Oleh BAHA ZAIN

MALAYSIA bukanlah negara yang terkenal atau dikenali dengan pelbagai keistimewaan besar, baik dari segi jumlah penduduk, keunikan budaya, saiz geografi, inovasi teknologi moden, dan tradisi institusi pendidikan serta sejarahnya, berbanding misalnya dengan Indonesia, Jerman, Rusia, China, Jepun, Perancis, Arab, Turki, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Orang lebih dahulu merujuk kepada negara-negara terkenal ini apabila hendak mencari kesusasteraan antarabangsa. Lebih-lebih lagi tidak pernah seorang pun sasterawan kita dianugerahi Hadiah Nobel sebagai tanda atau isyarat tentang kegesitan dalam kehidupan seni dan intelek bangsa kita.

Memang betul bahawa banyak juga karya sastera klasik kita dikaji dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Rusia, misalnya oleh bekas pegawai pentadbir British, orientalis dan ahli filologi, tetapi tidaklah dapat kita katakan bahawa sastera Malaysia, baik yang klasik dan moden sudah berada dalam jalur dan aliran sastera global yang luas.

                                                                                                     *          *          *

Kalau kita  betul-betul serius dan berazam untuk menghantar karya kita ke dalam gelombang sastera dunia, kita tidak boleh lagi meneruskan kerja sastera kita sebagaimana biasa dan dengan sikap mental kerja yang diamalkan selama ini. Kita mesti mengubah cara berfikir, proses dan metode pelaksanaan. Kita mesti mendatangi mereka atau menjangkaudunia luas itu berdasarkan yang mana perlu didahulukan, dan yang mana patut dikemudiankan .

Institusi dan aktivis sastera-budaya perlu benar-benar serius untuk menyusun strategi baharu dan mengatur program tindakan yang realistik.

                                                                                                   *          *          *

Sampai hari ini sudah banyak juga karya Melayu yang diterjemahkan, terutamanya ke dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol, Korea dan Rusia. Tetapi menterjemah dan menerbitkan sahaja tidaklah cukup kalau karya tidak sampai ke tangan pembaca di luar sana; tidak diwara-warakan, dipamerkan, dan dibicarakan, baik dalam pertemuan penulis ataupun dalam media dan jurnal. Membina khalayak peminat itu juga suatu kerja yang  rumit.

Di Malaysia, kita mempunyai banyak organisasi bukan kerajaan dan agensi kerajaan yang boleh dimanfaatkan bagi mengangkat karya Malaysia sebagai wajah kreativiti dan bahagian penting tamadun bangsa, seperti Majlis Buku Kebangsaan Malaysia di Kementerian Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), GAPENA, PENA, Yayasan Karyawan dan Persatuan Penterjemah Malaysia. Setiap organisasi ini mempunyai keahlian, pengalaman dan kepandaian masing-masing. Masalahnya ialah masing-masing lebih mengutamakan kehidupan masing-masing dan bergiat dalam dunia sendiri.

Beberapa tahun dahulu, pada Perhimpunan Penulis Muda di Johor anjuran PENA, dalam ucaptama, saya menyarankan agar DBP dan ITBM melakukan sinergi bagi memartabatkan persuratan Melayu. Saya yakin sangat bahawa banyak kerja penterjemahan, penerbitan, dan juga penyebarannya dapat dijayakan dengan perancangan kerjasama yang strategik. Tetapi sebelum itu sikap mental dan kesediaan ikhlas untuk berganding bahu itu mesti diwujudkan dahulu.

Dalam strategi perniagaan moden pun orang tidak boleh bekerja bersendirian. Permodalan Nasional Berhad yang setiap tahun membayar dividen dan bonus itu pun terpaksa memiliki ekuiti saham dalam syarikat-syarikat lain (seperti Sime Darby, SP Setia, Northport dan puluhan syarikat GLC dan GLIC yang lain). Kerajaan BN di Semenanjung pun perlu berkerjasama dengan parti-parti  komponen politik di Sabah dan Sarawak untuk memenangi hati rakyat bagi memerintah Malaysia. Kerjasama untuk mencapai tujuan besar bangsa mengatasi kepentingan diri masing-masing; tidak ada yang dapat melakukannya sendirian pada zaman moden yang sengit bersaing.

Globalisasi yang pada impian asalnya yang indah adalah untuk saling berhubungan tetapi pada hakikatnya menjadi pengembangan Barat, Amerika Syarikat dan bahasa Inggeris. Bagaimana hendak kita hadapi masalah  tamadun moden ini kalau kita tidak bekerjasama?

                                                                                                  *          *          *

Saksikan sekarang kerjasama atau sinergi yang produktif antara ITBM dengan PENA telah memperhebat penerbitan karya sastera bakat-bakat muda. PENA membantu menarik penulis, memilih  dan mengolah manuskrip; ITBM pula segera menerbitkan dan mewara-warakannya di tengah khalayak di dalam negara; berhubungan dengan sekretariat di Pesta Buku Frankfurt untuk mempamerkan buku-buku Malaysia; dan pada  tahun hadapan akan  menjadi tamu bagi pihak Malaysia di Pameran Buku Tokyo. Tentulah jika PENA melaksanakan semua kerja ini, tidak mungkin akan berjaya.  Sama juga halnya dengan ITBM. Walaupun ada wang, ada bangunan, dan ada petugas, tidak akan berlaku penerbitan buku sastera secepat sekarang tanpa kerjasama dengan PENA.

Bayangkan kalau semua badan yang tersebut di atas bergerak dengan cara bekerjasama dalam strategi globalisasi sastera, insya-Allah banyak ikhtiar, rancangan dan program dapat disusun dan dijayakan di dunia antarabangsa dalam bidang kerja seperti penterjemahan, penyuntingan, pengeluaran, pencetakan, pengurusan harta intelek, penyerantaan, pameran, pengiklanan, ulasan, pengedaran, dan pemasaran.

Selepas ini, pihak manakah yang akan mengatur strategi untuk menghantar sastera Melayu ke khalayak antarabangsa? Buat sementara ini, bolehlah mana-mana pihak mewujudkan portal sastera Malaysia bagi menyiarkan sekalian maklumat, aktiviti, dan karya sastera Melayu dalam bahasa Inggeris untuk disebarkan ke seluruh dunia. Singapura sudah memulakannya dengan baik walaupun dari segi tradisi budaya, bakat serta karya, Singapura tidaklah sekaya dan seindah Malaysia. Mungkin kita boleh belajar daripada Singapura bagaimana mereka mempromosikan keseniannya dengan meninjau  portal yang dinamakan ArtsHouse

Datuk Baha Zain ialah Sasterawan Negara Ke-12

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013764
    Visit Today : 1027
    This Month : 33109
    Total Visit : 1013764
    Hits Today : 3521
    Total Hits : 4135627
    Who's Online : 15
  • Kategori