Oleh NISAH HARON

Nisah Haron

Nisah Haron

ANDA mungkin sudah bersedia untuk menulis kini, setelah mengikuti beberapa panduan awal untuk menjadi penulis. Anda kini rajin, membaca, mendengar, memerhati dan berfikir.

Masa lapang anda tidak lagi diisi dengan aktiviti-aktiviti kosong seperti berbual kosong, ‘bermain-main’ di Facebook atau sekadar santai-santai tanpa faedah yang jelas. Hakikatnya, menjadi penulis memerlukan sejumlah keseriusan. Hanya mereka yang serius, pintar dan berdisiplin mampu menulis!

Bagaimana dengan bakat? Itu mungkin soalan biasa yang kita dengar. Percayalah, bakat itu hanyalah 0.5% daripada seluruh keperluan menulis. 99.5% peratus lagi ialah usaha gigih tanpa jemu daripada anda. Menulis boleh dilatih dan ramai yang telah berjaya.

Masih ingat kisah arnab dan kura-kura? Semua orang tahu kelebihan atau bakat semula jadi sang arnab ialah memiliki kaki yang panjang dan pantas berlari. Sang kura-kura juga punya bilangan kaki yang sama dengan arnab, cuma kakinya pendek dan langsung tidak sepantas arnab. Adakah hal itu menafikan dirinya daripada memasuki pertandingan lumba lari? Sama sekali tidak. Sang kura-kura menyedari kekurangannya dan berusaha berlipat kali ganda. Berbanding sang arnab yang berada di dalam zon selesa dan terlupa untuk bermuhasabah akan kekurangan dirinya. Sang arnab bukanlah selamanya hebat kerana ia ada kelemahan iaitu mudah hilang fokus dan cepat berpuas hati dengan pencapaian diri.

Pengajaran yang sama boleh diaplikasikan dalam penulisan cerpen. Anda sudah mempunyai bahan, idea atau cetusan untuk menulis. Teruslah menulis. Sediakan satu buku khusus untuk menulis ayat atau ungkapan yang segar. Penulis perlu berlatih menulis sesuatu yang dilihat ‘biasa-biasa’ sahaja tetapi diungkapkan dengan cara yang luar biasa atau jarang ditulis demikian.

Seorang pelukis bukanlah sepanjang masa melukis di atas kanvas. Apabila tidak berada di dalam studio, penulis itu berlatih melakar, mewarna dan melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan lukisannya di dalam sebuah buku lakaran (sketch book). Buku lakarannya itu menjadi tempat dia mengungkapkan lukisan atau tempat latihan sehingga dia bersedia memindahkan lakaran itu kepada medium yang lebih besar, seperti kanvas.

Penulis yang baik selalunya menguasai teknik membina ayat dengan baik. Ayat yang baik ini kemudiannya memberikan kesan emosi kepada pembaca. Gunakan ayat yang pendek jika anda tidak mahir menggunakan ayat yang panjang. Terdapat sesetengah Sasterawan Negara, malah, sasterawan dunia juga menulis menggunakan ayat yang pendek tetapi berfungsi dan berkesan.

Sediakan buku catatan khusus untuk tujuan ini. Buat permulaan, tidak perlu buku catatan yang mahal. Gunakan sahaja buku latihan sekolah tahun yang lalu. Tentu ada buku latihan yang masih banyak lagi halaman yang tidak digunakan. Usah membazir. Penulis kreatif bukan sahaja kreatif ketika menulis tetapi kreatif dalam persediaan menulis.

Tulislah apa-apa sahaja yang terlintas pada fikiran. Ingat, ini sekadar latihan. Bukan semua yang ditulis pertama kali itu terus menjadi novel, sajak, drama mahupun cerpen. Penuhkan buku catatan anda dengan ungkapan-ungkapan yang segar, iaitu ungkapan yang anda cipta sendiri. Ungkapan yang sudah berulang-ulang kali digunakan orang, misalnya “pohon nyiur melambai-lambai” atau “masa amat mencemburui”, dinamakan ungkapan klise. Penulis juga perlu membina disiplin yang sama. Setiap hari, tulis tentang sesuatu.

Sebagai latihan menulis, cuba tulis perkara-perkara berikut dalam satu perenggan:

  • Gambarkan matahari sedang terbit dari laut, bukit atau hutan
  • Gambarkan perasaan seorang pelajar pada hari pertama persekolahan
  • Gambarkan perilaku seorang pemain bola yang baru sahaja menjaringkan gol kemenangan pasukannya

Mungkin anda akan berkata, ini bukan cerpen! Benar, ini bukan sebuah cerpen. Namun, sebelum anda memulakan sebuah tulisan yang lengkap, belajarlah terlebih dahulu kaedah menggambarkan sesuatu. Dalam siri yang berikutnya kelak, perihal menggambarkan keadaan, sifat dan watak ini akan diperincikan lagi. Buat masa ini, anda perlu berlatih dalam lingkungan yang kecil ini dahulu.

 

(Catatan: Nisah Haron merupakan pengarang sepenuh masa yang sering membimbing penulisan kreatif di dalam dan luar negara. Banyak memenangi anugerah penulisan termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Hadiah Sastera Berunsur Islam. Ikuti tip-tip menulis di Facebook: “Nisah Haron – Pengarang” atau Twitter : @nisahha)

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014325
    Visit Today : 354
    This Month : 33670
    Total Visit : 1014325
    Hits Today : 1035
    Total Hits : 4137837
    Who's Online : 11
  • Kategori