada lelaki atau wanita, capal sesuai dipakai bersama-sama pakaian tradisi. Pemakaian capal tidak terhad untuk golongan dewasa sahaja, malahan kanak-kanak turut memakainya.

Saad Haji Saep, antara pembuat capal yang masih giat menjalankan perniagaan membuat capal. Tidak sekadar capal biasa, Saad mencipta inovasi sehingga capalnya banyak mendapat tempahan daripada pelanggan.

Saad mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Budriah, Chemumar. Kemudian dia melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Alawiyah, Arau sehingga tingkatan enam. Selepas itu, Saad bekerja di sebuah kilang pembuatan komponen plastik selama 10 tahun.

Kegawatan ekonomi pada tahun 2001 menyebabkan Saad kehilangan pekerjaan. Kilang tempat dia bekerja terpaksa ditutup. Namun, rezeki Allah yang menentukan. Saad mendapat peluang membuat dan memasarkan capal buatan sendiri.

Pada awal pembabitannya, Saad menghasilkan capal dan menjualnya di pasar malam.

Antara capal ciptaan Saad.

Antara capal ciptaan Saad.

“Saya membeli peralatan untuk membuat capal. Kemudian, saya mereka bentuk tapak capal pelbagai saiz. Untuk menampakkan kelainan dan menarik perhatian pelanggan, saya membuat sedikit kajian dari segi bentuk, corak dan ketinggian capal.”

Saad dapat menghasilkan sebanyak lima hingga 10 pasang capal sehari. Capal tersebut biasanya habis dijual. Untung yang diperoleh memang berbaloi kerana semua capal dihasilkan sendiri tanpa mengupah pekerja. Saad mengaku bahawa proses tersebut sangat memenatkan. Waktu siang digunakan untuk membuat capal, manakala waktu malam pula dia menjual capal di pasar malam. Proses tersebut berlanjutan sehingga dua tahun.

Jualan capal yang semakin laris membuatkan Saad berfikir untuk menambahkan hasil pengeluaran capal. Saad membeli sebuah mesin jahit untuk mempercepatkan proses menjahit capal.

“Mesin jahit dan acuan untuk menebuk lubang hanya digunakan selepas proses memotong dan membentuk tapak kasut secara manual. Saya terpaksa melukis untuk membentuk tapak capal satu demi satu.”

4

Penggunaan mesin mempercepatkan proses pembuatan capal dan pengeluaran semakin bertambah.

Kemahiran dan pengalaman semasa bekerja dahulu digunakan oleh Saad untuk mereka cipta sebuah mesin pemotong tapak capal. Mesin ini dapat memotong beberapa tapak sekali gus, di samping mempunyai alat yang dapat menebuk lubang untuk pemasangan tali capal. Proses pembuatan capal semakin cepat dan pengeluaran pun bertambah. Sekarang, pengeluaran capal yang dinamakan “Warisan” dapat ditingkatkan kepada 20 pasang sehari.

Saad dibantu oleh empat orang pekerja di bengkel capal yang terletak di Kampung Chemumar Tengah, Simpang Empat, Perlis. Kini, setiap pekerjanya mahir menghasilkan capal dari awal hingga capal siap.

Menurut Saad, pekerjanya beruntung kerana proses pembuatan dibantu dengan penggunaan mesin. Sememangnya tidak ada tempat atau institusi untuk mempelajari cara membuat capal. Saad sedang bekerjasama dengan jabatan pembangunan kemahiran bagi merangka satu program latihan pembuatan capal.

“Saya mahu kembangkan seni pembuatan capal ini. Walaupun orang lain kurang berminat, tetapi bagi saya warisan ini tidak sepatutnya ditinggalkan begitu sahaja. Pengusaha capal di Pulau Pinang dan Johor Bahru membuat capal bersaiz dewasa secara sampingan, sedangkan saya menghasilkan pelbagai saiz. Bagi capal bersaiz kecil, mereka menempah daripada saya.”

7

Kini, capal jenama Warisan keluaran syarikat Sentuhan Budi Trading semakin dikenali.

Saad turut memasarkan capal keluaran syarikatnya melalui atas talian. Dia menyediakan laman web khas yang memudahkan pembeli dari mana-mana sahaja memesan capal melalui Internet. Pada laman web itu juga terdapat senarai wakil jualan capal Warisan di seluruh Malaysia. Pembeli hanya perlu mengklik pada kod capal yang dikehendaki, semua maklumat akan dipaparkan, termasuk harga capal.

Kini, capal jenama Warisan keluaran syarikat Sentuhan Budi Trading semakin dikenali. Selain masyarakat awam, capal Warisan turut dibeli oleh orang kenamaan dan pembesar negeri, termasuk Raja Muda Perlis.

Saad turut menerima tempahan capal khas daripada beberapa buah institusi dan jabatan kerajaan untuk dijadikan hadiah kepada tetamu kehormat. Capal Warisan dijual dengan harga serendah RM20.00 sehingga yang paling mahal berharga RM250.00.

5

Ciptaan terbaharu yang Saad hasilkan ialah capal songket. Setakat ini, belum ada capal songket dalam pasaran. Walaupun belum dipasarkan, capal yang sedang dalam proses pembuatan itu telah pun mendapat tempahan daripada pengedar di seluruh Malaysia.

“Capal telah menjadi produk warisan masyarakat Melayu. Saya memodenkan bentuk dan rupanya supaya kelihatan lebih menarik dan menimbulkan keinginan orang ramai untuk memilikinya,” kata Saad mengakhiri perbualan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013482
    Visit Today : 745
    This Month : 32827
    Total Visit : 1013482
    Hits Today : 2477
    Total Hits : 4134582
    Who's Online : 14
  • Kategori