“Tolong selesaikan masalah penerbitan buku di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secepat mungkin.” Itu rayuan Sasterawan Negara (SN) Ke-12, Datuk (Dr.) Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain.

Ironinya, rayuan SN yang juga mantan Timbalan Ketua Pengarah  DBP itu  bukan  dilontarkan pada acara anjuran institusi  sastera berkenaan, sebaliknya  pada Dialog Sastera – Mengangkat Karya Sastera: Halangan dan Cabaran di Istana Budaya (IB), Kuala  Lumpur, baru-baru ini.

Rayuan  Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1980 yang disampaikan pada acara anjuran BH, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan IB, diluahkan di hadapan kira-kira 100 orang peserta.

image

Baha berkata, masalah penerbitan badan  bahasa  dan sastera itu sama ada dalam usaha penilaian manuskrip, penerbitan  buku dan edaran serta  promosinya perlu diselesaikan pada kadar segera.

“Pengarang dan penulis sudah gelisah dengan masalah penerbitan yang  tidak  berkesudahan ini  sehingga orang DBP sendiri menghantar manuskrip mereka kepada ITBM untuk diterbitkan. Bukankah DBP bertanggungjawab dalam penerbitan dan pemasaran buku bagi menyemarakkan industri kreatif dan sastera negara?” katanya pada dialog yang dipengerusikan  pengarang tanah air, Nisah Haron.

Baha yang juga mantan Presiden PENA berkata, kemelut yang melanda DBP dalam hal itu sebenarnya  boleh diatasi dengan memanfaatkan tenaga  orang  lama buat sementara  waktu.

“Mujur ada ITBM yang dapat memberikan kelegaan kepada pengarang  dalam  mencari penerbit karya sastera khususnya  apabila syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu  turut  memberikan insentif dalam penerbitan mereka.

“Ini termasuklah menetapkan perjanjian  penerbitan antara  penerbit dengan penulis dalam tempoh tiga tahun,  sekali gus memudahkan  penulis menerbltkannya di tempat lain  selepas  tamat tempoh  berkenaan,” katanya pada dialog yang turut dihadiri  oleh Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron dan Setiausaha  Agung PENA, Syed Mohd Zakir Syed Othman.

Baha berkata, ITBM juga menawarkan potongan harga 50 peratus kepada pengarang untuk membeli karya mereka secara terus dengan penerbit, selain   menyerahkan bayaran royalti sepenuhnya tanpa perlu menanti buku  dijual kesemuanya.

“Tindakan ITBM memulakan langkah yang baik itu moga-moga akan diikuti oleh penerbit lain, sekali gus cepatlah tercapai hasrat untuk  menyaksikan lebih ramai pengarang yang  dapat  memberikan tumpuan sepenuh masa kepada menghasilkan  karya baik dan bermutu.

“Kita bukan  saja memerlukan pengarang sedemikian, bahkan juga  editor  profesional yang selama ini mungkin  dipandang  enteng atau  kadangkala  terlepas pandang walaupun peranan editor  sangat  penting,” katanya.

Presiden  Persatuan Penterjemahan dan   Penulisan  Kreatif Kebangsaan  (PERSPEKTIF), Datuk Goh Hin San pula berkongsi pengalamannya  sewaktu  berkhidmat sebagai guru apabila berjaya menjual lebih 1,000 naskhah majalah Dewan  Masyarakat;  800 naskhah Dewan Pelajar dan 500 naskhah Dewan Siswa di sekolah.

“Caranya  mudah saja apabila saya memberikan tugasan kepada pelajar yang memerlukan mereka  menggunting dan menampalkan sesuatu rencana daripada majalah terbitan DBP.

“Kelemahan yang  berlaku di DBP perlu diperbetulkan  pada kadar segera dengan menekankan sastera tidak lagi boleh berdiri di atas kaki sendiri, sebaliknya dengan ‘empat kaki’,” katanya yang juga Penasihat Kandungan (Bahasa Cina) Kumpulan Media Prima Berhad.

Hin San berkata, penyebaran karya  sastera perlu  bergerak dengan ‘empat kaki’, iaitu selain berbentuk percetakan konvensional, ia memerlukan  adaptasi ke televisyen dan filem serta memanfaatkan media sosial.

“Istilah  sastera  berdikari tidak boleh lagi digunakan pada zaman ini, sebaliknya perlu diadaptasi ke drama televisyen atau filem yang sebenarnya mengalami ketandusan skrip yang baik.

“Kita memiliki banyak karya sastera  tanah air  yang berpotensi untuk dipindahkan ke dalam genre seni lain, tetapi malangnya drama atau  filem lebih banyak terikut-ikut dengan trend semasa seperti kisah seram dan bercorak samseng,” katanya.

SN Ke-10,  Datuk  Dr. Anwar Ridhwan pula meminta  dikotomi aliran sains dan sastera yang menggunakan  nisbah  60:40 di sekolah tidak lagi diamalkan dalam sistem pendidikan, selain penulis  tidak semestinya  lahir daripada aliran sastera semata­mata.

Permintaan SN perlu diberikan  pertimbangan serius apabila wakil Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, Kamaruzzaman Ismail mendedahkan jumlah  pelajar mata  pelajaran Kesusasteraan Melayu  turun  mendadak dalam  tempoh 15 tahun, iaitu  daripada 130,000 orang kepada 30,000 orang  dengan  tumpuan di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Laporan dipetik daripada Berita Harian

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042515
    Visit Today : 379
    This Month : 25114
    Total Visit : 1042515
    Hits Today : 1051
    Total Hits : 4280646
    Who's Online : 6
  • Kategori