Oleh Adnan bin Abd Jamil

 

Songkok bukan lagi asing bagi masyarakat di Malaysia. Baju Melayu tidak lengkap tanpa memakai songkok. Pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, songkok dipakai oleh kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa. Songkok juga dipakai ketika menunaikan solat.

0

Songkok sebagai pelengkap pemakaian baju Melayu

Pada majlis-majlis tertentu seperti upacara pertabalan raja atau Yang di-Pertuan Agong, dan majlis angkat sumpah, tetamu lelaki Melayu diwajibkan memakai songkok. Demikianlah kepentingan dan kegunaan songkok yang menjadi budaya dalam masyarakat Melayu.

Bagi pembuat songkok, Sardi Dahar, tidak pernah terduga olehnya, songkok yang dihasilkan dengan tangan sendiri dipakai oleh pemimpin nombor satu negara. Namun, itulah tuah dan rezeki Sardi yang mewarisi perniagaan songkok daripada bapanya.

7

Sardi Dahar pembuat songkok di Alor Setar.

Sardi berkata, dalam keluarganya yang seramai 10 orang, tidak ada yang berminat untuk menjalankan perniagaan seperti bapanya. Oleh sebab itu, Sardi bertekad untuk membantu dan mewarisi perniagaan bapanya.

Setelah tamat belajar di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar pada tahun 1975, Sardi tidak menoleh ke belakang lagi. Dia belajar membuat songkok daripada bapanya yang menjalankan perniagaan di Pekan Rabu.

“Tun Dr. Mahathir merupakan salah seorang pelanggan songkok bapa saya. Setiap kali Tun datang ke Pekan Rabu, beliau akan singgah di kedai kami,” cerita Sardi.

Walaupun bapanya tidak lagi menguruskan perniagaan di situ, Tun Dr. Mahathir tetap singgah ke kedai mereka untuk membeli songkok. Bercerita tentang songkok yang digunakan oleh Tun Dr. Mahathir, Sardi berkata bahawa ada kisah di sebaliknya. Seorang pelanggan dari Kuala Lumpur datang dan bertanyakan songkok yang dipakai oleh Tun. Apabila Sardi menunjukkan songkok itu, pelanggan itu berkata bahawa songkok itu nampak biasa sahaja, tidak ada apa-apa yang istimewa.

9

Sardi Dahar mahu mencari idea baru dalam penghasilan songkok.

Kata-kata pelanggan itu meninggalkan kesan di hati Sardi. Dia tidak marah, malah menganggap komen pelanggan itu sebagai satu cabaran. Sardi mula membuat penyelidikan tentang songkok yang akan dihasilkan. Dia mahu menghasilkan songkok yang menampakkan kelainan daripada songkok biasa.

Sardi mendapat idea untuk menghasilkan songkok yang lebih istimewa. Apabila Tun datang ke kedainya, Sardi menunjukkan songkok baru yang dihasilkan. Sardi meminta kebenaran untuk meletakkan gambar Tun pada kotak songkok. Tun bersetuju dengan gambar pilihan Sardi, lalu menamakannya sebagai “Songkok Style Tun” .

3

Songkok ‘Style’ Tun, hasil rekaannya sendiri.

“Tun berpesan supaya saya menjaga kualiti songkok ini sebab di kotaknya ada gambar beliau. Walaupun saya menggunakan gambar Tun, tetapi beliau tidak meminta apa-apa royalti daripada saya. Saya tahu, kebanyakan orang ingat Tun minta bayaran. Apabila berita dan gambar Tun memakai songkok ini dipaparkan dalam akhbar, ramai yang mencari songkok ini.”

Songkok Style Tun mendapat sambutan masyarakat. Namun, Sardi tidak mampu untuk memenuhi permintaan pelanggan. Sardi menjual Songkok Style Tun di kedainya yang beralamat di A1.07, Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar. Songkok tersebut dijual dengan harga RM120. Selain Songkok Style Tun, Sardi juga menjual songkok biasa yang berharga antara RM10 hingga RM80. Songkok biasa diperoleh daripada pengusaha lain. Sardi tidak melantik ejen untuk memasarkan Songkok Style Tun. Ada pelanggan yang pernah ditipu kerana membeli songkok Tun di tempat lain.

“Saya buat sendiri untuk menjaga kualiti. Saya buat dari pagi sampai petang. Menjelang bulan puasa, saya kena buat lebih songkok sebab tempahan untuk hari raya berlipat kali ganda.”

Tun M Pekan Rabu

Sardi bersama-sama Tun Dr. Mahathir ketika beliau ke kedainya di Pekan Rabu.

 Sardi sangat bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan. Tun Dr. Mahathir yang mengenali Sardi sejak kecil nampak akan kesungguhan Sardi dalam bidang perniagaan yang diwarisi daripada bapanya. Menurut Sardi, Tun Dr. Mahathir memang menyokong orang Melayu yang hendak berniaga. Tun memang suka singgah ke Pekan Rabu setiap kali pulang ke Kedah.

 Sardi menyediakan kertas kerja untuk membina sebuah kilang bagi menghasilkan Songkok Style Tun. Ada institusi perbankan yang menawarkan pinjaman kepadanya. Sardi yakin bahawa Songkok Style Tun mempunyai pasaran yang baik. Harga jualan songkok bagi bandar besar seperti Kuala Lumpur pasti dapat ditingkatkan. Songkok Style Tun yang memang berkualiti dapat dijual dengan harga RM250.

Walaupun Songkok Style Tun hanya dipasarkan di Alor Setar, tetapi ada pelanggan Sardi dari Johor meminta Sardi menghantarkan songkok tersebut melalui pos. Walaupun pelanggan tersebut hanya melihat songkok dalam akhbar, dia yakin dengan kualiti songkok buatan Sardi. Setelah songkok tersebut diterima, pelanggan menghantar mesej mengucapkan terima kasih dan dia berpuas hati dengan kualiti Songkok Style Tun yang dihasilkan oleh Sardi.

“Dalam perniagaan, kita tidak boleh berkira tentang masa. Disebabkan bekerja sendiri, kita kena berusaha bersungguh-sungguh. Mesti berikan sepenuh perhatian. Apabila hampir waktu hari raya, biasanya saya akan berhenti menghasilkan songkok pada pukul 4.00 pagi.”

Kini, songkok telah menjadi warisan Melayu dan boleh dikomersialkan. Pelanggan sanggup membayar dengan harga yang mahal asalkan buatannya berkualiti. Sardi bertekad untuk terus menghasilkan songkok – budaya Melayu yang “tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan.”

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1041308
    Visit Today : 623
    This Month : 23907
    Total Visit : 1041308
    Hits Today : 1804
    Total Hits : 4272347
    Who's Online : 11
  • Kategori