Oleh DR. AWANG SARIYAN

Dr. Awang Sariyan

PROGRAM Audit Bahasa Melayu (ABM) yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan satu daripada banyak inisiatif baharu yang dirancang untuk mengisi keperluan menilai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa dalam pelbagai bidang ketamadunan yang lain di negara ini. Secara khusus, program ABM dirancang untuk membuat penilaian terhadap kedudukan ataupun tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang perlu digunakan dalam pelbagai bidang kehidupan, berkaitan dengan tamadun negara dan juga untuk menilai mutu bahasa Melayu yang digunakan dalam urusan rasmi khususnya di sektor perkhidmatan awam. Bagaimanapun, dalam jangka panjang, ABM ini akan diunjurkan juga pelaksanaannya dalam sektor perdagangan yang melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta.

Tumpuan pertama akan diberikan kepada sektor perkhidmatan awam sebagai susulan pelancaran Pekeliling Bil. 9 2011 berjudul “Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam” yang dilancarkan pada 28 Oktober 2011. Pekeliling itu penting oleh sebab di dalamnya terkandung penegasan yang lebih jelas tentang keperluan para penjawat awam, khususnya, menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi. Perkara ini secara langsung berkaitan dengan peruntukan dalam Perlembagaan, iaitu Perkara 152 yang menetapkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam segala urusan rasmi di tiga peringkat, iaitu peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Itulah asas DBP mencetuskan dan melaksanakan program ABM.

Sumber kuasa perlaksanaan pogram ABM didasarkan pada keputusan yang dimasukkan dalam Pelan Tindakan Strategik DBP 2011-2015. Manakala dalam mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Bil. 1 2012 pada 19 Januari 2012, YAB Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin selaku pengerusi jawatankuasa tersebut telah merestui pelaksanaan program ABM sebagai suatu inisiatif atau program utama dalam memastikan pelaksanaan bahasa kebangsaan.

Seperti yang saya sebut pada peringkat awal, tujuan utama program ini adalah untuk meneliti tahap dan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen dan komunikasi kerajaan. Hal ini disebabkan penelitian terhadap tahap mutu penggunaan bahasa Melayu  dalam konteks lisan seperti mesyuarat dan yang lain-lain itu didapati kurang praktis daripada sudut pelaksanaannya. Namun demikian, bagi komunikasi lisan seperti di kaunter pelanggan, ABM masih akan diberi perhatian di samping melakukan penelitian tentang tahap dan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen dan komunikasi kerajaan. Program ini juga bertujuan untuk memberikan ulasan dan cadangan dalam upaya memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dan mencadangkan pelan tindakan atau susulan untuk peluasan dan pemantapan penggunaan bahasa Melayu selaras dengan perkara 5 dan 6 dalam Akta DBP.

Dua perkara yang diperhatikan dalam ABM ialah tahap penggunaan bahasa Melayu, iaitu sama ada bahasa Melayu digunakan dengan sepenuh-penuhnya atau bahasa Melayu digunakan bersama-sama dengan bahasa lain, atau bahasa Melayu tidak digunakan sama sekali dalam dokumen yang diaudit. Daripada aspek mutu pula, akan dilihat ketepatan bahasa dari sudut ejaan, tanda baca, kosa kata, ayat, sebutan (dalam konteks komunikasi lisan), kesantunan dan adab serta kejelasan fikiran dan maklumat.

ABM telah pun bermula di ibu pejabat DBP dan di pejabat cawangan dan wilayah pada pertengahan tahun 2012 sebagai projek rintis dan seterusnya pada 22 hingga 26 April 2013. Program ABM telah dimulakan di jabatan terpenting dalam perkhidmatan awam, iaitu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan penglibatan pasukan audit DBP dan pasukan audit dalam yang terdiri daripada pegawai perkhidmatan awam  yang telah diberi kursus.

Sebanyak 10 bahagian di JPA telah diaudit bahasanya dan didapati bahawa pada keseluruhannya tahap penggunaan bahasa Melayu di JPA mencapai tahap penggunaan BM dalam dokumen rasmi sebanyak 86%. Ada ruang untuk pembaikan sebanyak 14% untuk memastikan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dalam dokumen rasmi. Pencapaian penggunaan bahasa Melayu di JPA berada pada tahap 4 daripada tahap 5 yang tertinggi. Daripada sudut mutu JPA hampir mencapai tahap 5 iaitu 89.7%.

Sebanyak 250 surat rasmi, 221 e-mel, 25 notis, 103 minit, 189 memorandum, 32 laporan, 36 nota pembentangan, 126 dokumen edaran, 28 teks ucapan, 12 maklum balas aduan, dan 282 paparan dan peragaan di JPA telah diaudit. Itulah korpus atau data yang digunakan di JPA dan di tempat lain.

Sesudah itu ABM diadakan di beberapa buah kementerian dan jabatan lain. Antaranya termasuklah ABM di Kementerian Pendidikan Malaysia yang diadakan pada 22 hingga 25 Julai 2013 dan Kementerian Kewangan pada 29 Julai hingga 2 Ogos 2013. ABM di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan diadakan pada 23 hingga 27 September 2013, seterusnya Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada akhir tahun ini.

Sesudah itu DBP akan mengatur langkah membuat ABM di kementerian lain dan juga kerajaan negeri. Daripada sudut pengiktirafan, DBP akan memberikan penarafan bintang. Hal ini merupakan suatu insentif kepada jabatan kerajaan yang menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi dan mutu yang memuaskan. Selain itu akan diberikan sijil dan surat penghargaan.

Sebagai susulan, DBP akan dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan ataupun aspek-aspek yang perlu ditingkatkan dalam penggunaan bahasa Melayu di jabatan atau kementerian dan berdasarkan analisis kekuatan dan kelemahan yang dapat dikesan, DBP akan menyediakan modul kursus ataupun kursus penyegaran untuk mengatasi masalah yang masih berlaku atau terdapat di jabatan atau agensi kerajaan yang diaudit.

Diharapkan dalam tempoh tiga tahun, ABM akan dapat meliputi sejumlah besar jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042958
    Visit Today : 822
    This Month : 25557
    Total Visit : 1042958
    Hits Today : 2544
    Total Hits : 4282139
    Who's Online : 9
  • Kategori