ZAI_5505-300x199

Tan Sri Johan Jaaffar menyampaikan Ucap Utama dalam Majlis Perasmian Seminar Hak Cipta: Dari Novel ke Skrin

BERSEMPENA dengan sambutan ulang tahun DBP ke-58, pelbagai kegiatan telah diatur sepanjang bulan Jun, antaranya Seminar Hak Cipta: Dari Novel ke Skrin yang telah diadakan pada 10-11 Jun 2014 yang lalu.

Seminar Hak Cipta: Dari Novel ke Skrin yang dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Media Prima Berhad bertujuan untuk memberi kesedaran kepada penulis karya, penulis skrip dan penerbit tentang hak dan tanggungjawab masing-masing dalam pengurusan harta intelek dan undang-undang berkaitan. Selain itu, objektif program adalah untuk membincangkan potensi karya tempatan untuk dikembangkan melalui urus dagang hak cipta serta membincangkan isu-isu semasa dan cabaran yang dihadapi penulis atau penerbit dalam penerbitan karya bercetak ke skrin.

ZAI_5546-150x150

Sebahagian peserta Seminar Hak Cipta

Seminar yang berlangsung selama dua hari ini dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr.  Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah DBP. Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Profesor Dr. Zaharani Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Encik Kamarul Zaman bin Shaharudin serta Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Seelan Paul. Dalam ucapan perasmian, YBhg. Datuk Dr. Awang  menyatakan kerjasama DBP-Media Prima amat penting bagi mengangkat karya sastera supaya tidak hanya dibaca oleh golongan tertentu.

ZAI_5592-e1402898586328

Sesi pembentangan kertas kerja

Majlis perasmian disempurnakan dengan penyampaian Ucap Utama oleh YBhg. Tan Sri Johan bin Jaaffar, Pengerusi Media Prima Berhad. Beliau menyatakan bahawa negara mempunyai banyak karya sastera yang berpotensi untuk dibawa ke layar perak. Sastera klasik seperti Hikayat Hang Tuah serta novel atau cerpen seperti Rumah Itu Duniaku, Langit Petang dan Ombak Rindu merupakan contoh karya sastera yang telah diadaptasi ke skrin. Beliau juga menyatakan para penggiat seni seharusnya tidak merasa terbeban atau sukar mengadaptasi karya sebegini kerana menganggap karya sastera mempunyai tema yang berat dan tidak akan mendapat sambutan daripada khalayak umum.

ZAI_5746-e1402898637232

Sesi Forum “Pengurusan Harta Intelek”

Sebanyak enam kertas kerja telah dibentangkan serta tiga sesi forum telah berlangsung sepanjang dua hari seminar diadakan. Antara isu dan topik yang dibincangkan adalah berkaitan hak cipta dan perundangan, senario dan cabaran masa depan karya bercetak, pengurusan harta intelek, kaedah dan potensi industri kreatif dalam drama adaptasi serta hala tuju industri drama di Malaysia. Para pembentang dan ahli panel terdiri daripada pensyarah, penerbit filem, pelakon, penulis skrip dan juga pihak yang terlibat secara langsung dalam industri penerbitan.

Seminar diakhiri dengan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara DBP dengan Primeworks Studios Sdn. Bhd. untuk  mengadaptasi karya sastera negara yang berkualiti ke layar filem atau drama. Usaha ini dilihat sebagai salah satu kaedah untuk mendekatkan masyarakat dengan karya sastera tanah air, sekali gus dapat mengembangkan sastera ke peringkat yang lebih tinggi.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara DBP dengan Primeworks Studios Sdn. Bhd.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara DBP dengan Primeworks Studios Sdn. Bhd.

Seminar yang menghimpunkan para ilmuwan serta pihak yang terlibat secara langsung dalam industri penerbitan buku dan penyiaran ini diharapkan dapat menjadi wahana untuk meningkatkan kesedaran serta mengemukakan pandangan berkaitan isu hak cipta, khususnya daripada naskhah bercetak ke skrin.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1045149
    Visit Today : 45
    This Month : 27748
    Total Visit : 1045149
    Hits Today : 70
    Total Hits : 4290635
    Who's Online : 9
  • Kategori