Oleh AWANG AZMAN AWANG PAWI

PERANG Dunia Ke-2 merupakan trauma terbesar rakyat Jerman. Jutaan rakyatnya terkorban di medan perang  dan di tempat awam.  Suatu ketika dahulu, Hitler merupakan lambang kekuasaan dan kebesaran negara. Nama beliau disegani dan ditakuti.  Namun selepas Perang Dunia Ke-2, disebabkan peranan Hitler dalam Perang Dunia Ke-2, dan melakukan holocaust, iaitu pembunuhan  beramai-ramai khususnya orang Yahudi, berlakunya penafian terhadap sumbangan ketokohan dan kepimpinan Hitler di  Jerman.

Kezaliman Hitler menyebabkan kalangan rakyat negara tersebut sering menegaskan  bahawa Adolf Hitler bukanlah orang jati Jerman. Sebaliknya, beliau berketurunan Austria.  Di Malaysia, sering kelihatan segelintir anak-anak muda gemar memakai pakaian yang mempunyai  logo Nazi dan cuba membaca Mein Kampf dengan bebas tanpa sekatan oleh pemerintah. Namun di Jerman, buku tersebut tidak lagi  dibenarkan  berada di pasaran terbuka. Sesiapa yang cuba melakukan tabikan ala Hitler yang berasal dari pengaruh Romawi  tersebut, akan dikenakan tindakan undang-undang. Demikian betapa traumanya rakyat Jerman berkaitan perbuatan Hitler dalam Perang Dunia Ke-2. Media  dan industri budaya di Barat khususnya Hollywood dan di Amerika  sering juga menjadi alat hegemoni menyebarkan dakyah berkenaan Hitler yang sudah lama meninggal dunia.


Status Jerman Timur

Selepas Perang Dunia  Ke-2 pula,  wilayah yang berada di bawah pengaruh Eropah Barat seperti Perancis, United Kingdom dan Amerika bergabung bagi membentuk Republik Persekutuan Jerman  pada bulan Mei 1949, menyertai NATO dan membentuk Komuniti Ekonomi Eropah, manakala  kawasan yang dikuasai Kesatuan Soviet membentuk Demokratik Jerman. Disebabkan ideologi  Kesatuan Soviet mirip kepada komunis, manakala Eropah Barat mempunyai tradisi demokrasi berperlembagaan, maka perbezaan tersebut menyebabkan negara itu terpisah dari segi ideologi. Justeru, wujudlah konsep Jerman Barat dan Jerman Timur, Berlin Barat dan Berlin Timur.

Negara Jerman Timur menjadi ahli Pakatan Warsaw dan di bawah  pengaruh Kesatuan Soviet.  Sistem ekonomi cenderung kepada ideologi komunis. Tidak ada  kebebasan  berpolitik dan menikmati ekonomi pasaran bebas walaupun menggunakan nama Demokratik Jerman.  Bagi menyekat pengaruh Jerman Barat dan mengelak rakyat lari ke situ, maka Tembok Berlin dibina pada tahun 1961. Zaman-zaman itu merupakan era  tanpa kebebasan kerana masyarakat Jerman Timur dilarang   ke luar negara manakala pasport dikawal oleh pemerintah. Situasi ini merupakan suatu bentuk kebungkaman masyarakat.

Anak-anak Jerman  Timur  lebih mengenali  Tolstoy, Ivan Bunin, Boris Pasternak, Brodsky, Mikhail Sholokov daripada Shakespeare mahupun Hemingway.  Hal ini kerana pendidikan lebih menekankan bahasa Russia dan bukannya bahasa Inggeris.  Ada pusat persendirian yang mengajar bahasa Perancis, Sepanyol dan Inggeris, namun agak terhad dan yuran pula tinggi.  Bahasa Inggeris cuma diajarkan pada gred  7  bersamaan  usia 13 tahun, namun sekadar dijadikan sebagai kursus elektif bahasa asing.  Dalam keadaan ini, agak sukar untuk berhubung dengan dunia luar kecuali  melalui akhbar tempatan.

Ketika itu, seorang remaja kelahiran Berlin bernama Oliver Ventz yang mempunyai keghairahan membaca menggunakan peluang tersebut untuk mengikuti perkembangan luar negara dengan membaca. Beliau amat tertarik dengan bahagian akhir akhbar yang menunjukkan simbol dan nama tempat. Dalam peta dunia di dada akhbar, peta  tersebut memberikan suatu tarikan dan godaan luar biasa. Perkara ini berlaku kerana simbol tersebut amat mengasyikkan.  Simbol Borneo-Kalimantan yang terdapat pada peta menggunakan simbol orang Dayak menyumpit manakala Pulau Jawa pula menggunakan gamelan sebagai simbol. Jadi, simbol-simbol memberikan bekas ke dalam jiwa anak muda ini untuk mengetahui  lebih lanjut  daripada mengingati simbol semata-mata. Ditambah pula datuknya yang kuat membaca gemar menceritakan masyarakat peribumi di Amerika. Berdasarkan cerita bersumberkan buku-buku sejarah, pada usia 13 tahun, beliau sering diceritakan  tentang masyarakat peribumi seperti Cherokee, Chippewa,Choctaw, Navajo,Sioux, peribumi Dakota dan sebagainya. Secara tidak langsung, beliau didedahkan dengan ilmu antropologi, sejarah dan kebudayaan dunia.

Oliver Ventz, remaja kelahiran Berlin yang mencintai masyarakat peribumi Nusantara.

Dalam perkembangan politik semasa, Erich Honecker  yang menjadi pemimpin Jerman Timur melawat ke Jerman Barat pada tahun 1989. Apabila terjadi reformasi tahun 1989, Mikhail Gorbachev melawat Jerman Timur dan  mengisytiharkan bahawa Rusia tidak akan campur tangan  terhadap Jerman Timur.  Selepas  itu,  Tembok Berlin runtuh pada  9 November 1989 diikuti tawaran  Helmut Kohl,  Canselor Jerman Barat untuk menyatukan Jerman.  Rentetan ini, berlakunya pilihan raya bebas di Jerman Timur.  Parti Demokratik Jerman, sebuah parti rejim komunis yang berkuasa sebelum ini dibubarkan dan kedaulatan Jerman baharu yang bersatu  ditubuhkan. Membawa kepada penyatuan yang lebih besar lagi dalam kalangan komuniti Eropah, iaitu pembentukan Kesatuan Eropah pada tahun 1993.

Anak Muda “Bule” Cinta Akan Dunia Nusantara

Apabila tembok Berlin diruntuhkan,  Jerman Timur dan Jerman Barat bersatu, dasar keterbukaan dan demokrasi digunakan sepenuhnya oleh Oliver.  Dengan menggunakan wang kerja sambilan di pasar raya dan sedikit bantuan keluarga,  anak muda kelahiran Pankow, Berlin Utara  ini bertekad untuk berkunjung ke Indonesia.Bagaimanakah anak Jerman ini mempelajari bahasa Melayu/Indonesia?  Orang kulit putih yang dikenali sebagai “bule”  di Indonesia ini tidak pernah mengikuti kursus bahasa Melayu.  Apakah strategi untuk mempelajari  bahasa Indonesia? Sebenarnya, beliau hanya bergantung  kepada membaca buku Frasa Indonesia-Jerman (1970) dan Kamus Indonesia-Jerman (1995) yang dikarang oleh  Erich Dieter Krause seorang pakar bahasa Austronesia. Krause  merupakan  pemegang Kursi Indonesia  di Institut Asia Timur di University Leipzig dan kini sudah bersara.

Ketika itu saya menghafal frasa-frasa seperti ‘apa khabar, saya ingin ketemu,  saya mahu makan tempe,  saya ingin pergi ke Jalan Sudirman,  dari mana arah ke  Tanah Abang, dan sebagainya’.  Saya mempelajari bahasa Indonesia secara lebih hidup dan segar apabila bergaul dengan masyarakat Indonesia. Mereka ramah dan  sentiasa membantu” “Di Indonesia,  saya  bergaul dengan teman-teman baharu,  menonton bioskop (filem di pawagam), sering juga sari kata di kaca televisyen membantu menguatkan penguasaan bahasa”, cerita Oliver kepada penulis baru-baru ini, di Institut Pengajian Asia Timur, Kota Samarahan, Sarawak.

Tentulah aneh, anak tunggal seorang ahli teknokrat  begitu mencintai masyarakat peribumi.  Darah teknokrat tidak mengalir  dalam dirinya. Begitu juga, darah ibunya, Margitta Ventzyang bekerja sebagai ahli farmasi tidak membawa Oliver menceburi dunia sains dan teknologi yang menjadi  idaman ramai. Ayahnya, iaituMartin-Lothar Ventz  masih berbelah-bahagi ketika itu, manakala ibunya tanpa  mengetahui belantara bidang sains kemanusian  tetap menyokong yang terbaik buat anaknya itu.

Oliver mempelajari antropologi di Freie Universitat Berlin, danTechnische Universität Berlin dalam bidang perbandingan linguistik. Beliau berpeluang  belajar di kedua-dua buah universiti tersebut kerana dasar pengajian tinggi di Jerman menggalakkan perpindahan kredit. Manakala, pada tahun 1998-1999 beliau memfokuskan kajian Asia Tenggara di Humboldt-Universität of Berlin. Selepas itu, hampir setiap tahun antara tahun 1995 hingga 1998 beliau berkunjung ke Indonesia.  Kunjungan pertama Oliver berlangsung selama empat bulan. Kemudian, beliau ingin pergi  ke Sulawesi untuk melihat kehidupan masyarakat di situ.  Maka, dari Jakarta ke Sulawesi beliau menggunakan kapal.  Perjalanan dari Jakarta ke Sulawesi mengambil masa sekitar dua malam, iaitu dari Tanjung Priok, Jakarta,  singgah ke Semarang, Makkasar, Bau-bau, Banggai, barulah sampai ke Bitung.  Beliau menerokai Sulawesi selama dua bulan untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat di sana, khususnya etnik Toraja.

Peluang berkunjung lebih lama  ke Indonesia menjelma apabila beliau diterima untuk mengikuti Program Darmasiswa Indonesia.  Program tersebut diperkenalkan di Indonesia sejak tahun 1974 bagi  meningkatkan kesedaran dan minat terhadap bahasa dan kebudayaan Indonesia dalam kalangan anak-anak muda dari  seluruh dunia yang mempunyai ikatan diplomatik dengan negara Indonesia.  Program itu juga dapat membina  ikatan dan persefahaman masyarakat luar negara terhadap Indonesia. Pada mulanya, peserta terdiri daripada negara ASEAN, kemudian dikembangkan ke negara Eropah. Kini, terdapat 75 buah negara menyertainya. Program ini, terdapat 20 orang dari negara Jerman bersama-sama. Kesemua peserta ditempatkan  dalam mana-mana 75 buah universiti di Indonesia.

Bagi Oliver, inilah peluang yang dinanti-nantikan selama ini. Beliau ditempatkan di Institut Keguruan dan Ilmu Pendidikan (IKIP) Bandung atau dikenali sebagai Universitas Pendidikan Indonesia selama setahun.  Di sini beliau berpeluang mempelajari  kesusasteraan, bahasa  dan antropologi yang berfokuskan Indonesia yang menambahkan lagi minat beliau terhadap bahasa dan negara Indonesia.  Ilmu berkenaan Indonesia semakin bertambah dan penguasaan bahasa Indonesia semakin bertambah baik. Segala pengalaman dan pengetahuan ini banyak membantunya dalam membina kerjaya yang berhubung kait dengan Indonesia.  Cara untuk mengenali Indonesia  secara lebih lanjut terbuka luas apabila berpeluang membuat kerja lapangan di Kalimantan.

Sistem pendidikan di Jerman berlainan dengan Malaysia.  Di Jerman, semua pelajar akan belajar hingga peringkat sarjana. Peluang ini digunakan oleh Oliver untuk mengkaji  agama tradisional suku bangsa Benuaq.  Hasil penelitian dan pengalaman dari tahun 1995 hingga 2003  banyak membantunya dalam penulisan tesis untuk peringkat  sarjana. Seterusnya, pada tahun 2004  beliau mendaftar sebagai pelajar doktor falsafah di Albert-Ludwigs Universitaet Freiburg.  Sejak tahun 2005  hingga tahun 2008 beliau membuat kerja lapangan lanjutan di  Kalimantan, manakala mulai tahun 2009 hingga 2012, tempoh tiga tahun digunakan untuk menulis disertasi.  Berkat kegigihan dan penguasaan bahan yang dikaji, tesis  beliau diberikan pengiktirafan lulus cemerlang. Beliau mengkaji agama peribumi Benuaq yang memfokuskan ciri-ciri, fungsi dan perkembangan sejarah semangat  yang  menjadi agama tradisional masyarakat Benuaq. Kajian ini bersifat multi disiplin, yang menggabungkan  pelbagai teori dan kaedah daripada aspek agama, sains kognitif, antropologi dan perspektif sejarah linguistik Austronesia.  Dari satu segi, kajian ini merupakan satu kejayaan besar  kepada dirinya yang mulai memberikan fokus terhadap Kalimantan, manakala dari satu sisi beliau terpaksa menunggu tempoh masa yang lebih lama memandangkan disertasinya itu  perlu dinilai semula oleh lima orang profesor yang lain.

Teman yang sama-sama ke Kalimantan ialah Micahela Haug yang turut membuat kajian lapangan doktor falsafah di Kalimantan. Hubungan mereka agak akrab. Namun,  Oliver bertemu jodoh dengan seorang penduduk tempatan  yang merupakan anak campuran Bugis, Kutai, Teroja dan Dayak.  Di Kalimantan Timur juga beliau sempat memulakan inisiatif membuka Pusat Bahasa dan Budaya Kalimantan yang berpusat di Tenggarong sebelum berpindah ke Samarinda.  Sebenarnya, sebelum Oliver membuat pascadoktoran, beliau sempat mengajar di  Freie Universitat Berlin dan Universitas Cologne dalam bidang antropologi agama dan antropologi Indonesia.  Jarak antara Berlin dan Cologne sebenarnya agak jauh, iaitu sekitar 700 kilometer. Jadi, beliau berulang-alik menggunakan kereta api untuk memberikan kuliah.  Di sana, secara tidak langsung beliau berpeluang memperkenalkan bahasa dan kebudayaan Indonesia kepada masyarakat Jerman. Di sinilah sumbangan beliau terhadap dunia Melayu.

Apabila ditanya mengenal penguasaan bahasa Indonesia, beliau selalu merendah diri bahawa beliau masih lagi belajar secara berterusan. Kata Oliver, Setiap bahasa  di dunia ini mempunyai kerumitan yang tersendiri, terpulang kepada kesungguhan diri sendiri untuk mempelajari ke peringkat yang lebih tinggi.  Walau pun, tahap penguasaan bahasa Indonesia saya tidak dapat mengatasi kefasihan saya dalam bahasa Jerman, Inggeris, Perancis, dan Russia namun bahasa Indonesia tetap  bersebati dalam diri saya. Yang pertama mungkin disebabkan isteri saya  orang Indonesia, makanya saya bertambah sayang kepada bahasa dan budaya Indonesia. Yang kedua, minat saya kepada Indonesia  telah bermula sejak seawal umur yang berusia 13 tahun.  Jerman Timur tempat saya membesar dahulu sangat tertutup hingga keinginan saya untuk menjelajah  ke dunia luar sangat luar biasa.”

Oliver mempunyai pandangan tersendiri  tentang penguasaan bahasa timur ini.  Katanya, “Seseorang perlu  belajar dan  memahami kebudayaan itu sendiri, sebelum mempelajari bahasa kerana seseorang itu akan lebih  cepat belajar bahasa apabila memahami kebudayaan.”. Bagi Oliver, bahasa Indonesia sangat ”indah” dan “cantik” dan beliau sangat suka mempelajarinya. Tambahnya lagi, Hakikatnya,  penguasaan bahasa kita  tidak akan sama seperti penutur asli, namun memberi kepuasan kepada kita apabila menguasai bahasa untuk berkomunikasi dengan penutur bahasa ibunda bahasa tersebut. Kita juga mudah diterima oleh masyarakat tempatan apabila menuturkan bahasa mereka. Ia sebagai tanda kita bersungguh-sungguh untuk memahami kebudayaan mereka.”

Antara cabaran untuk memahami bahasa Indonesia ialah penggunaan akronim yang sukar difahami.Masyarakat Indonesia gemar menggabungkan ringkasan huruf atau suku kata, atau bahagian-bahagian lain yang sesuai untuk dijadikan perkataan.  Dalam dunia akhbar dan majalah di Indonesi,a penggunaan akronim terlalu berleluasa  hingga boleh menyebabkan sukarnya untuk memahami apa-apa yang diperkatakan. Contoh penggunaan akronim adalah seperti Korsel (Korea Selatan), Capres (Calon presiden), wartel (warung telefon) dan sinetron (sinema elektronik). Dari satu aspek, ia merupakan satu bentuk kreativiti penghasil yang mencipta akronim tersebut. Sejarah di Indonesia menunjukkan Sukarno orang yang pertama kali mempopularkan penggunaan akronim untuk memudahkan sebutan dan senang untuk diingat seperti penggunaan akronim berdikari yang bermaksud “berdiri atas kaki sendiri”.  Namun dari segi lain,  penggunaan yang berlebihan menyebabkan khalayak  baharu pembaca sukar untuk mengikuti pembacaan akhbar dan majalah akibat payah untuk memahami maksud. Hal ini berlaku disebabkan pihak media terlalu obsesi kepada  rujukan yang singkat dan tidak mahu membuang masa.  Mereka juga  ingin menjimatkan ruang akhbar  dan ruang masa  bagi menyebut atau menulis  nama yang panjang. Penggunaan akronim dianggap sebagai bagai memberikan sebutan  baharu dan menjimatkan, dan suatu bentuk  keunikan dalam kalangan media. Namun pada masa yang sama mencerminkan pihak media khususnya,  seakan-akan keliru akan  peraturan atau hukum sebenar  berkenaan konsep penggunaan akronim.

Ketika ini, Oliver sedang membuat kajian  berkenaan perbendaharaan kata etnik peribumi dan kaitannya dengan keagamaan tradisional. Penelitian ini memberikan perspektif yang lain yang mampu membongkar khazanah Borneo-Kalimantan. Sambil meneliti kamus-kamus etnik, sekali-sekala beliau  datang  bertemu penulis untuk bertukar-tukar idea dan pandangan berkenaan dunia Nusantara. Beliau sering menggunakan bahasa Indonesia laras tinggi, sekali gus membuktikan keupayaan menggunakan bahasa tersebut sebagai bahasa ilmu.  Situasi ini mengingatkan penulis akan  kedudukan  dan masa hadapan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Malaysia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013655
    Visit Today : 918
    This Month : 33000
    Total Visit : 1013655
    Hits Today : 3078
    Total Hits : 4135183
    Who's Online : 6
  • Kategori