Oleh  NISAH HARON

Nisah Haron

Nisah Haron

BAYANGKAN anda sedang berada di meja tulis. Komputer atau laptop menderu senyap, dengan buku nota atau kertas-kertas di sisi. Anda merenung skrin dan kursor hitam itu masih terkelip-kelip pada baris pertama. Anda masih lagi belum ada ayat pertama, bahkan aksara yang pertama juga belum ada. Mungkin juga anda sudah menaip tetapi sudah memadamkannya berkali-kali. Seandainya anda masih menaip dengan mesin taip seperti orang zaman dahulu, anda sudah pun merentap keluar kertas dan pantas direnyuk-renyuk.

Sayangnya, semua itu tidak menyelesaikan masalah yang sedang anda hadapi. Barangkali, anda ada cerita yang sedang membuak-buak di dalam jiwa. Namun, semua itu terhalang kerana anda tidak ada kata-kata yang sesuai untuk menulis. Apatah lagi untuk menaip huruf yang pertama!

‘Penyakit’ anda ini serius, cuma penyakit ini bukanlah unik. Bahkan, hampir semua penulis pernah mengalaminya. Malah masih ada sebahagian besar yang sedang melaluinya. Penyakit ini terjadi kerana anda memiliki kosa kata yang rendah. Apabila tahap penguasaan kosa kata dan perbendaharaan kata terhad, kita menjadi sukar untuk memilih kata-kata yang sesuai untuk menulis.

Perkataan pertama pada perenggan yang pertama ialah bahagian yang paling sukar untuk ditulis. Ini diakui oleh ramai penulis mapan sedangkan mereka ini sudah menguasai sekian banyak perbendaharaan kata. Lantas, tidak hairanlah jika anda yang baru bermula ini mengalami kesukaran yang sedemikian.

Bayangkan seorang kanak-kanak yang baru belajar bercakap. Ayahnya menghadiahkan mainan baharu. Dia teruja mahu menerangkan perasaan dan mainan baharu itu kepada rakan sebaya. Bagaimanakah penceritaannya dengan kosa kata yang terhad itu? Bayangkan pula orang dewasa yang seharusnya mempunyai perbendaharaan kata yang tinggi. Tentulah orang dewasa boleh menerangkan hal yang sama dengan cara yang berbeza kerana tidak lagi dihalang oleh penguasaan kosa kata yang rendah.

Sebagai penulis, hal ini boleh diselesaikan dengan beberapa kaedah:

  1. Banyak membaca
  2. Kamus
  3. Tesaurus
  4. Buku ungkapan/mutiara kata

Kamus seharusnya menjadi sahabat karib penulis. Kamus Dewan ialah kamus wajib dimiliki, sekurang-kurangnya mesti ada satu naskhah di rumah. Jika anda tidak mampu membelinya, pastikan anda ada akses kamus ini. Pinjam daripada perpustakaan.

Tesaurus pula bukanlah saudara-mara kepada mana-mana spesies dinosaur! Buku ini menghimpunkan kata-kata yang hampir sama dengan maksud perkataan. Misalnya, perkataan ‘mati’ akan dicadangkan oleh tesaurus sebagai meninggal dunia, wafat, mangkat, padam, hapus dan sebagainya mengikut konteks ayat yang mahu digunakan. Ini akan menambahkan lagi perbendaharaan kata.

Dengan kemajuan teknologi pada hari ini, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menyediakan portal Gerbang Maya yang boleh diakses melalui  http://prpm.dbp.gov.my.

Paling menarik, laman ini percuma dan menyediakan perkhidmatan kamus secara online, tesaurus, peribahasa, simpulan bahasa, buku yang berkaitan dengan perkataan yang dicari, kamus teknologi, kamus sains dan banyak lagi. Penulis pada hari ini lebih bertuah kerana memiliki perkhidmatan seperti ini.

Kesemua ini ialah alat yang boleh membantu penulis menghadirkan kata-kata. Ibarat pelukis yang memerlukan pen, pensel, warna dan kertas untuk melukis, penulis pula memerlukan bantuan kata-kata ini untuk mengungkapkan perasaan, pemikiran dan pemerhatiannya.

Mungkin ada yang terfikir, untuk membeli semua ini memerlukan wang. Ya, memang betul. Namun, anggaplah ini sebagai suatu pelaburan jangka panjang. Membeli kamus tidak pernah merugikan penulis, malah keuntungannya berganda-ganda pula. Bayangkan, sebuah kamus yang baik boleh dibeli dengan harga RM50 hingga RM60, tetapi sebuah cerpen yang tersiar akan dibayar dengan harga sekitar RM200 hingga RM300 (bergantung kepada wadah). Anda bukan sahaja mendapat pulangan kewangan, anda juga bakal menjadi kaya dengan kata-kata.

Siapalah penulis itu tanpa kata-kata?

(Catatan: Nisah Haron merupakan pengarang sepenuh masa yang sering  membimbing penulisan kreatif di dalam dan luar negara. Banyak memenangi anugerah penulisan termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Hadiah Sastera Berunsur Islam. Ikuti tip-tip menulis di Facebook: “Nisah Haron – Pengarang” atau Twitter: @nisahharon)

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1037436
    Visit Today : 918
    This Month : 20035
    Total Visit : 1037436
    Hits Today : 2903
    Total Hits : 4255258
    Who's Online : 11
  • Kategori